
COLOGNE - Seorang remaja perempuan berumur 16 tahun bersenjatakan pisau sedang diburu pihak berkuasa Jerman semalam selepas dia memasuki sekolahnya untuk menyerang dan mencederakan seorang pelajar lain.
Remaja perempuan itu memakai topeng dan membawa beberapa bom petrol serta sepucuk senapang angin ketika menyerang sekolah itu.
Pasukan komando polis Jerman sedang menjejaki orang buruan itu dengan berpandukan isyarat telefon bimbitnya selepas dia melarikan diri dari sekolah berkenaan berhampiran bandar raya Bonn.
Pihak berkuasa Jerman diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas seorang remaja 17 tahun menembak mati 15 orang di sebuah sekolah dan kawasan sekitarnya di Winnenden, selatan negara itu pada Mac lalu sebelum menembak dirinya ketika bertempur dengan polis.
Dalam insiden terbaru itu, remaja perempuan tersebut memasuki Sekolah Tinggi Albert-Einstein di Sankt Augustin pada pukul 9 pagi waktu tempatan dengan bersenjatakan beberapa bilah pisau.
Polis berkata, dia mencederakan tangan seorang pelajar perempuan yang cuba mempertahankan dirinya ketika diserang.
Polis bergegas ke lokasi kejadian setelah dihubungi pihak sekolah dan mereka mengarahkan semua pelajar keluar dari sekolah tetapi gagal menemui penyerang.
Mereka kemudian menemui satu guni yang sarat dengan bom petrol dan senapang angin di sebuah tandas wanita di sekolah itu.
Akhbar tempatan, Express melaporkan beg berkenaan mengandungi sepucuk surat amaran kepada polis bahawa sekolah itu akan diserang tetapi pihak berkuasa menafikannya.
Akhbar tersebut menyatakan identiti penyerang sebagai seorang remaja Ukraine bernama Tanja O manakala polis percaya dia masih berada sekitar sebuah bandar 10 kilometer ke timur Bonn dan 30 kilometer ke selatan Cologne.
Setakat ini, motif serangan tersebut masih disiasat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: