|
| KALAU sebut lagu Lizawati, tentu ramai yang tahu itu lagu popular Rahim Maarof tetapi orang yang bertanggungjawab menghasilkan lagu itu ialah Osman Ghani, artis era 70-an dan 80-an. |
Dalam usia lewat 50-an, ternyata semangat dan rasa cinta Osman kepada seni tidak pernah padam sebaliknya terus berjuang menghasilkan karya terbaru. Antaranya pembikinan album pelukis yang ingin jadi penyanyi, Wan Jaafar begitu juga projek album bersama Akhil Hayy.
Sebelum ini, Osman Ghani tampil dengan album kompilasi Nostalgia Hitz pada 2006. Antara himpunan lagu yang dimuatkan adalah Ratnasari, Liku Penghidupan, Wajah-Wajah Membisu, Tetap Menanti, Pertemuan Abadi, Embun Hitam, Kasihku Mari Menari, Harapan Hampa, Jangan Pergi Jangan Merajuk dan Ku Sendiri Lagi.
Apapun, projek terbarunya itu tidak dapat diteruskan kerana Osman, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan, Perak, 19 Mei lalu kerana penyakit asma.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak selepas solat Asar, semalam.
Allahyarham meninggalkan isteri, Husna Nor Md Habibi, 45, dan lapan anak, Suraya, Mohd Hazwan, Mohd Hairi, Mohd Azwan, Mohd Ridzuan, Siti Norashikin, Mohd Azlan dan Mohd Bunyamin.
Husna berkata, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Teluk Intan sejak 11 Mei lalu kerana menghidap penyakit asma dan selepas tiga hari di hospital keadaannya makin kritikal.
"Saya sempat menziarahi arwah bersama Bunyamin di hospital ketika arwah berada dalam keadaan koma. Selepas koma tiga hari di hospital, saya mendapat tahu arwah sudah meninggal dunia menerusi adiknya Zulkifli. Sebenarnya penyakit yang dihidapi arwah itu adalah penyakit keturunan keluarganya," katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, walaupun dalam keadaan uzur sejak kebelakangan ini, arwah tidak boleh berehat di rumah kerana sentiasa ada projek album yang direncanakan. Antaranya projek album bersama Akhil Hayy.
"Antara projek terakhir arwah yang tidak sempat disiapkan ialah pembikinan album pelukis yang ingin menjadi penyanyi bernama Wan Jaafar. Bagaimanapun, projek itu nampaknya terbengkalai begitu saja kerana kesihatannya tidak mengizinkan. Begitu juga projek album bersama Akhil Hayy," katanya.
Bagi adik angkatnya, Umarul Mahdzar Embong yang juga gitaris kumpulan Iklim, dia sudah mengenali arwah sejak usianya masih remaja lagi.
"Hubungan kami rapat sejak kecil dan dia banyak menurunkan ilmunya dalam bidang muzik kepada saya. Dia juga mempunyai kebolehan mencipta lagu dan lirik sekali gus. Selain bermain muzik, dia juga boleh menyanyi dengan baik cuma orang lebih mengenalinya sebagai komposer.
"Ketika hayatnya, dia seorang yang sangat baik hati dan pemurah. Dia dikenali sebagai seorang yang suka membantu rakan-rakan yang berada dalam kesusahan. Justeru, bagi mereka yang rapat dengannya, pasti begitu terasa kehilangannya," katanya.
Sementara itu, pendakwah bebas dan penyanyi nasyid popular Akhil Hayy berkata, hubungannya dengan arwah sangat akrab sejak dulu.
"Ketika saya mula-mula 'berhijrah' dengan lagu dakwah enam tahun lalu, dia yang banyak bekerjasama dalam album saya sebelum ini.
"Kami pernah bekerjasama menerusi lagu Bismillah pada 2001 tapi projek itu terbengkalai begitu saja. Saya menyambung semula projek itu menerusi kerjasama kami dalam lagu Nawaitu. Kami juga sempat bekerjasama dalam album Robbana, Zikir Kesejahteraan untuk pasaran album dakwah.
"Saya juga tampilkan dua lagu ciptaan arwah iaitu Nawaitu dan Berpesan-pesan dalam album kedua, Visi 1423H. Bila saya merakamkan album baru bersama Inteam, saya masukkan lagu Nawaitu ciptaannya itu yang digubah semula pada 2006.
"Kali terakhir arwah menghubungi saya kira-kira sebulan lalu mengenai projek album baru kami. Namun, ia tidak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya," katanya.
Akhil berkata, arwah adakah insan seni yang cukup kreatif dalam berkarya kerana boleh buat bermacam jenis lagu menerusi keyboardnya.
"Arwah rela hidup susah demi untuk perjuangan seninya. Bagi saya, arwah adalah pelopor lagu Melayu dan mempunyai jiwa Melayu.
"Antara kenangan yang sukar dilupakan ketika kami bersama-sama membuat persembahan menghiburkan pengunjung pantai di Kuala Terengganu pada 2002. Arwah menyanyi sambil bermain keyboard dan selepas itu, kami sama-sama berjemaah dan menjayakan ceramah di masjid," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: