|
|
SEMASA kecil, Dalilah Zulkifli sering bermain-main dengan koleksi butang aneka bentuk, saiz dan warna milik ibunya, Laziah Pandak Harun, 51.
Dia seronok melihat himpunan logam dan plastik yang boleh dijadikan pelbagai hiasan mengikut kreativiti sambil menggayakannya di cermin solek.
‘‘Saya sangat teruja setiap kali membuka kotak simpanan butang milik ibu di biliknya. Melihat kecomelan dan sifat butang itu memang teruja kerana tarikan dengan keunikannya,’’ tutur anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini.
Gadis berusia 24 tahun yang mesra disapa Dalilah itu memberitahu bahawa peranan setiap butang sentiasa berubah sekiranya diletakkan pada sudut yang berbeza.
Contohnya, butang yang diletakkan di telinga bertindak sebagai subang. Ia juga boleh menjadi kerongsang atau pin di kala memakai baju kurung beserta tudung atau sebagai hiasan di baju T.
Bisik hatinya, pasti fesyen yang diperkenalkan itu berjaya menarik perhatian rakan sebaya satu hari nanti.
Telahan anak sulung dari lima beradik itu memang betul. Semasa Dalilah menuntut Diploma Reka Bentuk Mekanikal di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pasir Mas, Kelantan, ramai kenalan terdekat memuji trend yang diperkenalkan.
Maklum balas kenalan menyatakan trend itu lebih sesuai buat golongan remaja. Atas dorongan mereka jugalah, Dalilah semakin agresif berkarya dengan menggunakan butang sebagai bahan asas.
Apa sahaja item yang berpotensi untuk ‘dijodohkan’ dengan butang seperti tudung, pin, beg atau kasut, akan disuai-padankan. Jadi tidak hairanlah, sehingga hari ini, penuntut semester akhir Ijazah Sarjana Muda Produk Kejuruteraan Reka Bentuk di Universiti Kuala Lumpur itu telah menghiasi kira-kira 200 produk pelbagai rupa milik peribadi dan sahabatnya.
Hasil tangan Dalilah menggunakan lebih 50 jenis koleksi butang yang dibeli sejak 2004 lagi. Ke merata ceruk, lokasi utama gadis itu pasti kedai barangan perhiasan dan cenderahati. Di situlah Dalilah menghabiskan masa membelek himpunan butang yang masih belum ada dalam simpanannya.
Ada juga yang dibeli dalam talian terutama buatan Jepun, Itali dan Perancis atau mengirim kepada rakan yang bercuti ke luar negara. Biar pun harganya sedikit mahal namun Dalilah berpuas hati kerana ia berkualiti dan mempunyai warna berbeza dengan keluaran tempatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: