TUJUH peserta yang bertarung di peringkat separuh akhir pertama Bintang RTM. |
Dua faktor itu adalah antara kesilapan peserta Bintang RTM untuk tempah tiket ke final pada 21 Jun
HANYA tinggal satu minggu saja lagi untuk menentukan siapakah di antara lapan peserta yang bakal berentap pada malam kemuncak Bintang RTM 2009 (BRTM) pada 21 Jun ini.
Bagi episod Separuh Akhir 1 yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri malam Ahad lalu, hanya tiga daripada tujuh peserta sudah menempah nama ke peringkat akhir.
Mereka adalah Nur Fatin Nabila Noor Sazley, 17 dari Johor Bahru, Nur Ernie Shahirah Zakri, 17 (Kuala Lumpur) dan Mohd Ikbal Abdul Hatam, 18 (Sabah).
Namun keputusan yang dibuat tiga juri profesional yang dianggotai Johan Nawawi sebagai ketua juri, Syafinaz Selamat dan Mokhtaza Ahmad seperti menepati ramalan orang ramai yang menontonnya.
Menurut Johan, keputusan untuk menentukan tiga peserta yang layak ke peringkat akhir tidak menghadapi banyak masalah memandangkan lagu yang dipilih menepati kebolehan mereka.
JOHAN (kanan) yang mengetuai juri pada malam itu bersama Syafinaz dan Mokhtaza. |
“Kesemua peserta yang terpilih ke peringkat suku akhir ini adalah yang terbaik, tetapi kita memilih tiga peserta yang tidak melakukan banyak kesilapan pada persembahannya.
“Mungkin ini adalah nasib tiga peserta yang layak kerana tidak melakukan kesilapan, namun secara keseluruhannya peserta gagal memilih lagu yang tidak bersesuaian dengan mereka atau salah mencari lagu.
“Saya mengingatkan mereka agar memilih lagu yang sesuai dengan kebolehan mereka pada peringkat akhir ini,” katanya.
Ketiga-tiga peserta ini mempunyai masa depan yang cerah untuk berdiri teguh bersama barisan artis popular tanah air sekiranya berjaya mengukir identiti sendiri tanpa meniru gaya mana-mana artis yang sedia ada.
ERNIE mempunyai penghayatan yang baik ketika menyanyi. |
Kata Johan, bakat yang dimiliki semua peserta adalah anugerah, namun untuk lebih menggilap keterampilan mereka harus ada sesuatu yang unik dalam diri mereka.
“Saya nampak mereka boleh pergi lebih jauh sekiranya tahu kelebihan masing-masing. Mereka tidak perlu menyanyi mengikut penyanyi asal kerana sesuatu yang sudah ada itu sudah tersedia baik, namun mereka harus mencari identiti sendiri.
“Seperti Jamal Abdillah yang dikurniakan bakat semula jadi, masih juga boleh menyanyi seperti penyanyi lain tetapi kelebihannya dia mempunyai suara yang bernada unik membuatkan orang mengenali suaranya walaupun melalui radio saja,” katanya.
Pertandingan bagi suku akhir 1 itu juga turut mengundang dua artis tanah air membuat persembahan. Antara mereka adalah Azharina yang menyanyikan lagu terbarunya Rasa dan diakhiri dengan kumpulan yang cukup popular di luar negara iaitu Pop Shuvit juga dengan lagu baru mereka iaitu Oh!Sizuka.
Masih berpeluang melangkah ke final
EMPAT peserta lain yang gagal melayakkan diri ke peringkat akhir adalah Aziana Abdullah, 25, Azwan Abdul Aziz, 21, Hasfareza Harun, 21 dan Irsa Sahabuddin, 22 masih berpeluang bergelar Juara Bintang RTM 2009.
Melalui pemilihan Peringkat SMS Separuh Akhir, mereka masih lagi berpeluang meraih undi daripada penonton untuk layak ke peringkat akhir yang akan diadakan pada 7 Jun depan. Begitu juga empat peserta yang gagal selepas bertanding pada peringkat Suku Akhir 2 pada 31 Mei ini berpeluang ke peringkat akhir.
Salah seorang peserta yang sentiasa menunjukkan nyanyian yang konsisten pada setiap persembahan, Nur Ernie Shahirah Zakri, menganggap faktor penyokong memberi semangat untuk membuatkan yang terbaik.
“Saya sentiasa percaya sokongan keluarga, sahabat dan penyokong lain adalah suatu semangat buat saya memberikan persembahan yang terbaik setiap minggu.
“Segala teguran negatif yang saya terima pada setiap persembahan akan diperbaiki dengan teliti agar tidak lagi melakukan kesilapan pada peringkat akhir nanti.
“Saya juga akan memastikan lagu yang bersesuaian dengan bakat saya saja menjadi pilihan untuk bertanding pada peringkat akhir nanti,” katanya.
Bagi Nur Fatin Nabila Noor Sazley yang mula berjinak dalam bidang nyanyian sejak berusia 11 tahun, dia terharu apabila terpilih daripada yang terbaik untuk ke peringkat akhir nanti.
“Saya tidak menyangka layak ke malam final. Memang ini dianggap rezeki. Ia suatu pencapaian yang cukup tinggi dalam diri saya selama ini. Bukanlah tidak menaruh harapan yang tinggi untuk menjuarai pertandingan ini tetapi dapat duduk bersama semua yang terbaik pada peringkat akhir sudah cukup memadai,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: