Tuesday, May 12, 2009

Pendatang sabung nyawa ke Britain


SEJUMLAH pendatang menunggu peluang melompat ke arah lori untuk menuju ke sebuah terminal feri di Calais, Perancis.


CALAIS, Perancis - Kira-kira 100 pendatang haram menyabung nyawa apabila mereka cuba menaiki lori kontena yang bergerak di sebatang jalan raya di sini dalam usaha untuk menyusup masuk ke Britain secara haram, lapor sebuah akhbar semalam.

Mereka yang berdepan risiko digilis tayar-tayar trak, sanggup bergadai nyawa bagi memulakan hidup baru di Britain yang menjanjikan masa depan lebih cerah.

Sehingga kini dianggarkan terdapat lebih 1,000 imigran tinggal di sekitar Calais, dengan 400 daripada mereka menghuni sebuah kawasan setinggan jauh daripada khalayak yang dipanggil 'rimba'.

Imigran-imigran pelbagai negara itu menunggu peluang untuk menyusup ke dalam lori-lori yang bergerak perlahan ketika menunggu giliran untuk menaiki feri ke Britain.

Sejak beberapa bulan lalu, jumlah imigran itu meningkat dengan mendadak dan mereka mempamerkan sikap lebih agresif dalam cubaan melintas Selat Inggeris di sini.

"Pendatang-pendatang haram itu menjadi lebih agresif sejak beberapa bulan lalu," kata seorang pemerhati, Dominique Vanneste.

"Mereka kerap menyerang dan mengugut pekerja dan pemandu lori di kawasan itu dengan menggunakan batang besi," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: