![]() NABIL dan Angah bagaikan kurang persediaan sewaktu mengendalikan segmen mereka. |
Jejas persembahan di Restoran Seri Melayu sempena sambutan Hari Ibu & Bapa
TIDAK adil jikalau mahu menghukum kesalahan serta mengukur kekurangan persembahan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Ahmad Nabil Ahmad semata-mata pada persembahan sambutan Hari Ibu & Bapa anjuran Restoran Seri Melayu (RSM) Sabtu lalu.
Namun, hakikatnya memang penampilan Nabil di premis popular itu dibantu gandingan Angah Raja Lawak bagaikan kurang 'umphh'. Malahan, reaksi tetamu yang hadir juga tidak memberikan rangsangan yang baik. Entah di mana silapnya, kehadiran Nabil jelas tidak memberi impak, barang kali kurang latihan yang dilakukan.
Menurut kekasih hati Irma Hasmie itu, dia tidak menafikan momentum persembahannya dengan Angah sedikit lari.
Tanpa berselindung juga, Artis Baru Lelaki dan Artis Komedi Lelaki ABPBH 2008 itu tidak dapat menyembunyikan debaran membuat persembahan pertama kali di hadapan ibu kesayangan Irma, Ropitah Abdul Hassan.
Malah keluarga Nabil turut hadir memberi sokongan moral. Ini adalah kali kedua keluarga Nabil menonton persembahannya selepas tahun lalu di Hotel Casuarina, Ipoh.
![]() |
| IRMA bersama ibu dan keluarga Nabil turut hadir memberikan sokongan. |
"Saya melakukan persediaan membuat persembahan di RSM seperti kebiasaan yang pernah dilakukan dalam persembahan lain. Seperti selalu saya melakukan perancangan, malah tak timbul soal saya kurang serasi dengan Angah kerana kami kerap membuat persembahan bersama.
"Cuma saya tak boleh melindungi perasaan gelabah dan gementar kerana pertama kali ibu Irma hadir menonton persembahan saya secara langsung. Itulah kadang-kadang ternampak macam seperti saya main-main di atas pentas sedangkan hakikatnya saya nak mengaburi mata penonton mengenai apa sebenarnya yang bermain di hati saya," kata Nabil jujur.
Ditanya mengenai imejnya kebelakangan ini yang kelihatan selekeh dan tidak mencerminkan status bintang yang dipegangnya, Nabil mempunyai alasannya yang tersendiri. Malah sejak malam kemuncak ABPBH 2008 12 April lalu, imej rambut kerinting yang digayakannya masih kekal hingga sekarang.
Ia dilakukan demi tuntutan watak yang dipegangnya dalam filem Bangladesh terbitan KRU Studios. Filem itu akan memulakan penggambaran pada Oktober nanti dan kata Nabil, besar kemungkinan dia akan ke negara itu selama 10 hari untuk melunaskan penggambaran.
![]() |
| RAMLAH RAM berjaya menarik tumpuan tetamu yang datang untuk melihat persembahannya. |
"Nampak gayanya, saya kena kekalkan gaya rambut ini hingga tamat penggambaran. Mengenai imej saya yang dikatakan selekeh, saya tidak berasakan menjadi figura umum, maka harus tampil kemas memanjang. Paling penting hati mahu baik. Terimalah saya seadanya. Dulu pun, saya pernah mempunyai rambut panjang dan kerinting. Kalau lihat contoh di Barat, Brad Pitt masih diminati biarpun kerap tampil dengan imej selekeh," katanya.
Album terbaru Ramlah terbit Jun
SELAIN menampilkan Nabil sebagai tarikan, RSM turut mengundang penyanyi Ramlah Ram menghiburkan tetamu yang datang. Khabarnya, kebanyakan yang hadir mahu bertemu secara dekat dengan penyanyi kecil molek itu berbanding Nabil.
Bayangkan saat tampil membuat persembahan, penyanyi Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu tidak lekang dikerumuni peminat yang mahu merakamkan gambar kenangan bersama dan bertemu secara dekat. Bahkan, Ramlah Ram sewaktu ditemui menarik nafas lega kerana tidak menyangka peminatnya masih setia di belakangnya. Ramlah kini juga mempunyai ahli kelab peminat yang dipanggil Ramlah Ram Group.
"Saya hanya mampu melakukan yang terbaik dan selagi diminati dan disukai peminat, saya terus memanjat kesyukuran. Dunia nyanyian masih menjadi kecintaan saya, malah saya sentiasa mahu memperbaiki kelemahan yang ada demi memuaskan hati yang menghargai bakat saya.
"Saya bersyukur penantian selama ini berbayar apabila album terbaru saya memuatkan 10 buah lagu di bawah naungan FMC Music akan dipasarkan 3 Jun ini. Album berkonsepkan pop itu sebagai hadiah buat peminat saya yang dulu dan yang baru meminati Ramlah Ram.
"Mengikut perbincangan, saya dan FMC hanya menandatangani kontrak untuk dua album saja. Dua tahun lalu, saya muncul dengan single Maharaja (hanya dimuatkan di dalam album kompilasi) dan menerusi lagu itulah, ia mula membangkitkan semangat saya untuk berjuang. Kemudian diteruskan dengan single pertama album terbaru, Ketentuan," katanya yang mengakui pernah serik untuk membikin album biarpun ada menerima tawaran daripada syarikat rakaman.
Sementara itu, Pengarah Urusan RSM, Rosli Rahmat berkata sambutan yang diterima pada tahun ini bagi meraikan Hari Ibu & Bapa secara serentak amat menggalakkan. Ini adalah tahun kesembilan RSM menganjurkan majlis sedemikian.
Ini juga kerjasama kali kedua Nabil dan RSM selepas terbabit dengan Minggu Setiausaha tahun lalu bersama Mawi dan Heliza.
Katanya lagi, apa yang dipersembahkan bukan semata-mata untuk mengambil keuntungan. Sebaliknya, ia dilakukan demi tanggungjawab sosial dan korporat RSM terhadap pelanggan. Malah, ia juga sebagai memenuhi acara kalendar tahunan RSM.
"Jika dulu Hari Ibu & Bapa tidak semeriah sekarang dan dianjurkan secara kecil-kecilan. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, ia menjadi tradisi besar-besaran bagi menghargai insan istimewa di dalam hidup kita. Tahun ini, apa yang kami tampilkan lebih kepada ciri Kemelayuan kerana sambutan lebih terarah kepada orang Melayu dan hanya ada satu meja saja berbangsa Cina.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: