Friday, August 13, 2010

Selera terbuka di Istana Bambu


Damai dan tenang di Restoran Istana Bambu.


INGIN merasai makanan autentik Negeri Sembilan dalam suasana seperti di kampung, dalam rumah buluh, 'di tepi sawah' dan kolam ikan serta berlatar belakangkan air terjun semasa berbuka puasa?

Anda tidak perlu ke Negeri Sembilan bagi menikmatinya kerana kebanyakannya boleh didapati jika berkunjung ke Restoran Istana Bambu.

Tidak ada pendingin hawa untuk menyejukkan badan cukup dengan kipas siling ditambah dengan bayu lembut hutan yang cukup mendamaikan suasana sekeliling.

Terletak di sebelah Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Ampang-Hulu Kelang bertentangan dengan susur masuk Keramat Au, mungkin ramai yang tidak mengetahui kewujudan Restoran Istana Bambu kerana restoran ini baru sahaja memulakan operasinya pada 7 Mei lalu.

Berkonsepkan buluh sebagai daya tarikan dan keistimewaannya, restoran ini menyediakan pelbagai jenis hidangan istimewa terutamanya makanan laut.

Namun khusus untuk pelanggan yang ingin berbuka puasa di sini, Restoran Istana Bambu menyediakan banyak makanan Negeri Sembilan yang digemari ramai.

Bagi mereka yang berasal dari Negeri Sembilan, masak lemak rebung ikan masin, rendang pucuk ubi, gulai tempoyak daun-daun, gulai lemak pucuk paku, gulai siput sedut, masakan sayur-sayur kampung merupakan lauk-pauk yang boleh membuatkan kecur air liur.

Bukan itu sahaja, ditambah dengan ayam kampung goreng rempah, sup tulang, rendang ayam dan daging, patin tempoyak, sup cendawan, pelbagai jenis kerabu, sambal tumis petai dan sebagainya pasti membuatkan pengunjung ingin merasai kesemua jenis lauk-pauk itu.

Pengarah Restoran Istana Bambu, Afandy Alias berkata, jika kebanyakan hotel dan restoran menyediakan makanan yang sama setiap tahun namun makanan di restorannya sengaja dibuat berbeza.

''Saya menyedari apabila bulan puasa, orang lebih suka dengan makanan-makanan kampung. Bagaimanapun sukar juga hendak mendapatkannya kecuali di pasar-pasar malam. Justeru saya mengambil keputusan untuk menyediakan makanan-makanan seperti itu di restoran ini dan pelanggan dapat menikmatinya dalam suasana yang amat berbeza daripada di rumah.

''Sebanyak lebih 40 jenis makanan termasuk lauk-pauk, kuih-muih, bubur dan minuman boleh dinikmati pada harga cuma RM58 seorang,'' kata Afandy yang ditemui di restorannya baru-baru ini.

Menurut Afandy lagi, pelanggan mempunyai pilihan sama ada untuk duduk di atas kerusi buluh atau bersila di ruang makan duduk yang disediakan di gazebo.

Selain itu, restoran ala kampung yang terletak di dalam bandar ini masih tetap menyediakan hidangan utamanya, iaitu makanan laut ala Cina yang halal bagi mereka yang ingin menikmati selain makanan Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: