Wednesday, May 20, 2009

Surat panggilan PLKN ditarik

KOTA BHARU - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menarik balik surat tawaran awal bagi 10,800 bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan berikutan kesilapan teknikal.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechik meminta maaf kepada semua bakal pelatih dan keluarga mereka yang sudah menerima surat berkenaan.

"Mereka diminta menunggu surat panggilan baru yang akan dihantar dalam tempoh terdekat ini menerusi pos berdasarkan alamat masing-masing," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam surat panggilan kepada bakal pelatih PLKN bagi Kumpulan 3 siri 2009 yang bermula 16 Jun ini, dilaporkan berlaku banyak kesilapan pada nama dan alamat bakal pelatih.

Abdul Hadi berkata, nama dan alamat bakal pelatih didapati tidak sama seperti yang disiarkan dalam akhbar-akhbar.

Beliau berkata, beliau sudah diarahkan oleh Kementerian Pertahanan untuk mengambil tindakan segera dan membuat panggilan semula kepada pelatih-pelatih dari tiga negeri berkenaan.

Katanya, JLKN sedang berusaha mendapatkan kerjasama pihak Pos Malaysia Berhad bagi mempercepatkan urusan dan melicinkan penghantaran semula surat-surat berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: