Friday, May 15, 2009

Sonar bikin panas!


MENELITI bait-bait lirik, Cuma Dia jelaslah secantik bidadari pun tidak mampu menandingi cinta si jejaka kepada kekasihnya.

Justeru selebriti popular tempatan, Seberang, Bollywood mahupun Hollywood seperti Datuk Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Maya Karin, Angelina Jolie, Britney Spears, Catherine Zeta Jones, Preity Zinta, Mahima Chaudry, Aishwarya Rai, Dian Sastrowardoyo, Inul Daratista dan Kris Dayanti dijadikan perumpamaan.

Sama ada, nukilan itu satu kebetulan atau dengan sengaja mencetuskan kontroversi bagi melonjakkan nama mereka, nyatanya dengan menggunakan nama-nama insan popular ini memudahkan Sonar dikenali.

Islah Wahyudi, 29, selaku vokalis dan pemain gitar yang mengilhamkan lagu ini berkata lagu itu tulis bukan untuk menghina mana-mana selebriti sebaliknya, ia sekadar cetusan rasa yang lahir dari hati seorang lelaki.

"Saya pilih nama-nama popular itu ada cerita di sebaliknya. Kesemuanya adalah wanita cantik dan selebriti popular di Malaysia, Indonesia, Hollywood dan Bollywood.

"Atau erti kata lain, kalau hati sudah suka tidak kiralah macam mana pun paras rupa, bentuk fizikal atau sikap seseorang itu, hanya dia saja yang bertakhta dia hati.

"Daripada guna lirik petik bintang dan bulan untuk membuktikan betapa cinta seseorang lelaki itu kepada gadis yang dicintainya dengan cara ini lebih realistik.

"Zaman sekarang yang serba pantas, turut merubah gaya pertuturan dan jika diamati melalui kebanyakan lirik mutakhir ini cukup ringkas," katanya.

Selain Islah, Sonar bernaung di bawah Universal Music ini diterajui, Badang selaku gitaris dan Ezay (bass) namun dilengkapi Ayie, pemain dram kumpulan Spider sebagai pemain dram undangan.

Serba sedikit mengenai latar belakang Sonar, kumpulan ini ditubuhkan pada 2001 dan bergerak secara bebas dengan menggunakan nama Moodbox.



Kemudian pada 2004 mereka mengirimkan pita rakaman berjudul, Diagnosis Of A Last Lover kepada Lunchai Emas. Kemudian, dilamar menjadi artis rakaman syarikat itu tahun berikutnya.

Memulakan rakaman album pada 2006, proses pembikinan album ini mengambil masa tiga tahun untuk disempurnakan.

Sejumlah 11 lagu yang terkandung di dalam album ini menceritakan mengenai kehidupan mereka serta pengalaman yang berlaku di persekitaran mereka.

Single kedua mereka misalnya, September Berdarah mengisahkan pengalaman cinta Islah sendiri.

"Lagu ini antara yang terawal Sonar rakamkan. Ia mengenai sambutan hari kekasih sebenarnya.

"Saya bersekolah di sekolah agama dan seluruh pelajar tidak meraikan acara ini. Justeru saya dan teman wanita memilih September untuk meraikan hari istimewa kami kerana September ada kaitan dengan hari kelahiran kami," katanya.

Boleh dikatakan kebanyakan lagu di dalam album ini adalah hasil ciptaan Islah sendiri antaranya, Sungguh, Cuma Dia, Dia Adalah Kecantikan dan Gian Untuk Bersamamu.

Menyingkap pemilihan judul sama ada pada kulit album mahupun lagu yang cukup simbolik, Islah menjelaskan ia adalah sebagai satu cara mereka memartabatkan bahasa ibunda.

"Sekadar memberi contoh, Sihir Untuk Yang Tersayang yang kami pilih sebagai judul album kerana kami melihat ilmu sihir atau yang berkaitan dengan ilmu ghaib bukan saja sesuatu yang misteri, menyakitkan dan ada kalanya mempesonakan.

"Ibaratnya kita menonton persembahan magis. Ia adalah ilmu sihir namun mampu menghiburkan penonton

"Begitulah harapan kami terhadap album ini. Mudah-mudahan dengan pelbagai pengalaman dan kisah benar yang kami catatkan dalam album ini bisa membuatkan peminat terpesona, tersentuh dan merasa dekat dengannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: