
KEPADA golongan remaja di luar sana, adakah anda berminat untuk mempelajari bidang lakonan dan tarian berjalurkan seni Bollywood?
Atau pernahkah anda terfikir untuk meraih peluang keemasan berlakon bersama bintang-bintang handalan di India?
Jika ya, jangan ketinggalan menyertai kursus lakonan dan tarian yang ditawarkan Akademi Bollywood yang beroperasi di Kelana Mall, Kelana Jaya, Selangor.
Akademi itu diasaskan oleh tiga sahabat, Harjinder Singh, Raman Kumar Bachchan dan Sanjeev Mohan melalui syarikat mereka iaitu AP Western Sdn. Bhd. yang dilancarkan April lalu oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Mohd. Daud.
Baru-baru ini, Akademi Bollywood sekali lagi mengadakan pelancaran rasmi yang disempurnakan oleh Toh Puan Bendahara Kedah, Datuk Noor Suzana Abdullah. Kali ini, mereka turut mengundang pengarah muzik filem Bollywood, Sameer Sen dan penyanyi Vithod Ranod.
Menurut Harjinder merangkap Pengarah Urusan Akademi Bollywood, inisiatif itu dilakukan untuk mewujudkan platform di kalangan pelajar yang berminat dalam seni berkenaan.
"Untuk kursus lakonan dan tarian, ia hanya mengambil masa tiga bulan. Para pelajar akan menimba ilmu daripada tenaga pengajar profesional dari Mumbai iaitu koreografer, Agnes Hamilton bersama pembantunya Sachin Poppat dan Sandesh.
"Selain itu, kami juga menawarkan kursus pembuatan filem selama sembilan bulan bagi mereka yang meminati kerja-kerja di belakang tabir," jelas Harjinder sambil menambah bahawa sehingga kini akademi tersebut sudah mempunyai 100 pelajar dari dalam dan luar negara.
Bagi Noor Suzana pula, beliau mengakui sangat teruja apabila dipilih sebagai penaung untuk akademi tersebut. Malah, beliau yakin ia akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia.
"Sejak kecil saya sudah meminati filem-filem Bollywood. Ia sudah begitu sebati dalam jiwa saya. Justeru, saya gembira apabila ada usaha yang dilakukan Harjinder dan rakan kongsinya untuk membuka akademi ini.
![]() |
| PELAJAR di Akademi Bollywood berpeluang mengembangkan bakat sehingga ke India. |
"Saya harap mereka yang berminat tidak akan ketinggalan untuk mendaftar dan belajar di sini. Jika tidak mampu, saya tidak akan teragak-agak untuk mewujudkan dana bagi membantu anak-anak kita mendapat ilmu di akademi ini," jelas Noor Suzana yang turut menyanyikan sebuah lagu pada majlis berkenaan.
Apa yang pasti, pembelajaran di Akademi Bollywood itu terbuka kepada semua peringkat umur. Daripada kanak-kanak, remaja hinggalah golongan dewasa.
Di samping itu, dari semasa ke semasa, pihak akademi akan sentiasa membawa pelakon, penari atau individu yang berkaitan dalam dunia perfileman Bollywood untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar.
Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi talian 03-7804 3032, 017-881 1 538 atau layari laman web bollywoodacademy.com.my -

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: