Tuesday, August 10, 2010

Guru SRA mahir bangunkan portal sendiri


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Zainudin Ismail (dua dari kanan) melihat kandungan perisian P&P pembestarian SRA di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Projek Rintis Pembestarian Sekolah Rendah Agama (SRA) yang dikendalikan oleh Telekom Smart School (TSS) Sdn. Bhd. terbukti berkesan sebagai medium untuk memantapkan penguasaan guru-guru SRA dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di sekolah.

Melalui perubahan yang diperkenalkan, program ini mampu menambah kemahiran para guru yang dahulunya tekno-fobia kepada guru yang celik dan mahir ICT.

Ketua Pegawai Eksekutif TSS, Zainudin Ismail berkata, melalui projek itu, guru-guru sudah mula berani mengaplikasikan ICT selaras dengan perubahan teknologi semasa bagi memudahkan mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas.

"Malah melalui program ini, guru-guru tersebut kini telah mampu menghasilkan portal mereka sendiri," katanya selepas majlis perasmian SRA Taman Ibu Kota di Setapak, baru-baru ini.

Menurutnya, projek rintis perluasan penggunaan ICT itu adalah bagi meningkatkan kemahiran guru dan menambahkan minat murid-murid terutamanya dalam P&P pengajian Islam di SRA.

Selain meningkatkan ilmu penggunaan ICT, jelas beliau, guru-guru ini juga akan mampu memperbaiki tahap pengajaran mereka, memperkasakan status guru dengan penggunaan peralatan ICT dan berkongsi bahan serta cara pengajaran antara guru-guru di sekolah yang sama atau SRA lain melalui portal yang disediakan.

Selain itu katanya, projek kendalian TTS ini juga mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan sekolah dalam pengurusan dan pengagihan maklumat.

"Mereka juga boleh belajar secara sendiri dengan mudah di rumah melalui capaian Internet," tambahnya.

Sementara itu, Guru Besar SRA Taman Ibu Kota, Ahmad Fauzi Abdul Rahman berkata, program yang dianjurkan oleh TSS amat baik dan bermanfaat sekali.

"Program ini amat membantu murid-murid dan para guru terutamanya dalam P&P dalam kelas selain meningkatkan minat murid-murid untuk belajar melalui pendekatan pembelajaran menggunakan komputer," katanya.

Tambah beliau, program itu juga memberi kesan yang baik dalam usaha memupuk minat pelajar untuk lebih memberi tumpuan selain menambahkan kemahiran buat para guru mengendalikannya.

Muhd. Adam Razman, 11, dari Kelas 5 Imtiaz berkata, program itu sangat menarik kerana mudah mendapat pelbagai ilmu pengetahuan khususnya yang berkaitan ICT dan ilmu agama.

"Ia sangat menyeronokkan dan tidak membosankan berbanding pengajaran dalam kelas biasa," katanya

Rakan sekelasnya, Aisya Bibi Muhd. Ramzan, 11, pula berkata, kelas itu sangat menarik dan menyeronokkan kerana murid-murid berpeluang mengulang kaji mata pelajaran bahasan Arab, jawi, akhlak dan Al-Quran melalui komputer.

"Diharap agar kami semua akan memperolehi keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) kelak," ujarnya.

Nurul Nazihah Jamaludin, 11, pula berkata, dia sangat seronok mengikuti kelas ICT itu dan berpeluang menguasai al-Quran dengan lebih interaktif.

" Pengajaran yang diperoleh ini juga mampu dipraktikkan menggunakan komputer di rumah.

"Saya berharap untuk memperolehi keputusan baik dalam peperiksaan dan cemerlang menguasai bidang ICT," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: