Thursday, May 21, 2009

‘Tanda usaha kami disukai’


RANCANGAN pagi dikendalikan penyampai radio popular Faizal Ismail bergandingan dengan Fara Fauzana, Hot FM AM Krew, sekali lagi muncul program paling ramai pendengar.

Hot FM turut mengekalkan kedudukan sebagai stesen nombor satu untuk pendengar di bawah 34 tahun bagi tahun kedua berturut-turut terus mendominasi pendengar di kawasan bandar serta bandar raya utama seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Ipoh.

Menurut kajian Nielsen Radio Audience Measurement (NRAM), yang dikeluarkan kelmarin, tiga stesen bernaung di bawah Radio Media Prima (MPRN) iaitu Hot FM, Fly FM dan One FM turut mencatatkan kedudukan kukuh dalam pasaran masing-masing.

Memperoleh jumlah pendengar melebihi 3.7 juta orang, kejayaan yang diraih program Hot FM AM Krew itu turut menggembirakan Faizal.

Sewaktu dihubungi, Faizal menjelaskan dia benar-benar bersyukur dengan kejayaan yang diraih dan mengucapkan terima kasih kepada pendengar atas sokongan mereka yang berterusan terhadap rancangan dikendalikan.

“Ini tahun kedua rancangan Hot FM AM Krew muncul nombor satu. Tidak dinafikan perkembangan ini membuatkan saya berasa sedikit lega memandangkan kalau dinilai dari sudut persaingan rancangan pagi ini agak sengit.

“Setiap stesen mempunyai formula dan strategi tersendiri untuk memenangi hati pendengar. Tidak kurang ada yang membuat promosi dan publisiti secara besar-besaran dan menampilkan perubahan dari sudut pengisian,” katanya.

Berhadapan dengan persaingan, jelas Faizal membuatkan dia sentiasa mengambil sikap berhati-hati sepanjang bertugas di konti bagi mengelakkan jumlah pendengar berkurangan.

“Program awal pagi bagi stesen radio agak penting kerana ia dianggap nadi kepada sesebuah stesen. Apabila Hot FM AM Krew menjadi pilihan untuk kali kedua ia bererti apa yang dilaksanakan selama ini disukai pendengar,” katanya.

Bercerita mengenai resipi dalam mempertahankan kedudukan, jelas Faizal dia mahupun Fara sentiasa memastikan corak persembahan relevan dan memenuhi kehendak pendengar.



“Pemilihan topik turut memainkan peranan penting, kita ada topik santai, tetapi pada masa tertentu ada yang membabitkan isu semasa dan menjadi perbualan hangat. Sebagai penyampai radio perkara itu saya perlu ambil serius dan cuba membincangkannya.



“Faktor lain sudah tentu keserasian. Sewaktu membuat kajian sendiri untuk melakukan rombakan, maklum balas yang diterima kebanyakan pendengar mahukan saya terus digandingkan dengan Fara.

“Selain itu dalam Hot FM Am Krew kita ada segmen Panggilan Hangit. Saya percaya rancangan itu ramai juga pengikutnya,” katanya.

Turut membanggakan apabila Hot FM mencapai sasarannya apabila berjaya mengungguli setiap segmen dalam lingkungan sasaran kumpulan seperti apa yang dilakukan penyampai baru stesen itu Kieran serta AG yang lebih sinonim dengan panggilan Jawa Rangers. Mereka mengendalikan segmen Hot FM Jam.

Antara penyampai Hot FM lain seperti Anne dan Ikhwan (Hot FM Zon) serta Menu Muzik Hot FM melalui Leya dan Tini membuktikan keserasian serta formula gabungan penyampai terbabit berjaya meletakkan ketiga-tiga segmen itu muncul program nombor satu untuk kumpulan sasaran dibawah umur 30 tahun.

Sementara itu Ketua Radio MPRN, Ahmad Izham Omar dalam kenyataan yang diedarkan berkata pihaknya amat gembira dengan pencapaian yang diperoleh tiga stesen yang bernaung di bawah MPRN.

“Sebenarnya, saya amat gembira dengan impak yang diberikan radio ke dalam kehidupan kita pada hari ini. Setiap satu stesen radio MPRN berkembang positif dan ternyata kehadiran stesen itu di kalangan masyarakat tempatan dapat diterima.

“Bagi saya, semua ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa semangat dedikasi yang diberikan tenaga kerja Hot FM, Fly FM dan One FM yang terdiri daripada anak muda yang kreatif.

“Individu inilah sebenarnya yang memacu ketiga-tiga stesen tersebut dan menghasilkan keputusan yang membanggakan. Berdasarkan pencapaian yang dipamerkan, saya yakin ruang untuk mencapai yang lebih cemerlang tetap ada,” katanya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: