Thursday, May 21, 2009

Transformasi jahat kepada baik


SETIAP mata tertumpu tepat kepada seorang lelaki yang sedang meratap di pusara sambil mencakar-cakar kubur itu dalam keadaan meraung. Dia yang sedang dalam gangguan emosi, dihampiri seorang lelaki yang tidak sudah-sudah menyindir dan memarahinya sebelum diseret pergi dalam keadaan berpakaian comot.

Simpati dan pilu melihat keadaan itu, tetapi itulah lakonan cemerlang pelakon berkaliber, Zul Huzaimy dan Razak Ahmad. Begitulah, serba-sedikit gambaran yang berlaku apabila wartawan Rap mengunjungi lokasi penggambaran telefilem Sucilah Hati di Kampung Sungai Kembung, Pulau Indah, Klang, 12 Mei lalu.

Bahang cuaca terik petang itu bagaikan membakar seluruh tubuh. Namun, baik pelakon, pengarah atau kru produksi semuanya kelihatan tekun dengan tugas masing-masing. Panas tidak dihiraukan bahkan kelihatan mereka cukup ceria dan seronok menjalankan kerja.

Bagi mereka yang bukan bergelar anak wayang, barangkali sudah tewas dengan keadaan serba tidak selesa ini. Bayangkan dalam keadaan panas terik, dialog yang sama perlu dilafazkan berulang kali di samping memastikan penghayatan lakonan pada aras konsisten, semata-mata untuk menyempurnakan satu babak yang diambil dari pelbagai sudut.

Justeru, jangan anggap kerja pelakon dan pembikinan drama atau filem satu kerja mudah semudah menontonnya.

Murali Abdullah selaku pengarah telefilem ini berkata, Sucilah Hati mengisahkan bapa yang pernah gagal dalam kehidupannya membesarkan dua anak. Kemiskinan menghalangnya mendidik dua anak dengan baik. Apabila anak sulungnya, Faez meningkat dewasa, dia bergaul golongan Mat Rempit, tetapi sentiasa berasakan dirinya hina disebabkan selalu menumpang motosikal kawan.

"Tercabar dengan desakan teman, Faez memaksa bapanya membelikan motosikal. Namun, permintaan itu tidak dapat ditunaikan kerana kedaifan mereka dan ini membuatkan Faez menyimpan dendam.

"Sentiasa kurang keyakinan, konflik dua beranak ini bertambah rumit apabila Faez gagal dalam peperiksaan. Kemudian terjebak pula dengan judi sehingga memaksa dia bekerja sebagai penggali kubur, satu-satunya pekerjaan yang ada di kampungnya.

"Transformasi watak Faez daripada jahat kepada baik berlaku apabila keinsafan yang dirasainya itu datang menerusi kuasa lain yang dihantar Yang Maha Esa sebagai petunjuk buatnya. Kamal adalah orang yang mengubah kehidupan Faez," katanya.

Berbeza dengan drama arahannya sebelum ini, Sucilah Hati mempamerkan kesudahan cerita yang membangkitkan keinsafan selain menyampaikan mesej belum terlambat untuk bertaubat.



"Itu dari sudut jalan cerita, tetapi jika menyentuh soal teknikal, kali ini saya menggunakan 'shot' filem tidak seperti sebelumnya lebih cenderung pada teknik 'inter cut' yang bukan saja berupaya menutup kelemahan lakonan aktor dan aktres, tetapi pertukaran babak ke satu babak secara pantas juga boleh mengelak penonton bosan.



"Namun, saya tahu Zul selaku teraju utama telefilem ini mampu menjiwai wataknya dengan baik, konsep ini digunakan bagi melambatkan pergerakan kamera dan membuatkan penonton lebih merasai lakonan Zul.

"Cuma penggunaan teknik ini perlu dilakukan dengan teliti apabila penataan cahaya perlu tepat, cuaca kena betul selain jurukamera perlu menghayati situasi dalam sesuatu babak itu.

"Saya bertuah dapat bekerjasama dengan Zamri yang mempunyai pengalaman luas selain pernah bekerjasama dengan pengarah terkenal seperti U-wei Shaari dan Rashid Sibir. Dia memudahkan kerja saya kerana tahu apa yang saya mahukan," katanya.

Meskipun pertama kali mengarahkan naskhah terbitan Asia Best Communications, Murali yang menang Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin 2008 melalui drama Suara Saleha ini mengagumi skrip tulisan Zaini Kosnin yang disifatkan mempunyai jalan cerita, dialog dan susunan babak bagus serta berkesudahan dengan pengajaran yang baik.

"Produser Khalil Saleh juga banyak membantu selain memberi kelonggaran dalam berkarya. Jika kebanyakan produser lain memberikan tempoh kepada pengarah untuk menyiapkan satu drama dalam masa lapan hari, untuk Sucilah Hati saya diberi 10 hari.

"Masa lebih yang diberikan bukan saja menjana pekerjaan yang lebih teliti malah pelakon juga tidak kepenatan," katanya.

Sementara itu, Zul berkata, setiap babak yang dijayakan menerusi drama ini sangat mencabar kewibawaannya sebagai pelakon.

"Mencabar yang saya maksudkan adalah setiap babak yang dilakonkan semuanya berat-berat belaka. Katakanlah untuk babak 46, saya sudah melakonkan babak berat, rehat seketika sambung pula kepada satu lagi babak yang lebih berat.

"Keesokannya pula pengarah minta saya bersedia dengan satu lagi watak yang lebih berat. Mendengar perkataan 'berat' itu menjadi satu beban, tetapi tidak semuanya didera dengan watak berat, ada juga diselit babak ringan.

"Biarpun lakonan saya kali ini menuntut lebih emosi, tenaga yang diperoleh hasil perbincangan dengan semua pelakon hebat, pengarah dan kru membuatkan penghayatan dan penggambaran telefilem ini menjadi mudah," katanya.



Borak Lokasi

Tajuk: Sucilah Hati

Penerbit: Asia Best Communications Sdn. Bhd.

Penerbit Eksekutif: Zaini Kosnin dan Kamaludin Saleh

Penerbit: Khalil Saleh

Pengarah: Murali Abdullah

Penolong Pengarah: Adinata

Skrip: Zaini Kosnin

Pengurus Produksi: Khairul

Jurukamera: Zamri Paimin

Penolong Jurukamera: Ayie

Penata Cahaya: Mahzame

Pen. Penata Cahaya: Razali

Penata Audio: Rosli Gee

Props Master: Dewa

Props Man: Gopal

Kesinambungan: Nurzalifah Akir

Suntingan: Fauzi G-Mog

Pelakon: Zul Huzaimi (Faez), Ahmad Tamimi Siregar (Pak Mat), Erin Malik (Hafizah), Razak Ahmad (Abang Kamal), Datuk Jamali Shadat (Pak Bakar), Qazem Noor (Zack), Rosnah Johari (Fatimah)

Genre: Heavy Drama

Slot: Cerekarama TV3

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: