Friday, August 13, 2010

Enaknya kerabu


Kerabu mangga dan betik.


ALHAMDULILLAH hari ini masuk hari ketiga kita menyambut Ramadan. Saya mengucapkan Salam Ramadan kepada semua pembaca Utusan Malaysia. Saya pasti ada di antara anda yang sudah memikirkan juadah apa yang hendak dijamu petang ini.

Mungkin bagi yang tidak berkesempatan untuk memasak di rumah maka juadah yang dibeli di pasar Ramadan menjadi pilihan hati tetapi bagi mereka yang bercadang untuk memasak di rumah bagaimana? Apakah resipi anda untuk makanan berbuka puasa petang ini?

Baiklah kali ini saya ingin bercerita tentang juadah pembuka selera. Tetapi sebelum itu saya ingin menceritakan juadah pembuka selera di sepanjang bulan Ramadan yang menjadi amalan oleh Nabi Muhammad SAW ketika Baginda berbuka puasa iaitu buah kurma atau dikenali juga sebagai buah tamar. Banyak sekali artikel di media cetak dan elektronik yang menceritakan keajaiban buah ini.

Sedang saya sibuk melayani Internet mencari info kesihatan tentang buah tamar, akhirnya saya terhenti pada satu artikel di blog yang sangat menarik perhatian saya iaitu 'Rahsia Buah Tamar' tulisan saudara GH Syukri. Artikel ini menyatakan tentang kebaikan dan khasiat buah kurma. Maklumat yang diberi dan diolah sangat berinformasi untuk saya kongsikan dengan pembaca sekalian.

Antara khasiat buah kurma dari petikan artikel itu adalah:

lKaya dengan sumber protein.

lKaya dengan gula.

lKaya dengan serat.

lKaya dengan Vitamin A dan Vitamin C dan B9 (asid folik).

lKaya dengan zat mineral dan galian seperti Besi, Kalsium, Sodium dan Potasium.

Lihat betapa berkhasiatnya buah tamar ini. Kandungan khasiat yang terkandung dalam buah kurma mencukupi untuk keperluan nutrisi dalam badan.

Kandungan gula semulajadi dalam buah kurma seperti glukosa mudah diserap untuk kegunaan badan. Oleh yang demikian kita disunatkan untuk makan buah tamar ketika berbuka puasa agar tenaga yang hilang pada sebelah siang hari dapat digantikan.

Justeru kita dapat melaksanakan ibadat di sebelah malam seperti sembahyang Tarawih dengan lebih bertenaga. Kita mempunyai banyak sekali pilihan jenis kurma yang boleh kita beli dipasaran mengikut kemampuan masing-masing.

Oleh itu, jadikan amalan Rasullullah SAW sebagai amalan ketika berbuka puasa. Berbalik kepada cerita pembuka selera tadi.

Mungkin anda lebih terbiasa dengan makanan yang bernama kerabu bukan? Jika di barat pembuka selera mereka dikenali sebagai appetizer atau salad. Salad adalah hidangan pertama yang dimakan bertujuan menaikkan selera seseorang sebelum menikmati hidangan seterusnya.

Ada salad yang diambil lebih besar kuantitinya dan ia diambil untuk menggantikan main course atau makanan utama yang boleh mengenyangkan. Hidangan seperti ini mengandungi semua nutrisi lengkap yang diperlukan oleh badan.

Walaupun pembuka selera seperti salad berfungsi untuk menaikkan selera sebelum hidangan kedua dinikmati bagi masyarakat di Malaysia pembuka selera seperti kerabu lebih gemar diambil sebagai lauk sampingan ketika makan bersama nasi.

Kebanyakan kerabu tidak berkuah dan kering di samping berasa sedikit masam dan ada yang menggunakan kerisik. Kerabu juga menggunakan bahan-bahan sampingan yang lain seperti bawang, udang kering, cili, asam limau, ayam dan daging.

Kebanyakan kerabu daripada sumber ulam-ulaman seperti kerabu tauge, kacang botor, kerabu kacang, kerabu pucuk paku dan kerabu bunga betik. Jika anda rajin ke bazar Ramadan anda pasti akan berjumpa dengan orang yang menjual kerabu dan di kesempatan bulan yang mulia ini saya ingin berkongsi dengan anda iaitu kerabu mangga dan betik yang boleh anda buat di rumah untuk sajian santapan berbuka puasa nanti. Selamat memasak di bulan puasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: