PENGALAMAN dimarah, diherdik serta dirotan ketika belajar mengaji al-Quran dengan seorang ustaz di Kota Tinggi Johor, menjadi kenangan paling bermakna bagi Nor Azrah Ayub, 32.
JOHAN KEBANGSAAN...Nor Azrah Ayub menerima piala kemenangan ketika Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52 disampaikan Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar di Kota Kinabalu, Julai lalu.
TENANG...setiap hari Nor Azrah pasti mengalunkan bacaan al-Quran sebagai penenang jiwa.
Malah Azrah bersyukur, bimbingan guru agama, sokongan suami dan keluarga menyebabkan dia mampu mendalami ilmu al-Quran seterusnya memanfaatkan kepada diri, keluarga dan masyarakat.
Menyingkap kejayaannya sehingga bergelar qariah, menurut wanita kelahiran Kota Tinggi, Johor ini, dia mula belajar mengaji sejak berusia lima tahun dengan ibunya, Hamidah Abd Rauf. Apabila semakin lancar ketika berusia 10 tahun, dia dihantar mengaji oleh ibunya dengan seorang guru agama, Ismail Panachok untuk mendalami ilmu tajwid serta taranum.
“Ustaz Ismail sangat garang, dengan rotan di tangan, dia memukul lantai sekiranya saya salah membaca al-Quran. Malah saya dan kanak-kanak lain dimarahi sekiranya tidak mampu membaca dengan baik.
“Namun saya tidak pernah ambil hati dan menganggap apa yang dilakukan ustaz sebagai proses pembelajaran. Malah saya mengambil peluang yang ada dengan bertanya jika tidak faham mengenai sesuatu perkara,” katanya.Azrah akui, pada usia yang masih terlalu muda memang agak sukar untuknya menyuburkan rasa cinta kepada ilmu al-Quran. Namun berkat belajar dan sentiasa membaca tanpa jemu, akhirnya sedikit demi sedikit rasa cinta dan sayang itu datang sehinggakan dia berasakan al-Quran itu sebagai peneman dirinya setiap masa.
Kesungguhannya serta bimbingan daripada mantan qari Johor, dia berjaya memenangi hadiah keseluruhan bagi Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kota Tinggi walaupun ketika itu baru berusia 12 tahun.Malah ketika bersekolah menengah di Kolej Tunku Ampang Mariam, Azrah mewakili sekolah sehingga ke peringkat negeri. Kejayaan paling membanggakan apabila dia menjadi johan Qiraat Ikhtifal Senawi untuk sekolah menengah agama seluruh Malaysia.
Kejayaan yang diraih itu semakin menguatkan semangatnya untuk mendalami al-Quran. Setiap hari dia pasti membaca al-Quran walau hanya sehelai, malah ketika datang bulan sekalipun Azrah akan bertaranum sekadar mengeluarkan suara. Biasanya dia mengalunkan bacaan al-Quran pada tengah malam atau pada awal pagi dalam suasana sunyi untuk khusyuk.
Memandangkan belum fasih berbahasa Arab, sambil membaca dia akan melihat tafsir al-Quran untuk mengetahui maknanya. Dengan cara ini Azrah akan lebih merasai bahagian yang perlu diberi penegasan, rasa gembira, dilembutkan atau dinyaringkan sekali gus menjadikan bacaannya bertambah baik.
“Jika tidak membaca al-Quran jiwa terasa kosong, seakan ada perkara wajib belum sempurna. Membaca al-Quran membuatkan saya lebih dekat dengan Allah. Malah hati semakin tenang dalam apa juga perkara yang saya lakukan,” katanya yang mengakui bakat membaca al-Quran diperoleh daripada ibunya yang dulu adalah penyanyi ghazal serta pandai berzanji.
Amalan membaca al-Quran yang boleh dianggap sebagai hobi, diteruskan selepas Azrah melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor. Kebetulan UTM berdekatan dengan kampungnya di Felda Sungai Sayong, jadi pembabitan dalam tilawah tidak pernah terhenti.
Azrah berterima kasih kepada Unit Kesenian Islam Yayasan Warisan Johor kerana mendapat bimbingan dalam program mentor menti serta berpeluang mendalami ilmu tajwid dan taranum daripada mereka yang lebih arif seperti johan qari Kelantan, Bachok Tumpak dan Yahya Daud serta hakim kebangsaan dan antarabangsa Nik Jaafar Ismail.
Malah sepanjang minggu Majlis Tilawah al-Quran, Azrah mendapat tunjuk ajar dan latihan daripada jurulatih terpilih mantan johan qariah antarabangsa, Umi Kalsom Mat Zin.
Namun dalam kegembiraan mewakili Malaysia untuk Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52, Julai lalu, Azrah mengakui dia sedikit terkilan kerana melakukan kesilapan daripada segi hukum tajwid serta fasahah. Namun dia reda kerana bukan rezekinya dia hanya mampu menyandang tempat keempat saja.
“Sesiapa juga yang menyertai pertandingan pasti mengharapkan kemenangan. Namun saya reda dan menganggapnya bukan rezeki untuk menyandang tempat pertama.
“Mungkin ada hikmah di sebalik kekalahan ini supaya saya lebih mendalami ilmu al-Quran daripada segi tajwid, taranum dan fasahah. Malah pengalaman yang saya peroleh akan saya gunakan pada masa-masa akan datang,” katanya yang pernah mewakili Johor ke peringkat kebangsaan sebanyak empat kali pada 2004 di Perlis, 2005 di Terengganu, 2009 di Perak dan 2010 di Sabah dan menjadi johan peringkat kebangsaan.
Ibu kepada lima anak, Muhamad Faizun Naim Md Fauzan, 8, Muhamad Faizun Nazim, 7, Rabiatul Raudah, 5, Muhamad Faizun Nazran, 4, dan Muhamad Faizun Nurhan, 2, kini mengajar anak-anaknya membaca al-Quran bersama suaminya, Md Fauzan Samad. Baginya, ilmu al-Quran harus diberikan ketika mereka masih kecil, seperti mana buluh yang harus dilentur daripada rebung.
“Al-Quran mampu mengelak individu daripada terjerumus dalam gejala tidak sihat. Namun sekiranya anak sudah meningkat dewasa, agak sukar membentuk diri mereka supaya cintakan al-Quran serta menjadikannya sebagai amalan.
“Sebaiknya beri pendedahan kepada mereka ketika masih bersekolah,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Jabatan Perancang Pembangunan, Majlis Perbadanan Johor Bahru Tengah.
Pada masa akan datang, Azrah akan terus menyertai pertandingan tilawah al-Quran untuk menimba pengalaman serta memperbaiki bacaan dari semasa ke semasa. Pada masa sama, dia teruja untuk membuka kelas taranum untuk kanak-kanak di kawasan tempat kediamannya di Johor pada tahun hadapan.
“Pelbagai gejala sosial yang berlaku sekarang kerana tidak mendalami ilmu al-Quran dengan sebaiknya.
“Justeru, dengan pembukaan kelas al-Quran kepada kanak-kanak ini saya berharap pada masa akan datang generasi muda akan kembali memartabatkan al-Quran dengan mendalami dan menghayatinya sepanjang masa,” katanya yang sangat mengagumi bekas qariah antarabangsa, Faridah Mat Saman, Rahmas Abdullah dan Rogayah Sulung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: