Friday, August 13, 2010

Pernah muntah darah akibat tekanan


Keluarga adalah segala-galanya bagi Yusuf Taiyoob. Kelihatan Waseem, 10, Safina, 4, isteri Datin Yusnita Ramli dan Safiya, 7, iaitu nama tiga jenis kurma yang mengambil sempena nama anak-anaknya.


KEJAYAAN yang dilakar oleh Datuk Yusuf Taiyoob pada hari ini adalah hasil daripada tindakannya memecahkan tradisi. Keluarganya terdiri daripada golongan saudagar yang sangat terkenal di Pulau Pinang. Maka sudah semestinya Yusuf meneruskan tradisi perniagaan keluarganya itu.

Tetapi tradisi itu mulai pecah apabila Yusuf lebih berminat untuk menyambung pelajarannya di bidang perubatan di India. Tetapi selepas setahun mengikuti pengajian, Yusuf terpaksa pulang semula ke tanah air apabila beliau jatuh sakit.

"Apabila saya kembali sihat, pihak keluarga memberikan saya tiga pilihan untuk saya membina kerjaya.

"Iaitu sama ada saya perlu pulang semula ke India untuk menyambung pengajian atau saya boleh meneruskan perniagaan milik keluarga dan pilihan terakhir, memilih perniagaan saya sendiri tanpa perlu bergantung kepada bantuan keluarga," katanya.

Yusuf mengambil risikonya sendiri dengan memilih pilihan ketiga, iaitu berniaga sendiri walaupun ketika itu beliau tidak ada ilmu dalam bidang perniagaan.

"Saya sedar pilihan ketiga itu menyebabkan saya akan bermula dari kosong. Tanpa modal, tanpa pengawasan, tanpa ada bantuan dari mana-mana pihak untuk memastikan saya mampu bertahan," katanya.

Namun beliau dengan segera mengambil peluang untuk berniaga apabila tender untuk menyewa tapak niaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas yang di buka kepada orang ramai.

Di usia yang dikira sangat mentah, Yusuf memulakan perniagaan menjual minyak wangi yang bahan-bahannya diperoleh dari Perancis. Uniknya minyak wangi itu dikenali sebagai Perfumes Of Penang.

Satu nama atau jenama produk yang sangat memancing perhatian para pelancong yang tiba untuk mengunjungi Pulau Pinang. Lebih-lebih lagi apabila kios atau tapak perniagaan milik Yusuf itu betul-betul terletak di hadapan balai ketibaan bagi penumpang antarabangsa.

"Semuanya saya lakukan sendirian. Saya adunkan minyak wangi itu, saya ke Singapura untuk mendapatkan botol-botol kaca untuk menyimpan minyak wangi, saya bungkus dan serba serbi saya lakukan bagi memastikan minyak wangi ini tidak sekadar minyak wangi yang biasa," katanya.

Maka tentu sahaja Perfume Of Penang terus menggamit perhatian para pelancong yang tiba kerana mereka tidak menyangka di samping mempunyai pemandangan yang menarik, Pulau Pinang dianugerahkan dengan bau harumannya yang tersendiri.

"Namun sayangnya, perniagaan minyak wangi saya itu terus jatuh merudum apabila tapak perniagaan saya itu dipindahkan oleh pihak pengurusan lapangan terbang ke tingkat satu. Kedudukan yang agak tersorok dan tidak lagi strategik kepada orang ramai," katanya.

Akibatnya, lagi sekali Yusuf jatuh sakit yang teruk akibat tekanan perniagaan yang tidak disangka-sangka menjadi seburuk dan seteruk itu.

Beliau mengalami muntah darah dan terpaksa dikejarkan ke hospital dalam keadaan separuh sedar.

Begitu sekali penangan daripada tekanan perniagaan yang terpaksa ditanggung oleh Yusuf malah yang semakin menambahkan tekanan apabila cubaan beliau untuk memperkenalkan minyak wangi kepada sebuah syarikat kosmetik terkenal di Kuala Lumpur langsung tidak diendah.

"Malah lebih menyakitkan apabila contoh minyak itu dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah.

"Tidak tergambar kekecewaan saya ketika itu. Sudahlah kios di lapangan terbang itu terpaksa ditutup, ditambah lagi apabila saya seperti ditendang keluar apabila minyak wangi saya itu dibuang umpama sampah," katanya.

Namun Yusuf tetap bangun dengan gagah, dengan kekuatan yang dikumpulkan terutama nasihat daripada Allahyarham bapanya, Taiyoob Essa. Yusuf terpaksa melupakan minyak wangi dengan beralih kepada perniagaan import makanan dari luar, termasuk kurma.

Dari situ bermulalah empayar kurmanya hingga seolah-olah menjadi satu fenomena pada hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: