Sunday, May 10, 2009

Sihir Nadia


GADIS berusia 23 tahun ini teringin membawakan watak yang sebaya usianya.


GEDIK yang bersahaja dan bercampur gaul antara suka dan benci. Itulah yang dirasai oleh kebanyakan penonton sewaktu menyaksikan watak seorang ahli sihir bernama Mulan dalam drama Merah Putih yang akan menemui siri akhirnya esok.

Mulan memberi kesan besar kepada bakat lakonan Nadia Aqilah Bajuri. Dia sering diberikan watak-watak wanita matang dan tidak terkecuali yang ini.

Mungkin kerana ketinggian tubuh dan wajahnya, ujar Nadia yang baru berusia 23 tahun.

"Kalau orang tanya watak impian, saya mahukan watak yang sebaya usia saya dan watak wanita normal."

Nadia juga telah lama terlibat dalam pementasan teater sebelum beralih ke alam drama televisyen.

Nadia sudah bertamu di pentas Istana Budaya dan menjiwai teater Puteri Gunung Ledang dan P. Ramlee The Musical.

Bakat seninya dikesan oleh penerbit Radius One, Izad. Boleh dikatakan setiap drama terbitan Radius One akan mempamerkan kelainan lakonan Nadia, bermula dengan Emel Emelda, Sindarela dan kini Merah Putih.

"Saya sangat ghairah tentang semua bentuk seni kecuali lukisan kerana saya tidak pandai melukis.

"Saya sangat suka menulis dan boleh dikatakan saya adalah orang yang sangat 'mendalam'.

"Saya selesa sendiri dan seorang yang sangat perahsia," ujarnya yang teringin bakatnya diangkat ke layar lebar pula suatu hari nanti.

Satu hal yang mahu ditekankan oleh Nadia, selain khalayak melihat dirinya sebagai seorang pelakon baru, dia juga merupakan penyanyi kumpulan Luscious.

Mungkin ada yang terlupa akan tiga wanita cantik yang pernah bertarung dalam pertandingan Gangstarz.

"Saya akui semasa di Gangstarz kami beraksi dengan agak teruk namun kami keluar juga dengan album mini yang mengandungi tiga buah lagu.

"Kami mempertaruhkan single Khabarkan. Ya, ada radio yang mainkan lagu itu tapi bukan radio arus perdana," kesalnya yang juga merupakan komposer dan penulis lirik bagi EP keluaran mereka.

Nadia memberitahu, kecintaan utamanya terletak pada muzik dan diikuti persembahan. Dia tidak menolak bahawa lakonan memberikan kepuasan dalam dia berkarya kini.

Dia yang gemar membaca turut menyukai filem-filem yang diadaptasi daripada bahan bacaan.

"Saya juga sukakan filem yang bergenre drama atau muzikal," ujarnya yang meminati filem The Colour Purple lakonan Oprah Winfrey dan Whoopi Goldberg.

Harapannya sama dengan jiwa-jiwa lain yang berada di persada seni, mahu melihat dirinya menjadi lebih baik.

"Saya rasa bersyukur dengan watak Mulan yang memberi impak kepada lakonan saya.

"Awalnya saya takut kalau ada yang benci. Watak itu pelik tapi menyeronokkan sebab menjadi ahli sihir moden yang gila-gila," ulasnya.

Realitinya, kata Nadia, Mulan jauh berbeza daripada dirinya.

Nadia Aqilah Bajuri adalah seorang wanita yang menolak pemakaian kasut tinggi, solekan tebal mahupun busana yang seksi ataupun terlampau anggun.

"Saya seorang yang sangat santai. Berselipar sahaja, tidak suka bersolek, gemar mengembara dan minat menimba pengalaman.

"Berlapar dan bersusah sewaktu berada di negara orang itu menyeronokkan bagi saya," ujarnya sebelum beraksi di depan kamera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: