Tuesday, August 10, 2010

Penceritaan digital animasi Stitch




BAYANGKAN dalam tempoh empat hari mengikuti satu bengkel menghasilkan animasi pendek, apakah yang anda harapkan daripada pengalaman tersebut?

Sudah pasti ramai yang menggeleng kepala tanda mengakui kelemahan diri untuk menguasai bidang rekaan animasi dalam tempoh sesingkat itu.

Justeru, pujian harus diberikan kepada semua peserta akhir dalam pertandingan Digital Storytelling Through Animation With Disney Stitch yang melabuhkan tirainya Jumaat lalu.

Terdiri daripada pelajar berusia antara 10 hingga 14 tahun, kesemua 244 orang peserta berjaya menghasilkan satu klip animasi pendek yang kreatif dan menghiburkan.

Malah, walaupun bergelar amatur muda dalam animasi, setiap klip yang dihasilkan mempunyai teladan untuk dicontohi penonton.

“Secara keseluruhan, saya kagum dengan pencapaian yang ditunjukkan setiap peserta. Ternyata mereka mempunyai bakat yang boleh dikembangkan untuk menjadi seorang animator yang hebat,” kata Naib Presiden dan Pengurus Besar Saluran Jenama Antarabangsa Televisyen Walt Disney Jepun, Eddie Cox.

Memberi kata-kata perangsang kepada para peserta, Eddie memberitahu, seorang pencipta yang hebat boleh lahir daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira banyak mana pengalaman yang dimiliki.


KUMPULAN dari SMK Datuk Lukman ceria sewaktu membentangkan hasil klip animasi mereka.


Oleh itu, jangan mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu terutama jika mahu menceburi dunia animasi yang semakin popular pada abad ini.

SK Kem Tentera juara

Apa yang pasti, tiga sahabat baik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Tentera, Sandakan, Sabah menjadi insan paling gembira apabila kumpulan mereka dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan penceritaan digital animasi itu.

Karakter makhluk asing yang digelar Ucu hasil ciptaan Mohd. Rusdi Jabari dan Mohd. Irfan Lutfi Hajullah, masing-masing berusia 11 tahun serta Hafizul Mufti A. Ramos, 10, berjaya menarik perhatian juri yang mengadili pertandingan akhir tersebut.

Menurut Irfan, dia dan rakan-rakannya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan keseluruhan klip animasi yang berdurasi selama tiga minit itu.

Selepas mempelajari teknik asas penghasilan animasi dalam bengkel empat hari yang dilaksanakan di Sabah, mereka terus membahagikan tugas masing-masing.

“Kami berbincang untuk memilih karakter makhluk asing dan jalan cerita yang akan digunakan kelak. Antara tugas yang dilakukan termasuklah melakar watak utama animasi, menyiapkan papan cerita dan menggunakan perisian yang dibekalkan pihak penganjur,” kata Irfan ketika ditemui Kosmo!.

Kumpulan Irfan turut disertai seorang guru, Hatta Yunus @ Sawabi sebagai penasihat sepanjang pertandingan berlangsung.

Kemenangan itu membolehkan kumpulan SK Kem Tentera Sandakan membawa pulang pakej percutian ke Disneyland Hong Kong selama tiga hari dua malam untuk merasai pengalaman sebenar berjumpa dengan Stitch.


SETIAP peserta perlu mencipta satu karakter makhluk asing yang diinspirasikan daripada watak Stitch.


Pertandingan penceritaan digital itu dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia Sdn. Bhd. (MDeC) dengan kerjasama Saluran Disney Asia Tenggara di samping mendapat sokongan padu daripada Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sementara itu, Astro bertindak sebagai penyiar rasmi dan majalah Kawan terbitan Kumpulan Utusan sebagai majalah rasmi.

Inspirasi

Bertujuan untuk mencetuskan inspirasi animasi kepada generasi baru, ternyata program itu berjaya mencungkil bakat terpendam dalam kalangan pelajar.

Senior Eksekutif Bahagian Pembangunan Industri MDeC, Vernon Fernandez memberitahu, program itu mendapat respons yang cukup baik dalam kalangan ibu bapa dan pelajar.

Oleh yang demikian, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan bengkel serupa tetapi dalam bentuk kem cuti sekolah yang tempohnya lebih panjang.

“Melalui program ini, para peserta berpeluang mempelajari bagaimana menggunakan peralatan dan perisian animasi terbaru yang lebih menyeronokkan,” jelasnya yang bertindak sebagai pengurus projek dalam pertandingan berkenaan.

Siri bengkel animasi itu telah dimula sejak April hingga Jun lalu dengan dikhususkan untuk murid sekolah rendah tahap dua dan sekolah menengah tahap satu iaitu kanak-kanak berusia antara 10 hingga 14 tahun.

Setiap bengkel yang diadakan di Selangor, Pahang, Sabah, Perak, Johor dan Kuala Lumpur itu disertai peserta dari 10 buah sekolah. Setiap sekolah pula diwakili satu kumpulan yang terdiri daripada seorang guru dan tiga orang murid.

Sepuluh kumpulan terbaik daripada semua sekolah yang terlibat akan diberi Stitch Animation Starter Pack.

Ia mengandungi kertas kerja setebal 120 muka surat bersama informasi latar belakang kisah Stitch yang pergi ke alam asing dan penemuannya dengan kawan baru. Ini akan menjadi titik permulaan kepada cerita animasi setiap peserta.


BARISAN juri memberi sepenuh perhatian sewaktu melihat pembentangan peserta.


Setiap kumpulan kemudiannya akan ditugaskan untuk mencipta kisah Alien Encounter sendiri berdasarkan inspirasi kisah Stitch sebelum dipilih ke peringkat akhir yang berlangsung di Cyberview Lodge Resport Spa, Cyberjaya.

Sebanyak 12 buah sekolah yang layak ke peringkat akhir ialah SK Peserai, Johor; SK Kem Tentera, Sabah; SK Pekan Jaya dan SK Bandar 2 Paloh Hinai, Pahang; SK Sultan Idris 2 dan SK Bendang Kering, Perak; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Medan, Johor; SMK Gum Gum, Sabah; SMK Datuk Lukman dan SMK Seri Tasik, Kuala Lumpur; Sekolah Seri Puteri, Selangor dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, (SJKC) Dengkil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: