Friday, May 15, 2009

Tak jemu hantar borang



DARI kiri Rosida, Mohamad Noor dan Nurhisham ceria bersama hadiah masing-masing.

Rezeki berpihak kepada Mohamed Noor Ibrahim apabila diumumkan pemenang Nissan Grand Livina 1.8L.

KELAHIRAN anak ketiga yang berusia 20 hari membawa tuah kepada pembaca setia Berita Harian, Mohamed Noor Ibrahim, 34, apabila memenangi sebuah kereta Nissan Grand Livina 1.8 L bernilai RM 94,000 kerana slogan kreatifnya dalam peraduan Undi dan Menang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Bagaimanapun ketika dihubungi pihak Berita Harian mengenai kemenangan itu, Mohamed pada mulanya sukar mempercayai dan menyangka panggilan itu bertujuan mempermainkannya kerana jatuh pada April Fool.

Setelah diyakinkan, pembaca yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan itu tidak menyangka kemenangan berpihak kepadanya selepas tiga tahun berturut-turut mencuba nasib dalam peraduan berkenaan.

“Saya tertarik untuk menyertai peraduan ini pertamanya kerana hadiah menarik berupa kereta yang ditawarkan. Tiga tahun berturut-turut saya tak pernah jemu menghantar penyertaan tetapi nasib tidak pernah berpihak kepada saya ketika itu.

“Tahun ini saya bertekad lagi menghantar penyertaan dan sebanyak 15 penyertaan yang dihantar. Rakan sepejabat juga tidak ketinggalan mencuba nasib dalam peraduan ini, malah kami sering berbincang mengenai artis yang kami pangkah serta slogan yang kami pilih. Tetapi saya tidak menyangka bernasib baik pula tahun ini.

“Saya percaya ini rezeki anak yang baru berusia 20 hari. Sebelum ini saya pernah dinaikkan pangkat ketika menerima kehadiran cahaya mata kedua dan kali ini saya memenangi sebuah kereta setelah dikurniakan anak ketiga,” katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu gemar menyertai pelbagai peraduan didorong oleh minat membaca, bagaimanapun hanya kali ini dia bernasib baik kerana berjaya memenangi hadiah lumayan.

Katanya lagi, dia akan menggunakan sendiri kenderaan tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd itu untuk kegunaan keluarga yang semakin membesar.

Slogan Mohamed yang berjaya memikat hati juri berbunyi Pondok-Pondok Diminati, Ewah-Ewah Disukai, Studio Nabil Mencuit Hati. Katanya, dia memilih Nabil kerana pola populariti pelawak itu yang semakin meningkat.

Bagi jurutera yang bertugas di Putrajaya, Norhisham Idris, 33, dia mula menyertai peraduan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Sebelum itu dia pernah memenangi sebuah kereta dua tahun lalu untuk peraduan mengenai Hari Kemerdekaan dan pernah juga memenangi percutian ke Florida sewaktu berada di tingkatan empat.

Menyertai peraduan bukanlah sesuatu yang asing baginya, sebaliknya jika tidak menyertai sebarang peraduan untuk tempoh dua hingga tiga bulan, Norhisham mengakui akan berasa bosan dan mudah mendapat serangan migrain.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya suka menyertai peraduan yang dianjurkan Berita Harian. Saya mula menyertai peraduan Undi & Menang ABPBH pula sejak 2004.

“Saya menghantar kira-kira 100 borang. Ada di antaranya dikumpul sendiri dan ada antara keratan borang itu saya minta daripada adik beradik dan ipar. Malah mereka sanggup poskan borang dari Johor semata-mata mahu menyokong minat saya,” katanya yang memenangi tempat kedua berupa barang kemas tajaan Rafflesia bernilai RM50,000.

Bagaimanapun kata Norhisham, setakat ini kalung mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre itu akan diberikan kepada isterinya sebagai hadiah.

Rosida Ramli, 40, Eksekutif di Bank Simpanan Nasional yang memenangi tempat ketiga berupa barang kemas juga tajaan Rafflesia bernilai RM20,000 berkata dia akan memakai sendiri barang kemas berkenaan. Rosida yang baru dua kali mencuba nasib dalam peraduan ini akan terus mencuba nasib di masa akan datang.

“Saya tidak akan jemu dan akan terus mencuba lagi untuk peraduan ini. Siapa tahu satu hari nanti hadiah utama berupa kereta pula akan menjadi milik saya.

“Kemenangan ini memang mengejutkan buat saya kerana pernah menyertai peraduan ini tetapi tidak pernah bernasib baik. Oleh kerana tidak pernah memenangi sebarang peraduan sebelum ini, saya berasa sangat gembira dan tidak menyangka apabila diberitahu mengenai kemenangan ini,” katanya yang juga memilih Nabil sebagai Bintang Paling Popular.

Selain kereta dan barang kemas, pembaca bertuah yang lain turut menerima hadiah tajaan Empire Furniture & Decoration Sdn Bhd, barangan elektrik tajaan JVC Sales & Services (M) Sdn Bhd, hamper Nano White tajaan Tohtonku Sdn Bhd dan fabrik daripada Euro Moda Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: