Sunday, August 1, 2010

Azah Aziz lepas rindu di Malaysia




MUNGKIN sudah tidak ramai yang mengenali model dan pelakon berkulit sawo matang yang bernama Norazah Aziz. Popular dengan nama glamor Azah Aziz, dia sekeluarga pulang bercuti selama tiga minggu.

Tidak banyak perubahan biarpun sudah mempunyai tiga anak. Azah kelihatan bertambah cantik dengan rambut ikal yang panjang dan susuk tubuhnya juga sama seperti dahulu. Setelah mendirikan rumahtangga dengan lelaki pilihan berasal dari Perancis, Daud Leroy, 44 tahun, Azah, 38 berhijrah ke tiga negara sejak 15 tahun lalu.

Azah pernah dijulang sebagai pemenang pertandingan Putera Puteri bergandingan dengan jurusolek terkenal Zulfazli Suhadi pada tahun 1992. Setelah mendirikan rumahtangga 15 tahun lalu, dia berhijrah ke Paris selama dua tahun, kemudian ke London setahun. Setelah kota London, mereka sekeluarga berhijrah pula ke Montreal, Kanada kerana suaminya mendapat kerja di sana.

Daud Leroy lelaki Perancis berkerja sebagai pegawai pemasaran dan jualan dengan sebuah syarikat menjual jet persendirian di Montreal. Kini mereka menetap di bandar raya yang dikenali sebagai kota berbilang kaum dan budaya selama sembilan tahun.

“Tidak ramai yang tahu Azah dah duduk di Montreal selama sembilan tahun. Di Perancis kami tinggal dua tahun sahaja, kemudian ke London sebab suami saya melanjutkan pengajian di sana. Setelah itu dia dapat kerja di Montreal,” kata Azah.

Baru-baru ini Azah pulang bercuti selama tiga minggu bersama keluarganya. Kali terakhir dia pulang ke tanah air ialah lima tahun lalu.

Ikatan perkahwinan dengan Daud Leroy 15 tahun lalu dikurniakan tiga anak lelaki, Aaron, 14, Brian, 7 dan Justin 4 tahun. Mendengar percakapan Azah menerusi perbualan sewaktu ditemubual, dia sedikitpun tidak kekok berbahasa Melayu dan ternyata tetap fasih seperti yang saya kenali 15 tahun lalu.

“Anak saya semuanya hero. Saya menjadi suri rumah sepenuh masa dan banyak aktiviti harian saya habiskan dengan anak-anak. Biasalah anak-anak yang sedang membesar banyak aktiviti selain dunia persekolahan.

“Dua anak lelaki saya pula aktif bermain hoki ais dan saya juga ada kalanya terlibat dengan aktiviti sukarela. Anak-anak saya dihantar belajar di sekolah Perancis di Montreal dan mereka lebih fasih berbahasa Perancis. Kalau di rumah kadang kala ada juga mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris selain bahasa Melayu,” cerita Azah lagi.

Azah yang pernah membintangi slot Idaman musim pertama di Astro Ria satu waktu dahulu memberitahu hubungannya dengan rakan karibnya Sharifah Shahira tidak pernah putus sejak dia berhijrah ke luar negara.

“Bila saya balik Kuala Lumpur, Shira mengajak saya berjalan ke Pulau Pinang, Pulau Pangkor dan juga Genting Highlands. Suami saya pula ke Melaka dan Singapura bersama anak sulung,” katanya lagi.

Bercerita tentang kehidupannya di Montreal, Kanada, menurut Azah bandar raya itu adalah tempat yang paling seronok untuk didiami. Kota Montreal ada banyak bangsa. Kata Azah sebut sahaja apa bangsa di dunia ini, semuanya ada di Montreal.

“Seronok di sana, semua kaum dan bangsa serta agama ada. Jadi kita tidak terasa asing sangat. Kalau di Paris, majoritinya orang Perancis saja, jadi kehidupan kita cepat bosan.

“Kalau di rumah saya akan masak setiap hari. Dalam tempoh dua minggu sekali atau dua kali saya akan masak masakan Malaysia. Hari-hari lain saya akan masak masakan barat seperti pasta, stek dan apa sajalah.

“Kalau hujung minggu biasanya suami saya yang akan masak. Anak sulung saya suka makan makanan yang pedas. Masa cuti di Kuala Lumpur ni dia tidak lepaskan peluang makan nasi lemak yang dijual oleh kakak saya sendiri.

“Sampai saja dari lapangan terbang ke Kampung Baru, saya terus singgah di kedai kakak saya dan makan nasi lemak. Selain itu saya pun tak lepaskan peluang makan laksa, asam pedas, nasi ayam dan roti canai. Penerbangan dari Montreal ke Kuala Lumpur mengambil masa 28 jam termasuk waktu transit, memang lama,” jelasnya lagi.

Pasangan serasi yang kini bertahan, Azah dan Daud juga agak terkejut dengan berita tentang perceraian artis-artis tempatan terutamanya yang berkahwin dengan pasangan asing.

Kata Azah, dalam rumah tanga apa yang penting ialah komunikasi dua hala. Jika ada apa-apa hal berbangkit timbul, perlu ada perbincangan dan ia mestilah diselesaikan segera.

“ Saya kenal dengan Daud dah 18 tahun, tiga tahun berkenalan dan kemudian kami mendirikan rumahtangga. Hidup kami pun taklah mewah sangat, sederhana tapi kami apa yang penting persefahaman,” cerita Azah lagi.

1 comment:

  1. suka ngn dia..lama da ta dengar ceritanya..dia shantek

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: