Tuesday, August 10, 2010

Kemahiran proses sains dalam ADaP


PARA peserta SK Kepok menyiapkan tugasan semasa bengkel ADaP di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.


PENGGUNAAN akhbar Utusan Malaysia di dalam pengajaran dan pembelajaran mencakupi semua aspek pembelajaran, daripada bahasa Malaysia, Matematik, sehinggalah kepada pengintegrasian berita semasa dengan kemahiran proses sains secara yang cukup kontekstual dan bersahaja.

Sebagai contoh, berita kejadian penyakit kencing tikus atau Leptospirosis yang melanda Lata Bayu di Kedah dan Lubuk Yu di Pahang, boleh diolah menjadi satu konsep pembelajaran kemahiran proses sains di bawah ADaP.

Pendekatan itu terbukti memberi nilai tambah kepada penggunaan akhbar dalam P&P, dan dibuktikan berdasarkan sambutan dan kesan yang cukup baik ketika program berkenaan diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kepok di Pasir Gudang baru-baru ini.

Seramai 100 murid tahun enam yang dicuba untuk mengintegrasikan pemahaman atau pengetahuan sedia ada mereka berdasarkan kejadian semasa dengan merujuk rangsangan laporan akhbar, ternyata dapat melakukannya dengan baik.

Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dianggap telah bersedia itu boleh membangunkan hipotesis dalam petikan, apa yang dimalarkan, apa yang berubah, apa yang diperhatikan dan matlamat kajian.

Selain itu, bahagian lain akhbar didapati sangat berguna dalam pembangunan diri seorang murid, khususnya pengukuhan bahasa dan kosa kata yang merentas akhbar - khususnya ruangan rencana, konsep matematik mengurang dan menambah dalam ruangan ekonomi dan sebagainya.

Menyedari betapa luasnya kebolehgunaan akhbar dalam pembelajaran atau ADaP ini, maka guru besar SK Kepok, Rohaya Mohd Lazim berkata pihaknya akan menggunakan akhbar Utusan Malaysia secara yang lebih meluas dalam P&P sejajar dengan matlamat sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah berkenaan.

Setakat ini penggunaan Utusan Malaysia di sekolah itu terbatas kepada sisipan pendidikan ADaP setiap Selasa, yang mencakupi soalan, latih tubi yang menjurus kepada program kecemerlangan peperiksaan.

"Pada minggu lepas, kita menggunakan kertas peperiksaan percubaan daripada ADaP Utusan Malaysia untuk empat kelas calon UPSR 2010," katanya.

Namun begitu, guru besar yang cukup komited dengan kecemerlangan muridnya itu mengakui akan masalah langganan akhbar kerana ketiadaan penajaan.

Menurutnya mana-mana pihak yang bermurah hati untuk mencukupkan penggunaan akhbar Utusan Malaysia boleh menghubungi 07-2611700.

Pada tahun ini, bilangan calon UPSR di sekolah itu ialah 225 orang berbanding 189 orang pada tahun lepas. Seramai 24 orang mendapat 5A pada UPSR 2009.

Pihak sekolah dan jabatan pelajaran di situ mensasarkan bilangan yang akan mendapat 5A melebihi 40 orang pada tahun ini.

Program ADaP 2010 terbuka kepada semua sekolah di seluruh negara - sama ada sekolah kebangsaan atau sekolah menengah.

Pihak sekolah yang berminat untuk mengikuti ADaP boleh mendapatkan borang tempahan program dengan memindah turun borang melalui laman www.adap.com.my. Untuk maklumat lanjut, hubungi Fauzy Hamdan, talian 019-5716282.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: