Thursday, May 14, 2009

Pendatang lari atas siling pasar



SENTUL: Bagi mengelak dicekup, sekumpulan warga asing nekad memanjat siling Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang sebelum berlari di dalamnya tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi jika terjatuh ketika diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi mencegah jenayah, malam semalam.

Malah, dengan ketinggian siling yang menyamai bangunan dua tingkat, ia sedikitpun tidak memberikan rasa gayat kepada mereka, malah difahamkan laluan berkenaan (siling) menjadi pilihan ‘kegemaran’ warga asing bagi bersembunyi, sekali gus mengelak dikesan pihak berkuasa.

Warga asing yang cuba melarikan diri ketika diserbu kebiasaannya menggunakan taktik sama termasuk bersembunyi di bawah kolong, dalam longkang besar atau lari dan bersembunyi dalam semak.

Namun, semua taktik itu dianggap lapuk oleh pihak berkuasa berikutan kejayaan penahanan sejumlah 83 pendatang asing tanpa izin termasuk 14 wanita yang majoritinya dipercayai bekerja sebagai pembantu pasar.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata operasi itu dilancarkan selepas pihak polis menerima maklumat orang awam dan risikan dilakukan pihak berkuasa.

“Dengan kekuatan anggota seramai 150 orang termasuk pegawai, polis dengan kerjasama Rela dan Jabatan Imigresen menyerbu pasar borong berkenaan kira-kira jam 11 malam.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, warga asing terbabit cuba meloloskan diri namun dapat dicekup pihak berkuasa,” katanya.

Sejurus diberkas, semua pendatang yang ditahan itu dikumpulkan bagi proses dokumentasi oleh imigresen sebelum diasingkan di Balai Polis Jinjang.

Zakaria berkata, antara kegiatan jenayah yang sering berlaku di pasar berkenaan ialah ragut, bunuh dan samun.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan jenayah di daerah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: