Friday, May 15, 2009

Omar terlantar di HKL


BARANGKALI ramai tidak mengenali Omar Man, 67. Popularitinya tidaklah segah Nordin Ahmad mahupun Datuk Mahmud Jun, namun hakikatnya beliau adalah insan yang berada di sebalik kejayaan mereka.

Tugas sebagai jurukamera filem digalas dengan baik menjadikan Omar disegani kalangan artis.

Pada hari ini, Omar terlantar sakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser prostat yang dihidapinya. Implikasi penyakit itu, Omar tidak lagi terdaya bangun seperti dahulu yang kuat mengendalikan kamera. Beliau kini hilang keupayaan itu untuk sementara waktu.

Bermula dengan sakit di bahagian pinggul dan tulang belakang, Omar mendapatkan rawatan di beberapa pusat perubatan untuk mengenal pasti penyakit dihidapinya.

Namun begitu, kos bagi rawatan di hospital membantutkan usaha mengubati penyakitnya.

Rawatan selama tiga hari saja menelan kos hampir RM4,000 dan dia terpaksa mengeluarkan simpanannya.

Kegigihan Omar merawat penyakit membawanya ke Hospital Selayang.

Selepas sepuluh hari di sana, Omar dihantar ke HKL untuk mendapatkan rawatan pakar tulang sejak 4 Mei lepas.

Melihat jalur tua di tubuhnya jelaslah beliau sedang menahan sakit yang dia sendiri tidak tertanggung. Kesakitannya sedikit terubat dengan kasih sayang dari isteri, Norana Sulaiman, 55, serta anak-anaknya, Norhayati, 34, dan Mohd Natasha, 24, bergilir menjaganya di hospital.

Tubuh yang dulu gagah mengendalikan kamera kini hampir kaku di katil hospital. Dia kelihatan tidak lagi kuat seperti dulu, hanya terbaring dan perlukan seseorang di sisi bagi membantunya.



“Kerja filem tidak boleh bagi kestabilan masa tua,” kata Omar ringkas.

Apa diluahkan Omar itu bukan mahu menjatuhkan mereka di bidang perfileman namun dia hanya mengingatkan apabila menceburi bidang perfileman, hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

“Tidak ramai yang benar berjaya dalam bidang ini. Contoh yang berjaya ialah Datuk Yusof Haslam yang berusaha keras dari bawah sehingga berjaya dalam bidang seni.

“Bidang perfileman kita pula, lagi tua, lagilah dibayar murah,” katanya.

Sebagai krew dalam produksi yang mendapat pendapatan lumayan ketika usia muda, Omar mengingatkan krew agar bijak menguruskan kewangan sewaktu muda kerana ia akan berguna apabila sudah tua.

“Apa yang saya kata merujuk nasib yang menimpa diri saya,” katanya.

Menurut Omar, setelah beliau dimasukkan ke hospital, ramai saudara mara dan rakan artis yang menziarahinya. Antaranya ialah Datuk Mustafa Maarof, Zulkifli Ismail, Yusuf Kelana dan Farid Amirul.

Dia turut menerima sumbangan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sebanyak RM300 untuk meringankan bebannya. Bekas majikannya Yusof Haslam menghulurkan RM3,000 dan tabung derma dari krew Skop Production sebanyak RM200.

Menyorot sejarahnya, Omar dilahirkan di Simpang Empat, Perlis pada 15 Januari 1942. Sebaik tamat darjah enam, beliau mengembara bersama rakan-rakan hingga ke Singapura bagi mencari ilmu dan pengalaman. Tawaran menjadi guru ditolak kerana teruja dengan kerja yang lumayan di Singapura.

Pada awal pembabitannya dalam perfileman, Omar memegang jawatan selaku jurukamera filem untuk filem Kisah Seorang Biduan (1979), Si Badol (1979), Toyol (1981), Ribut Barat (1981), Manis-manis Sayang (1983), Gila-gila Remaja (1986), Si Jantung (1986), Pagar-pagar Cinta (1986), Sayang Ibu (1989), Azizah The Legend (1993) dan Antara Gadis (1983).

Jawatan Omar dalam penghasilan filem berubah iaitu dari jurukamera biasa dilantik pula sebagai pengarah sinematografi untuk filem Sembilu 2005, Janji Diana (2003), MX3 (2003) dan Gerak Khas 3 (GK3) The Movie pada tahun 2005.

Detik akhir karier Omar sebagai orang seni pada 2008 apabila meletak jawatan dalam Skop Production. Awalnya Yusof memujuk Omar untuk mempertimbangkan keputusannya tetapi terpaksa akur dengan kehendak Omar yang tidak berhasrat menyambung tugasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: