Sunday, August 1, 2010

Inspirasi kediaman Inggeris




Melangkah masuk kediaman yang menampilkan ciri-ciri mewah tetapi ceria menawarkan satu lagi inspirasi dalam penataan rumah impian.

Gabungan warna, corak, susunan, perabot dan hiasan berkonsepkan klasik mampu menyuntik elemen kegembiraan dan harmoni di kediaman.

Manakala pilihan warna cerah di samping corak bunga-bungaan pula menghidupkan sentuhan Inggeris. Itulah yang diketengahkan Laura Ashley - jenama legenda yang sentiasa menampilkan gaya elegan yang tidak pernah ketinggalan zaman.

Setiap ruang dilengkapi ciri perabot klasik mewah berukiran kayu atau logam berkualiti menjadikan susunan yang dipilih segar dan harmoni.

Paduan corak bunga dengan warna lembut seperti biru muda, merah samar atau ungu pula memberi ketenangan kepada pemilik ruang.

Tidak pernah mengabaikan konsep kekeluargaan, pilihan sofa terdiri daripada saiz sederhana hingga besar.

Kebanyakan fabrik pilihan Laura Ashley jenis lembut sememangnya mampu memberi keselesaan.

Lebih menarik, pilihan bantal hiasan kecil pada sofa dengan corak bunga-bungaan menaikkan seri sofa yang berwarna polos.

Harmoni

Selain itu, permaidani dengan keluasan sederhana dipilih untuk menutup kelemahan lantai. Lebih harmoni andainya corak permaidani yang dipilih sama dengan hiasan bantal-bantal kecil.

Sinonim dengan hiasan dalam filem-filem Inggeris yang kita tonton, perabot ukiran kayu menjadi tema utama.

Misalnya, meja kecil di ruang tamu dengan hiasan lilin atau ruang meletak bingkai gambar dengan corak klasik.

Bagi memastikan ruang rumah kelihatan luas, anda boleh memilih cermin dengan ukiran kayu antik menambah ciri-ciri mewah.

Bagi rumah yang mempunyai ruang yang luas, hiasan susunan pinggan, mangkuk, cawan dan gelas pada meja makan antara idea menarik.

Susunan corak senada dengan sofa pasti menaikkan seri kediaman anda.

Sempena musim perayaan yang akan datang, apa kata pilih warna garang seperti merah. Selain nampak berbeza dengan hiasan lain, warna seperti itu memberi semangat kepada penghuni dan tetamu kediaman.

Tidak ketinggalan, pilihan lampu dengan reka bentuk klasik. Untuk ruang tamu, anda boleh memilih lampu siling dengan susunan kaca kristal yang nampak mewah.

Bentuk lampu siling seperti lilin sesuai untuk meja makan keluarga.

Pencahayaan sederhana dipilih untuk membangkitkan suasana harmoni yang romantik.

Berbeza dengan konsep kediaman lain, bunga-bungaan menjadi identiti utama gaya Inggeris.

Misalnya set minuman turut dihiasi bunga-bunga kecil.

Manakala, set sofa dan langsir turut mempunyai corak bunga besar.

Selain bunga, terdapat corak tulisan tangan berbentuk abstrak atau daun.

Ia nampak lebih kontemporari sesuai untuk ruang kediaman dengan gaya moden.

Lazimnya, warna juga lebih ceria untuk gaya yang lebih muda dan segar.

Bayangkan, anda boleh memilih lampu meja dan langsir yang mempunyai corak yang sama dengan sofa.

Corak ringkas dengan jaluran warna sudah cukup memberi hiasan menarik pada ruang kediaman.

Tidak ketinggalan, jambangan kecil sama ada bunga segar atau tiruan boleh dijadikan hiasan ruang rehat atau menonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: