Sunday, May 10, 2009

Saya masih ada - Noreen


NOREEN NOOR terkenal dengan imej seksi ala penyanyi Madonna pada tahun 1980-an.


DIKURNIAKAN wajah yang jelita dan dipadankan dengan alunan suara yang merdu serta kebolehan berlakon. Begitulah lengkapnya pakej yang dimiliki Noreen Noor.

Dia sering berimej ala penyanyi Madonna dan digelar ratu kontroversi kerana gemar berpakaian seksi sewaktu awal kemunculannya.

Mungkin ramai yang merasakan kelibatnya hanya suatu memori. Hakikatnya beliau masih lagi bergiat dalam industri hiburan.

Usia muda tidak menjadi penghalang kepada anak kelahiran Singapura ini untuk mempersembahkan bakatnya.

Malah ketika usia lima tahun dia telah berani tampil dalam satu pertandingan menyanyi dan menjadi juara.

Kemenangan itu bukanlah suatu kebetulan. Sejak di bangku sekolah dan semasa berkhidmat dengan Tenaga Nasional Berhad, dia turut menjuarai pertandingan.

Rezekinya bukan sekadar di atas pentas pertandingan. Ramli Salleh, seorang kenalan, telah mengundang Noreen untuk membuat persembahan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Meskipun gementar beraksi buat pertama kali di hadapan tetamu hotel dan beberapa artis terkenal seperti Rohana Jalil dan Salamiah Hassan, persembahan Noreen tetap memukau.

"Saya sangka yang datang pada malam itu sekadar untuk menonton. Tak sedar pula ada orang daripada syarikat rakaman.

"Habis persembahan, saya didatangi wakil syarikat Columbia Broadcast System (CBS) yang menawarkan peluang untuk merakam album," imbau Noreen terhadap aksi sulungnya di hotel.

Persetujuan dengan CBS membawa kepada permulaan dunia seni komersial Noreen. Album Kepastian menjadi taruhan pertamanya.

Ini diikuti album-album seperti Dariku Untukmu, Air Mata dan Sunyi. Lagu-lagunya acapkali menghiasi ruang udara radio suatu ketika dahulu.

Bakat lakonannya turut menyinari dunia perfileman. Talak pada 1980 merupakan filem pertama lakonan Noreen. Filem lain adalah Hantu Siang, Wira Angkasa dan Pelumba Malam.

"Dalam banyak-banyak karya, bagi saya karya yang paling membawa tuah adalah lagu Siang Terbayang Malam Merindu.

"Lagu itu menaikkan semula nama saya setelah saya meninggalkan seketika dunia nyanyian," cerita Noreen.

Sepinya seketika daripada pentas seni bukanlah disengajakan.

Merasakan bahawa kesibukan kariernya menjadi penyebab kepada kegagalan perkahwinan pertama, Noreen bertekad untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga apabila bertemu jodoh kali kedua.

"Selepas menghasilkan album Air Mata, saya mengambil keputusan untuk berundur daripada bidang ini dan menjadi suri rumah sepenuh masa," ujarnya lagi.

Diamnya juga bukan sekadar untuk menumpukan perhatian terhadap keluarga. Beberapa insiden tragis turut membantutkan niat Noreen untuk kembali aktif.

"Pemergian tiga orang terpenting dalam hidup saya memberi impak yang sangat besar.

"Bermula dengan pemergian abang pada 2004, ibu pada 2006 dan bapa pada tahun lepas membuatkan saya seperti hilang arah.

"Sekarang saya sedang kuatkan semangat untuk menjalani hidup baru," ujarnya sayu.

"Saya berharap peminat masih boleh menerima saya. Saya juga nak orang ramai tahu bahawa Noreen Noor masih ada, cuma berikan saya sikit masa untuk bangkit daripada semua kesedihan saya," ujarnya lagi.

Minatnya dalam dunia hiburan kini disalurkan melalui medium yang berlainan. Noreen kini giat menguruskan sebuah syarikat pengurusan acara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: