
SKRIN lebar kini kembali di Jenin selepas 23 tahun ia kehilangan fungsi. Situasi itu merupakan satu permulaan baru buat warga Tebing Barat yang menjadi kubu kuat penduduk Palestin dalam kemuncak penentangan terhadap penjajahan Israel.
Tersimpan dalam atmosfera suram sejak tahun 1987, Pawagam Jenin akhirnya dibuka semula malam Khamis lalu dengan penayangan filem Heart of Jenin, sebuah dokumentari menyentuh perasaan yang mendorong kepada pengubahsuaian pawagam tersebut.
Filem itu mengisahkan tentang Ismail Khatib, yang kehilangan anaknya akibat ditembak mati pada tahun 2005 oleh tentera Israel gara-gara menyangka dia mempunyai senjata sebenar. Hakikatnya ketika itu, anak Ismail hanya memegang selaras senapang mainan.
Namun, walaupun trauma dengan insiden berdarah itu, Ismail menunjukkan kemaafan dengan cara yang langsung tidak disangka apabila mendermakan organ dalaman anaknya kepada pesakit Israel.
"Kami membina pawagam ini menerusi mesej Ismail yang mengatakan, wujudnya harapan," kata pengarah dari Jerman yang menghasilkan dokumentari berkenaan, Marcus Vetter.
Sebelum ini Heart of Jenin telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Dokumentari Terbaik Jerman. Namun, Vetter kemudian menyedari tiada tempat untuk menayangkan filem itu di Jenin.

Bagaimanapun, pada majlis pembukaan semula pawagam itu, seramai 500 orang hadir menyaksikan tayangan filem Heart of Jenin. Ia boleh dianggap satu lagi peristiwa penting dalam mencapai transformasi keamanan di Tebing Barat yang bersempadan dengan Israel.
"Saya melihat anak saya, Ahmed dalam semua wajah yang ada di sini," kata Ismail kepada penonton yang hadir.
Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad yang merupakan antara tetamu kehormat pada majlis itu memberitahu Reuters: "Ini menunjukkan kesungguhan orang kami untuk menutup pintu putus asa dan membuka pintu harapan."
Pertarungan kumpulan-kumpulan militia yang angkuh di sekitar Jenin dengan selimpang peluru sewaktu Intifada kedua pada tahun 2000 menyebabkan bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat menggelarnya Jeningrad.
Pada 2002, Jenin menyaksikan salah satu daripada lokasi pertarungan paling sengit antara militan Palestin dengan tentera Israel yang menyebabkan ratusan terbunuh daripada kedua-dua belah pihak.
Kini, Jenin dilihat sebagai sebuah bandar contoh dalam membina kawalan keselamatan profesional untuk mendukung kedaulatan undang-undang di Tebing Barat seperti mana dalam Persetujuan Damai Sementara Oslo 1993.
Bandar yang mempunyai kira-kira 40,000 pendudukan itu kini kembali sibuk dan menarik pelanggan Arab Israel dari sempadan.
Kerajaan Jerman telah memperuntukkan 325,000 euro (RM1.35 juta) untuk mengubahsuai pawagam tersebut yang bertujuan membantu kerajaan Fayyad dan ahli perniagaan tempatan.
![]() |
| HAMPARAN karpet merah di depan Pawagam Jenin. |
Ia mempunyai dua buah panggung dalam dan luar selain syarikat produksi, sekolah perfileman dan perpustakaan digital untuk filem muzikal dan buku rujukan. Pawagam itu juga akan menayangkan filem-filem Arab dan Hollywood pada masa akan datang.
"Pembukaan pawagam ini merupakan satu perkara yang amat luar biasa. Ia adalah gambaran terhadap jalan untuk perdamaian," kata wakil kerajaan Jerman, Goetz Lingenthal di Ramallah.
"Tiada tempat yang lebih baik dari Jenin untuk menunjukkan bahawa jalan untuk perdamaian boleh dicapai."

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: