|
|
Sebelum datang ke Semenanjung Malaysia, pemuda berasal Sarawak, Melson Vant pernah ada skeptikal terhadap keadaan di sini.
Bukan beliau sahaja malah perasaan itu lazim dialami oleh anak muda di Sarawak dan Sabah. Lebih-lebih lagi bagi yang belum pernah ke Semenanjung.
"Saya pertama kali datang ke Semenanjung sekitar enam bulan lalu apabila dapat tawaran kerja di sini. Pada mulanya rasa berat juga kaki saya kerana saya tak pernah keluar dari Sarawak. Tapi saya gagahkan diri demi mencari rezeki dan mengubah hidup saya dan keluarga.
"Nampaknya saya sesuai dengan udara di Semenanjung. Lebih-lebih lagi saya mempunyai minat dalam peragaan," kata Vant kepada Pancaindera.
Minat menceburi bidang peragaan membuatkan anak muda ini nekad meninggalkan keluarga.
"Saya mahu menjadikan ruangan Kacak Bergaya ini sebagai permulaan langkah saya dalam bidang seni.
"Saya harap dapat mencipta nama dalam bidang ini bertitik tolak dari sini. Ada ramai kawan saya menyokong kerana nampak potensi dengan ketinggian yang saya miliki," sambungnya yang kini ditugaskan ke Sabah.
Vant berharap namanya turut tersenarai sebagai calon final nanti dan berjanji memberikan komitmen sepenuhnya nanti.
Vant ditugas ke Sabah untuk melatih kakitangan baru apabila restoran makanan segera tempat beliau bekerja membuka cawangan baru di sana.
"Hasil kerja ini saya dapat peluang ke negeri lain yang belum sempat saya kunjungi lagi. Selepas selesai urusan ini saya akan kembali ke Genting Highlands semula," katanya.
Dalam perkembangan lain, Vant melalui saat menyambut Hari Gawai tanpa keluarga kerana tak dapat bercuti.
"Pada sambutan Hari Gawai lalu saya hanya menyambut bersama kawan-kawan di Semenanjung.
"Memang suasananya berbeza, tapi saya tetap gembira kerana masih ada kawan yang sama-sama senasib dengan saya," tambah Vant.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: