KEBANYAKANNYA berwajah ‘ganas’, malah ada yang bertubuh sasa tetapi tatkala menegur, bertutur dan bersilat, gerak geri dipamerkan penuh dengan adab, disiplin serta semangat kekeluargaan tinggi.
TANGKAS...kunci yang mematikan pergerakan musuh.
Ditubuhkan sejak lima tahun lalu, Pewajar sehingga kini mempunyai lebih 2,000 ahli dan satu daripada aktiviti NGO ini adalah kelas persilatan.
Istimewanya, apa yang
ditawarkan bukan semata-mata silat tetapi pada masa sama seni tempur yang boleh dipelajari hanya dalam tempoh 21 hari.
Presiden Pewajar, Muhamad Shukri Ibrahim, 37, berkata seni tempur yang diajar tidak menggunakan banyak pergerakan kerana segala-galanya dilakukan secara pantas dan tangkas.
“Asas seni tempur ini mampu dikuasai dengan mudah dan cepat. Pergerakannya membabitkan tumbukan siku, ‘tumbuk pedang’ (seperti menetak) menendang dan menerjah.
“Walaupun mudah dan cepat dipelajari, ia tidak semudah disangka. Ahli bukan hanya mempelajari pergerakan, tetapi pada masa sama ada senaman tertentu perlu dilakukan,” katanya.
Senaman dimaksudkan adalah senaman gerak tempur, yang mana setiap ahli perlu melakukannya sebelum masuk ke gelanggang. Bukan mudah melakukannya, malah ada yang dilihat ‘berkerut muka’ kerana senaman dibuat bertujuan menguatkan tangan dan kaki, sama ada menggunakan tangan kosong atau peralatan tertentu seperti kayu.
Menurut Muhamad Shukri, istimewanya teknik seni tempur itu, ia boleh dipelajari secara ekspres.
“Hanya 21 hari diperlukan untuk ahli kita mahir dengan teknik berkenaan. Jika mahu lebih daripada itu, boleh meneruskannya sehingga 44 hari.
“Syaratnya perlu adab, disiplin tinggi dan kesungguhan serta semangat kerjasama. Selain itu, teknik kawalan emosi dan mental perlu diterapkan kepada pelatih dengan memberi motivasi serta latihan yang berupaya mengawal perasaan mahupun tindakan bagi menjamin kesepaduan teknik,” katanya.
Muhamad Shukri berkata, di Pewajar, semua ahlinya didedahkan dengan pelbagai pendekatan yang menyedarkan seseorang itu betapa penting-nya menjaga adab dan sahsiah diri.
“Jika ada adab dan sahsiah diri yang baik, bukan sukar untuk seseorang itu menjadi lebih berdisiplin. Disebabkan itu, tiada masalah seperti kelas seni tempur kosong tanpa pelatih dan pelati tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri selepas tamat tempoh 21 hari.
“Paling penting, ilmu yang diperoleh tidak boleh digunakan untuk kepentingan sendiri atau menunjukkan kekuatan tidak tentu pasal.
“Seperkara lagi, jangan hanya beradab dengan sesama ahli atau ketua, paling penting ibu bapa dan keluarga diutamakan,” katanya.
Sehingga kini seramai 500 pelatih menamatkan latihan seni tempur manakala 25 ahli baru kini masih dalam latihan.
Selain seni tempur, Seni Pencak Silat Harimau Rajawali 7 turut ‘diwariskan’ kepada
ahli Pewajar. Bezanya dengan seni tempur, ia memerlukan tempoh panjang kerana perlu dipelajari secara berperingkat-peringkat.
Muhamad Shukri yang juga pengasas seni silat itu berkata, asas permainan seni silat berkenaan adalah gabungan beberapa jenis haiwan.
“Kita ambil permainannya, bukan watak. Seni silat ini menggabungkan pergerakan daripada helang, harimau, beruk, naga, buaya, ular dan burung Rajawali.
“Seperti juga seni tempur, adab menjadi kriteria utama.
Di gelanggang, tutur kata dititikberatkan, berjalan dan duduk menggunakan kaedah tertentu dan sentiasa patuh kepada keputusan dibuat,” katanya.
Latihan di Gelanggang Seni Gerak Tempur Fisabilillah Perwaja di Ara Damansara, Petaling Jaya diadakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, bermula jam 9 malam. Sepanjang Ramadan latihan bermula selepas solat Tarawih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: