Saturday, May 9, 2009

Geng Venod sasar sami sebagai mangsa samun tumpas

SEPANG - Keganasan empat ahli Geng Venod yang menjadikan tok sami sebagai mangsa samun sejak lima bulan lalu berakhir apabila mereka diberkas di rumah masing-masing Ahad lalu.

Tangkapan empat lelaki berusia 20-an di Dengkil dan Shah Alam itu dilakukan selepas polis menerima aduan tiga orang sami sebuah kuil Hindu berdekatan Hospital Serdang disamun empat lelaki dipercayai anggota Geng Venod pada 2 April lalu.

Jurucakap polis berkata, semasa kejadian pada pukul 2.30 petang, ketiga-tiga sami yang berusia 20 hingga 40 tahun sedang leka beribadat di dalam kuil tersebut.

"Tiba-tiba muncul dua buah motosikal dinaiki empat lelaki menceroboh ke dalam kuil tersebut.

"Tiga suspek mengacukan parang ke leher ketiga-tiga sami itu sebelum tiga lagi menggeledah kuil tersebut dan melarikan wang tabung RM300, tiga buah telefon bimbit, sebuah motosikal Honda EX5 dan rantai leher yang dipakai ketiga-tiga sami itu," kata beliau.

Menurut beliau, ketiga-tiga sami itu tidak dicederakan kerana mereka tidak melawan.

Jurucakap polis memberitahu, berdasarkan laporan ketiga-tiga sami itu, polis menyerbu sebuah flat di Dengkil pada Ahad lalu dan menahan seorang lelaki yang sedang melepak di bawah bangunan flat tersebut.

"Lelaki itu dipercayai ketua Geng Venod dan susulan daripada penahanan tersebut polis menahan tiga lagi suspek di tiga buah rumah di Shah Alam," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: