Saturday, May 9, 2009

Syabu RM254j: Datuk ditahan


OTHMAN (kiri) menunjukkan sebahagian syabu yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kuantan, Pahang semalam.



KERATAN Kosmo! pada 4 Mei.


KUANTAN - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk antara empat suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes rampasan terbesar dadah syabu bernilai RM254.28 juta.

Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, ahli perniagaan berumur 30-an tersebut ditahan di rumahnya di Johor Bahru pada 4 Mei lalu.

"Datuk itu adalah suspek keempat yang ditahan di Johor Bahru dua hari selepas dadah tersebut dirampas," kata beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani.

Menurut beliau, polis turut menyita akaun bank bernilai RM2.6 juta milik Datuk itu selain aset lain termasuk kenderaan.

Katanya, tiga lagi suspek yang ditahan berumur antara 40 hingga 50 tahun. Mereka ditahan bersama syabu seberat 978 kilogram (kg), 2 Mei lalu.

Othman memberitahu, polis turut memburu beberapa lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung rampasan dadah yang hampir mencecah satu tan.

Salah seorang yang dicari ialah Lim Han Choo atau Ah Chiau, 55, yang beralamat di Taman Sentosa, Klang, Selangor

Beliau berkata, pihaknya percaya dadah tersebut dibawa masuk dari negara luar melalui Laut China Selatan sebelum sampai ke perairan Rompin.

Sebahagian dadah itu dipercayai untuk diedar di pasaran tempatan dan bakinya dieksport ke negara lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: