Tuesday, August 10, 2010

Gabungan teknologi dan keindahan


MODEL-MODEL terbaru komputer riba Asus dilengkapi fungsi canggih dan reka bentuk eksklusif.


Tidak mahu ketinggalan dalam dunia inovasi dan teknologi komputer riba, Asus kini kembali 'mengejar' dengan memperkenalkan siri komputer riba terbarunya.

Berpegang kepada inspirasi teknologi inovasi dan keinginan terhadap kesempurnaan Asus muncul bersama empat produk yang dikenali sebagai 'keindahan'.

Keempat-empat siri tersebut dikenali sebagai keindahan reka bentuk (Koleksi U Bamboo), Keindahan Kelajuan (Siri U), Keindahan Bunyi (NX Series) dan Keindahan Eee (bagi generasi komputer Eee).

Koleksi U Bamboo mengambil inspirasi daripada alam semulajadi dan direka untuk penggunaan yang lebih versatil.

Dipacu oleh pemproses intel Core i5 yang terbaru, rangkaian produk ini lebih mesra alam dan menggunakan teknologi hijau.

Lebih nipis dan ringan, ia juga dibaluti dengan lapisan buluh berwarna perang hasil rekaan perabot ala kontemporari sebagai pelindung permukaan komputer riba ini.

Apa yang pasti setiap coraknya adalah unik kerana tekstur buluh yang digunakan juga berbeza, manakala pada bahagian dalamnya masih mengekalkan ciri-ciri kemodenan dengan penggunaan corak aluminium.

Namun pertembungan antara teknologi moden tanpa menghilangkan identiti tradisional seperti penggunaan buluh tersebut amat menarik dan kreatif.

Asus turut mempertaruhkan teknologi pintarnya iaitu Enjin Super Hibrid (SHE) yang bertujuan mengawal jumlah tenaga semasa tekanan pemprosesan dan penghantaran maklumat berlaku.

SHE berkerja bersama teknologi Optimus NVIDIA bagi memanjangkan jangka hayat kuasa bateri.

Manakala bagi skrinnya, ia didatangkan bersama jaminan zero bright-dot memberikan gambar lebih jelas dan cantik.

Seterusnya, NX90 yang digelar 'Si pemecah kesunyian' yang memiliki rupa bentuk elegan ala kontemporari.

Balutan bunyi

NX90 direkabentuk oleh pereka terkenal, David Lewis manakala teknologinya merupakan hasil kerjasama pembangunan Asus bersama Bang & ICEpower.

Manakala bagi sistem bunyi, NX90 telah dilengkapi dengan teknologi bunyi standard Asus SonicMaster.

Dengan menempatkan kedudukan pembesar suara di bahagian tepi skrin, pastinya pengguna dapat merasakan 'balutan' bunyi di sekelilingnya.

Bagi teknologi bunyi terbaru tersebut, ia telah dibina oleh kumpulan Asus 'Golden ear'.

Manakala produk ketiga adalah ASUS Eee PC 1018P yang juga merupakan generasi ke empat komputer Eee.

Ia merupakan antara generasi Eee ternipis yang pernah dihasilkan oleh ASUS bagi memenuhi kehendak serta keperluan peminatnya.

Lebih menarik, corak aluminium yang digosok kasar memenuhi ruang papan kekunci bersama butangnya yang besar dan kedudukannya agak jauh antara satu sama lain.

Aplikasi 1018P bersama platform Intel Pine Trail baru menggunakan pemproses Intel® Atom™ N455 atau N475 menjadikannya lebih pantas dan lancar.

Selain itu, gabungan antara teknologi penjimatan tenaga 'enjin' super hibrid memastikan jangka hayat bateri boleh bertahan sehingga 10 jam lamanya.

Biarpun hanya setebal 18 milimeter, Eee PC 1018P merupakan antara teknologi terbaru bagi komputer, daripada kepantasan USB 3.0 (pemindahan data 10 kali ganda lebih laju daripada USB 2.0) kepada pembaca cap jari dengan tahap keselamatan yang tinggi.

Antara kelebihan yang lain adalah anda juga boleh mengecas pelbagai jenis gajet seperti telefon, pemain Mp3 melalui komputer riba ini tanpa perlu menghidupkannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: