Wednesday, May 13, 2009

Perwira generasi muda


POWER KIDS menonjolkan kanak-kanak sebagai wira.

Power Kids beraksi menentang musuh mereka menerusi seni mempertahankan diri Muay Thai

BERMULA 7 Mei lalu, sebuah lagi filem aksi daripada Thailand berjudul Power Kids mula ditayangkan di negara ini. Diterbitkan oleh produser sama bagi filem hebat Ong Bak dan Tom Yum Goong, kali ini penonton dihiburkan pula dengan sekumpulan perwira generasi muda yang beraksi menentang lawan mereka menerusi seni bela diri Muay Thai.

Power Kids mengetengahkan kisah empat kanak-kanak yang terpaksa melupakan perbezaan antara mereka, seterusnya bergabung menjadi satu demi mengejar matlamat sama. Wut, Pong dan Kat ialah rakan baik yang gemar menghabiskan masa mempelajari dan berlatih gerakan tinju Thai.

Mereka bersepakat menjadikan usaha membantu adik lelaki Wut iaitu Wun sebagai misi mereka setelah mendapat tahu yang kanak-kanak itu menghidap penyakit hati yang serius. Mereka dibantu seorang individu yang jauh berbeza dari diri mereka iaitu Jib, seorang gadis dari latar belakang sosial berbeza.

Segala yang diatur seolah-olah berjalan lancar dan sempurna, namun sesuatu yang menakutkan dan tidak dijangka berlaku. Sekumpulan pengganas diketuai Paeda yang kejam mengepung seluruh kawasan dan bangunan hospital. Keempat-empat kanak-kanak itu yang menyedari hati baru milik Wun kini dalam bahaya, bertindak mempertahankan organ berkenaan malah berkemungkinan menyelamatkan keseluruhan hospital terbabit.

Malangnya, mereka tidak begitu bersedia seperti yang mereka harapkan. Mereka ditangkap bersama-sama duta Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, doktor, jururawat dan pesakit, lalu dijadikan tebusan bagi memperoleh wang tebusan demi menunjukkan kemampuan dan kesungguhan Paeda pada mata dunia.

SEBAHAGIAN aksi hebat ditonjolkan menerusi Power Kids.

Mampukah kanak-kanak itu melarikan diri, menyelamatkan organ hati yang diperlukan oleh Wun serta menghentikan pembunuhan mereka yang tidak berdosa? Bagi mendapatkan jawapan, tonton Power Kids arahan Noong-Krissanapong Rachata di pawagam berdekatan. Filem ini dilakonkan Nuttawuth Boonrapsap, Sanisa Chindamanee, Paethaiy Wongkumlao, Darun Tantivichitvej dan Pimchanok Luevisetpaiboon.

Power Kids muncul filem pertama diarahkan oleh Noong-Krissanapong, yang sebelum ini sering berada di belakang tabir pembikinan banyak filem aksi Thai mahupun antarabangsa. Dia bekerjasama dengan Panna Rittigrai, pengarah filem aksi berpengalaman untuk mengawal aksi yang ditonjolkan menerusi filem ini. Power Kids juga menyaksikan kerjasama kali kedua antara mereka selepas filem Born To Fight. Kali ini mereka memberikan sesuatu yang baru untuk dipertontonkan kepada peminat filem aksi.

"Filem aksi menjadi ikutan setelah munculnya Tom Yum Goong, Ong Bak dan sebagainya. Namun, kami mahukan sesuatu yang baru dan segar, sesuatu yang berbeza dari filem aksi matang sedia ada. Kami berasakan filem aksi untuk kanak-kanak pastinya menarik kerana ia belum pernah dibikin sesiapa secara serius.

"Ramai yang mengatakan sukar untuk melahirkan filem aksi kanak-kanak kerana mereka mudah cedera. Tapi kami tidak berasa sedemikian. Pastinya ada kanak-kanak yang mampu melakukannya,” kata pengarah terbabit.

Mengenai penghasilan filem ini dia berkata, mereka perlu mencari kanak-kanak yang berpengalaman dalam sukan tinju Thai bagi memudahkan aspek latihan dalam pelbagai sudut. Latihan bertahun-tahun diperlukan bagi mendapatkan hasil sempurna yang diinginkan.

"Kami mula mencari kanak-kanak yang memiliki pengalaman asas dalam sukan Tinju Thai menerusi uji bakat. Kami mendapat lima kanak-kanak berbakat dengan kelebihan masing-masing. Pelakon pertama ialah Wuth (Nuttawuth Boonrapsap) yang sememangnya berbakat dalam sukan tinju Thai. Jadi, dia dipilih memainkan peranan utama dalam kebanyakan adegan aksi. Malah dia muncul juara bagi persembahan prelude tinju Thai yang diadakan pada peringkat awal pemilihan.

"Oleh kerana bakat dan rupanya yang menarik, kami memilihnya sebagai watak utama dan mahukannya berlatih lebih banyak berbanding yang lain. Dia boleh diandaikan sebagai Ja Panom Junior. Jika dilihat pada kemahirannya, pasti masa depannya amat cerah. Ditambah pula dengan tanggungjawab yang dimilikinya. Wuth harus ke sekolah seperti kanak-kanak lain namun masih mampu berlatih bertarung, bertinju dan berlakon pada masa yang sama. Malah dia melakukannya dengan cemerlang dan bersungguh-sungguh," ujarnya.

Kata Noong-Krissanapong, kanak-kanak itu harus dilatih bagi tempoh waktu yang panjang berikutan rutin yang pelbagai perlu dipelajari termasuk latihan menendang, tumbukan dan kuncian, lompatan serta aksi lain seperti yang dilakukan oleh pelakon senior. Mereka juga perlu berlatih dengan kumpulan pelakon lagak ngeri, selain pelbagai watak lain.

"Catt (Sanisa Chindamanee) pula calon pertama pilihan saya kerana bakatnya sudah terbukti menerusi Born To Fight. Dia pelakon yang sangat hebat dalam menonjolkan aksi mantap dan saya berasakan dia wajar diberi lebih latihan yang serius. Manakala Grace (Navarat Techaratanaprasert) pula seorang pelakon yang dikenali, jadi kehadirannya memantapkan lagi filem ini. Dia mempunyai lebih adegan aksi berbanding filemnya sebelum ini.

"Seterusnya, Mix (Paethaiy Wongkumlao). Oleh kerana ia sebuah filem aksi, ada eloknya jika saya menyelitkan sedikit unsur komedi di dalamnya. Saya agak rapat dengan Mum Jokmok, bapa kepada Mix yang juga pelakon komedi terkenal. Kedua-dua anak beranak ini kelihatan mirip antara satu sama lain, dengan rupa dan keletah Mix yang begitu menyerupai bapanya. Jadi saya memilihnya sendiri bagi menambah rencah dan warna kepada jalan cerita.

"Pelakon terakhir ialah Jun (Darun Tantivichitvej) yang memainkan watak adik kecil yang disayangi oleh semua orang. Comel dan sangat hebat lakonannya hingga mampu membuat penonton menitiskan air mata," jelas pengarah itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: