|
|
PERCUTIAN di resort tepi pantai bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Apa kata, anda mencari kelainan dengan bercuti di sebuah calet yang terletak di tengah sawah padi.
Kalau pengalaman baru itu yang anda mahukan, Air Papan di Mersing, Johor perlu dimasukkan dalam senarai destinasi pilihan. Di situ terdapat sebuah calet berkonsep Bali dikelilingi panorama kampung tradisil.
Apabila sampai di sana, laluan masuk sudah menggambarkan keseronokan kerana pengunjung disambut dengan batu-batu kecil di antara terusan air dan beberapa kolam kecil yang ditumbuhi teratai.
Barangkali tiada siapa sangka laluan dari jalan utama meredah ke kawasan sawah yang luas itu menuju ke dua unit calet dan sebuah banglo persendirian milik Md. Khaled Hussein.
Seindah namanya, Kali's Prada Villa tidak perlu menunggu lama untuk membuatkan sang pencinta alam semula jadi pantas mengagumi keindahan dikelilingi sawah padi menghijau dan berlatarbelakangkan Hutan Rekreasi Gunung Arong.
Sesungguhnya momen yang tidak dapat dilupakan ketika memandang sungai dan sawah padi dari luar jendela calet kepunyaan lelaki berusia 55 tahun itu. Pemandangan cukup mendamaikan jiwa sambil hembusan tiupan angin 'sepoi-sepoi bahasa' yang menyegarkan.
Suasana perkampungan yang tenang pasti mengundang rasa cemburu betapa bertuahnya para penghuni di situ tidak perlu menempuh seribu satu macam kesibukan seperti di bandar besar.
Berbual dengan Khalid, lelaki berambut paras bahu itu memberitahu, calet tersebut mula dibuka pada 2007 dan merupakan gabungan dua unit bangunan yang menempatkan sebanyak lapan bilik berkonsepkan resort tropika.
Sambung bicara bekas kakitangan Jabatan Perikanan itu, daripada 0.8 hektar tanah sawah, 0.4 hektar diperuntukan untuk calet dan banglonya manakala selebihnya mengekalkan petak sawah untuk diusahakan sendiri bersama pekerjanya.
"Inilah keunikan yang saya ingin tonjol di Kali's Prada Villa iaitu memberi pengalaman kepada pengunjung untuk turun ke sawah dan mencuba sendiri menanam atau menuai padi.
"Malah jangan terkejut jika padi yang dituai yang merupakan beras asli dapat dinikmati sebagai hidangan bersama masakan kampung lain," katanya.
Calet tersebut boleh menampung seramai 25 tetamu dalam satu-satu masa dan kadar bayaran yang dikenakan adalah berpatutan menerusi pilihan bilik 'single' atau dua bilik yang digabungkan.
"Kadar penginapan bermula pada harga serendah RM100 dan jumlah pengunjung terhad diutamakan bagi menjaga privasi calet ini yang mementingkan kedamaian.
"Saya harap lebih ramai pengunjung dari luar negara akan datang ke sini bagi memperkenalkan kehidupan kampung kepada mereka," katanya yang melabur sekitar RM150,000 bagi kedua-dua calet itu tidak termasuk kos banglo yang berjumlah RM250,000.
Khalid merancang untuk membina kafe dan kolam renang dalam usaha meningkatkan kemudahan selesa kepada pengunjung.
Dia juga menyimpan hasrat untuk menyediakan beberapa batas tanaman sayur-sayuran selain menambah bilangan ternakan ayam kampung dan itik nila peliharaannya yang akan dibiar bebas di sekeliling halaman.
"Selain itu, saya juga mahu membina gazebo untuk tetamu bersantai sambil menikmati rawatan urut tradisional. Pasti ramai yang mahu menikmati kemahiran mengurut oleh orang kampung di sini sambil menghirup angin sawah yang segar.
Tambah kemudahan
"Malah kalau ikutkan hati, saya ingin menambah unit calet ini bagi menjadikannya sebagai tempat penginapan utama pelancong dengan tarikan tema kehidupan pesawah," katanya bersungguh-sungguh.
Ditanya mengapa terlalu obses dengan konsep Bali, Khalid berkata, dia jatuh hati dengan keindahan hiasan dalaman yang eksotik selain keindahan alam semula jadi yang terdapat di pulau popular di dunia itu.
Konsep sebegitu diyakini dapat mengembalikan nostalgia pengunjung dan mereka pasti kembali kerana merindui keindahan semula jadi dan seni dalaman yang terdapat di Kali's Prada Villa.
"Saya selalu mengimpikan sebuah pusat penginapan di tengah-tengah sawah seperti di Bali. Tanpa disangka, kakak saya memperkenalkan tempat ini dengan harga tanah yang agak murah sekitar RM20,000 pada 1998.
"Saya berasal daripada keluarga susah dan mempunyai adik-beradik yang ramai tetapi saya berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu. Kalau kita bijak merancang dan berjimat, kita boleh memiliki apa yang diidamkan," imbas Khalid ketika bersembang santai di banglonya diiringi alunan instrumen Bali.
Kecintaan yang mendalam terhadap Bali dibuktikan Khalid apabila dia turut menganjurkan pakej pelancongan ke pulau itu selama lima hari empat malam yang berharga RM1,300 kepada orang ramai.
Justeru apa tunggu lagi, jika anda peminat keindahan semula jadi, jangan lupa berkunjung ke Kali's Prada Villa yang terletak di Lot 674, Sawah Air Papan di Mersing atau hubungi di talian 017-7639274 dan 019-7692545.
Maklumat lanjut juga boleh didapati dengan melayari laman web www.kalisguesthouse.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: