DIANGGAP antara barisan depan setiap kali berlakunya bencana hinggakan peranan dan fungsi mereka hampir menyamai tugas pasukan menyelamat lain.
PENGALAMAN...pelajar diberi peluang merasai tugas sebagai anggota bomba.
Itulah cabaran anggota paramedik yang sentiasa meletakkan kepentingan diri ke belakang demi menyelamatkan nyawa orang lain.
Bagi memberi pendedahan sepenuhnya terhadap tugas paramedik, seramai 20 pelajar jurusan Diploma Sains Paramedik dari Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) mengadakan lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Lawatan itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk melihat dan merasai sendiri peranan yang dilakukan oleh paramedik pasukan keselamatan negara.
Pensyarahnya, Rahman Basar berkata, jika sebelum ini mereka mempelajari cara menyelamat hanya melalui teori di dalam bilik kuliah, kini anggota paramedik boleh merasai sendiri pengalaman operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, tugas sebagai paramedik mendedahkan mereka kepada risiko sama ada dijangka mahupun tidak dijangka.
Dia berkata, setiap kali berlakunya bencana atau sesuatu kejadian yang memerlukan bantuan paramedik, mereka perlu menyiapkan diri untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Pasukan paramedik antara individu terawal yang tiba di tempat kejadian dan pastinya mereka terdedah dengan pelbagai risiko, terutama membabitkan bahan kimia.
“Paramedik seharusnya ‘menilai’ keadaan tempat kejadian sebelum menyelamatkan mangsa bagi mengelak mereka sendiri menjadi mangsa,” katanya.
Dalam lawatan sehari itu, mereka dipertontonkan dengan demonstrasi menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kawasan dicemari bahan kimia.
Katanya, operasi menyelamat mangsa berbeza mengikut situasi kejadian itu berlaku dan setiap anggota paramedik perlu tahu apa harus dilakukan.
“Bagi kawasan yang dikesan tercemar dengan bahan kimia, paramedik perlu memakai sut khas bagi melindungi mereka daripada terdedah dengan bahan kimia itu.
“Mangsa perlu dibersihkan terlebih dulu sebelum dibawa keluar bagi mengelak bahan kimia itu merebak,” katanya.
Menurutnya, paramedik yang terbabit dalam operasi menyelamat itu juga perlu dibersihkan kerana keselamatan orang lain berada di tangan mereka.
“Kita tidak mahu dalam menyelamatkan seorang mangsa, ada nyawa lain terancam sama ada orang awam mahupun paramedik itu sendiri.
“Keselamatan paramedik dan orang awam sangat dititikberatkan dan jika kawasan bencana itu berbahaya dan dikhuatiri mengancam keselamatan mereka, paramedik tidak dibenarkan memasuki kawasan itu,” katanya.
Dia berkata, bilangan paramedik di negara ini masih berkurangan berikutan masyarakat tidak mengetahui sepenuhnya tugas paramedik.
Kebanyakan mereka hanya mengaitkan tugas penyelamat ini terletak di bahu agensi penyelamat seperti pasukan Jabatan Pertahanan Awam, Bomba dan Penyelamat dan polis.
“Paramedik juga mempunyai tugas sama seperti pasukan keselamatan lain, malah lebih mencabar kerana mereka perlu menyelamatkan nyawa mangsa dalam keadaan serba kekurangan di kawasan bencana.
“Seperti pasukan penyelamat lain, seorang paramedik dilengkapi pengetahuan dan kemahiran mencari dan menyelamat yang biasanya diamalkan pasukan penyelamat lain,” katanya.
CUCMS adalah institusi pengajian tinggi pertama menawarkan Diploma Paramedik sejak 2008 dan semua pelajar yang terbabit dalam lawatan berkenaan adalah pengambilan pertama jurusan berkenaan yang juga anggota Bahagian Ambulans, Persatuan Bulan Sabit Merah.
Dilihat daripada jumlah pelajar lelaki melebihi perempuan, Rahman berkata, jurusan ini memerlukan ketahanan mental yang kuat kerana setiap pelajar perlu mempunyai tahap kecergasan tinggi.
“Sama ada lelaki mahupun wanita, keperluan untuk menjadi paramedik yang berjaya adalah sama di mana tahap kecergasan harus tinggi.
“Malah pelajar dikehendaki melakukan regangan ringkas sebelum memulakan kuliah bagi memastikan mereka dalam keadaan cergas dan bersedia,” katanya.
NAMA: Azuwan Shah Sabri
UMUR: 29 tahun
ASAL: Chemor, Perak
KELUARGA: Ketiga daripada lima beradik
“UNTUK menyelamatkan nyawa.” Itulah moto jurusan Diploma Sains Paramedik yang menjadi pegangannya sejak hari pertama menjejakkan kaki di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS).
Bagi anak muda ini, tawaran melanjutkan pelajaran di CUCMS adalah sesuatu yang diimpikan dalam menyiapkan diri untuk menjadi anggota paramedik profesional dan terlatih.
Katanya, tugas paramedik bukan mudah kerana mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada mangsa yang berada di tempat kejadian.
“Pasukan penyelamat seperti bomba memainkan peranan untuk mengeluarkan mangsa daripada kawasan bencana atau bahaya.
“Tugas kami pula memberi rawatan perubatan awal kepada mangsa dan jika kecederaan dialami mangsa serius, semakin sukarlah tugas kami,” katanya.
Dia berkata, mereka juga berdepan risiko sama yang dialami pasukan penyelamat lain, termasuk mengalami kecelakaan di tempat kejadian.
“Kami juga perlu menyiapkan diri baik dari segi fizikal mahupun mental sebelum menyertai operasi kerana tugas ini memerlukan komitmen tinggi.
“Sikap sambil lewa dan tidak serius mungkin menyebabkan ada nyawa melayang dan tidak mustahil keyakinan terhadap kami akan pudar,” katanya.
NAMA: Faisal Nurdin
UMUR: 23 tahun
ASAL: Tawau, Sabah
KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik
SEKALI imbas, peranan dimainkan paramedik sama seperti doktor, cuma yang membezakannya adalah mereka memberi rawatan kepada pesakit di luar hospital.
Katanya, ia menjadi cabaran kepada mereka kerana perlu memberi rawatan awal kepada mangsa dalam keadaan serba kekurangan dan tidak selesa seperti di hospital.
“Rawatan awal kepada mangsa penting bagi memastikan mereka mampu bertahan sebelum dibawa ke hospital, terutama yang cedera parah.
“Tanggungjawab diletakkan di bahu kami adalah besar kerana ia membabitkan nyawa dan kami akan melakukan sebaik mungkin dalam memberi rawatan,” katanya.
Dia berkata, tidak ramai tahu tugas paramedik yang sebenarnya, malah bilangannya juga terlalu kurang jika dibandingkan dengan negara luar.
“Paramedik bukan kerjaya baru di negara ini tetapi pendedahan mengenainya belum meluas, sekali gus gagal mencetuskan minat terhadap kerjaya itu di kalangan masyarakat.
“Bagaimanapun minat saja tidak memadai, sebaliknya ia harus disusuli dengan komitmen dan kerja kuat bagi memastikan mereka dapat pergi jauh dalam bidang ini,” katanya.
NAMA: Norfaezah Ibrahim
UMUR: 24 tahun
ASAL: Gemas, Negeri Sembilan
KELUARGA: Kelima daripada lapan beradik
BILANGAN wanita dalam jurusan itu boleh dikira dengan jari, namun itu bukan alasan bagi gadis ini untuk terus berasa ‘kecil’ di kalangan rakan lelakinya.
Baginya, wanita juga mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dipikul lelaki asalkan disertai kekuatan dalaman dan luaran.
“Tidak dapat dinafikan tugas sebagai paramedik mencabar dan ramai berpendapat ia tidak sesuai bagi wanita.
“Namun, semua itu saya tolak ke tepi kerana bagi saya wanita bukan lemah seperti dilabelkan golongan lelaki, sebaliknya kami juga mempunyai semangat tinggi,” katanya.
Menurutnya, sejak kecil dia gemar membantu orang dalam kesusahan, termasuk mengubati luka kecil.
“Walaupun ketika itu saya tidak tahu mengenai perubatan, itu tidak menghalang saya untuk mengubati mereka.
“Apabila dewasa, saya mahu terus mencurah bakti dan mempelbagaikan lagi tugas dengan menyertai CUCMS,” katanya.
Gadis manis ini berkata, dia berbangga kerana menjadi kumpulan pertama jurusan yang julung kali diwujudkan di negara ini.
Info
nak jadi paramedik nie mesti kene peka dalam semua perkara.... fuhhhh...
ReplyDeleteitu yang best...
ReplyDeleteBerfkir secara anatikal dalam situasi yang kritikal...
Berbaloi tu...