![]() |
Bintang Paling Popular ABPBH 2008, Nabil bersama pembaca bertuah, Mohamed Nor Ibrahim melompat kegirangan sebaik menerima kunci kereta Nissan Sylphy dan Grand Lavina
TEMPIAS sebagai Bintang Paling Popular yang dimenanginya sebulan lalu sudah mula dirasakan Nabil. Bukan saja bertambah glamor serta tawaran berlakon dan membuat persembahan yang semakin kencang, tetapi ia seiring dengan gosip dan serangan bertubi-tubi ke atas pelakon dan pelawak ini.
Langkahnya kini tidak lagi sebebas dulu. Malah gerak-gerinya juga sering diperhatikan. Pantang tersilap bicara, pasti akan dituduh bukan-bukan walhal si empunya diri hanyalah sekadar bergurau.
Begitu juga dengan soal berpacaran. Dek kerana insiden terpeluk kekasih hati, Irma Hasmie secara langsung di kaca televisyen, teruk Nabil dikecam. Pelbagai tuduhan dilemparkan sehinggakan sampai satu peringkat jejaka berusia 25 tahun ini mengakui dirinya tertekan dengan situasi itu.
“Saya akui memang trauma. Apa yang saya lalui ini lebih teruk berbanding ketika saya menang pertandingan Raja Lawak lebih setahun. Tapi saya akui inilah yang harus saya bayar apabila bergelar artis.
“Dan apa yang berlaku banyak mengajar saya untuk berhati-hati pada masa akan datang. Saya sedar sejak meraih gelaran Bintang Paling Popular, saya sering diperhatikan dan ada saja teguran yang diterima jika saya buat kesilapan.
![]() |
| PENAJA, penganjur dan artis yang memberi sokongan pada majlis penyampaian hadiah ABPBH 2008 di Palace Of the Golden Horses. |
“Saya anggap inilah cabaran yang perlu saya tempuhi jika ingin terus berada di dalam industri ini,” ujar Nabil ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah ABPBH di Grand Salon Lobby Lounge, Hotel Palace Of The Golden Horses petang kelmarin.
Tambah pemilik nama penuh Ahmad Nabil Ahmad ini, situasi seperti itu bukan saja mengusik perasaannya tetapi juga sedikit sebanyak mengganggu kerjanya.
“Saya ini pelawak dan untuk melawak saya perlukan idea. Jadi apabila jiwa terganggu, diakui agak sukar untuk saya berkarya. Justeru, jalan ringkas, apabila keadaan semakin menekan, saya terus tidur,” cerita Nabil sambil tertawa.
Sebagai langkah berjaga-jaga serta tidak mahu terus terjerumus dalam kancah kontroversi yang memualkan, Nabil berkata, dia ada meminta pandangan mereka yang pernah melalui situasi ini.
![]() |
| HISHAMUDDIN, Manja dan Hanizam bersama penaja serta pemenang pada majlis penyampaian hadiah ABPBH 2008. |
“Saya ada juga meminta nasihat mereka yang berpengalaman apa yang perlu dilakukan andai berdepan dengan situasi seperti itu. Biasalah perkara seperti ini ada pro dan kontranya, tapi saya rasa ia bagus untuk artis baru seperti saya,” jelas Nabil yang ketika ini sedang menanti tujuh filem lakonannya ditayangkan di pawagam.
Diajak berbual mengenai hubungannya dengan pelakon Irma Hasmie, Nabil berkata, dia bahagia bersama aktres itu dan tidak mustahil akan menjadikan dia sebagai suri hidupnya.
“Bagaimanapun, kami tidak pernah membincangkan secara serius perkara itu. Mungkin dalam jangka masa dua tahun akan datang baru sesuai. Buat masa ini biarlah kami berdua kumpul duit dulu sebelum mengambil keputusan untuk berumah tangga,” katanya yang mengimpikan majlis perkahwinan cara kampung.
Ditanya mengapakah artis popular sepertinya begitu mudah mendedahkan kisah peribadi seperti sudah mempunyai kekasih sedangkan ramai selebriti menganggap perkara seperti itu perlu disorokkan, pantas Nabil menjawab dia tidak suka berbohong.
“Buat apa kita hendak nafi perkara yang benar. Lagipun bila dah buat pengakuan, bila kita keluar berdua, tak perlu hendak menafikan jika cerita itu keluar di dada media. Kalau asyik hendak nafi, penatlah jawabnya,” katanya.
Mengenai kononnya ada dakwaan yang mengatakan Irma mengambil kesempatan terhadap hubungan itu untuk mempopularkan dirinya, Nabil tidak melihat perkara itu sebegitu.
“Kalau hendak diikutkan dia yang lebih dulu menceburi bidang ini iaitu sejak enam tahun dulu. Mana mungkin dia cuba menumpang populariti saya? Rasanya tanpa saya pun dia masih mendapat tawaran berlakon,” tegas Nabil mempertahankan buah hatinya itu.
Hadiah kereta untuk bapa
PERANCANGAN awalnya, majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 akan diadakan di West Garden Lawn, Hotel Palace Of The Golden Horses, namun disebabkan hujan acara itu terpaksa berpindah lokasi.
Begitupun, perpindahan pada saat akhir tidak menghalang tetamu yang diraikan iaitu selebriti dan pembaca bertuah untuk hadir bagi memeriahkan acara petang itu. Sebaik saja melangkah ke kawasan Grand Salon Lobby Lounge di hotel yang sama tempat acara itu dilangsungkan, kelihatan warna korporat akhbar Berita Harian iaitu rona merah dan putih dilihat melatari suasana.
Kuntuman bunga mawar warna yang sama juga menjadi hiasan di meja santapan. Bukan itu saja, kehadiran tetamu yang mengenakan pakaian mengikut tema warna yang ditetapkan turut menjadikan acara itu lebih bermakna.
Merah tanda berani, manakala putih lambang kesucian dan ketulusan dan ia memang bersesuaian dengan acara yang menjadikan suara peminat sebagai juri itu. Selepas sebulan acara kemuncak ABPBH 2008 berlangsung, baru kini pemenang menerima habuan yang dinantikan.
Tersenyum lebar wajah Mohammad Noor Ibrahim apabila Nissan Grand Livina 1.8L bernilai RM94,000 berada di dalam genggaman dan berkongsi kegembiraan bersama Mohammad adalah Nabil yang membawa pulang Nissan Sylphy 2.02L bernilai RM109,000.
Bagaimanapun, Nabil tidak akan menggunakan kereta itu. Dia mahu menghadiahkan kenderaan itu kepada bapanya.
“Sebelum ini bapa saya ada bermimpi mengenai kereta Nissan Sylphy ini. Jadi bila saya menang kereta ini, itu yang saya nak hadiahkan kepadanya sebagai memenuhi hajatnya,” seloroh Nabil sambil disambut dengan gelak tawa media yang mengelilinginya.
Bukan tidak menghargai kereta pemberian peminatnya itu, tetapi menurut Nabil dia lebih selesa menggunakan kereta yang dibeli daripada titik peluhnya sendiri iaitu Mitsubishi Lancer dan motosikal Kawasaki 750.
Selain menerima hadiah yang dijanjikan, majlis itu turut menjadi medan pemenang mengenali lebih dekat artis kesayangan mereka dengan lebih dekat. Teruja melihat artis yang hadir seperti Aznil Nawawi, Maya Karin, Noorkhiriah, Que Haidar dan isteri Linda Jasmine, Meet Uncle Hussain ramah melayan peminat yang ingin berbual dan bergambar kenangan bersama mereka.
Pada majlis itu, yang menyaksikan Fara Fauzana dan Tini bertindak sebagai pengacara itu, Nabil turut menunjukkan kebolehannya menyanyi apabila berduet bersama Stacy menerusi lagu Aci Aci Buka Pintu.
Turut membuat persembahan adalah Juara Keseluruhan Bintang Idola Berita Harian, Noor Nazatul Farihin serta penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza menyanyikan lagu yang dipetik daripada album Lentera Timur berjudul Di Taman Teman.
Majlis penyampaian hadiah itu disempurnakan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, Pengarang Kumpulan BHSB merangkap Penaung ABPBH 2008 Datuk Manja Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2008, Hanizam Abdullah.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: