![]() |
Mahu kongsi kemahiran dalam bidang pengacaraan, tunggu masa terbit biografi perjalanan hidup
MANA mungkin melupakan pesona dan kejelitaan wanita ini yang pernah membuatkan penonton program kendaliannya di kaca TV terpukau. Suatu ketika dulu, beliau memang antara daya tarikan stesen TV3, malah insan yang bakal menginjak usia 45 tahun pada 4 Jun ini pernah mendapat jolokan antara Wanita Melayu Terakhir.
Namun selepas bergelar isteri kepada bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid pada 25 Ogos 2005, Datin Seri Normala Samsudin lebih senang menumpukan perhatian kepada keluarganya dan mengambil keputusan mengundur diri untuk tidak lagi aktif lagi dalam dunia seni.
Kelibat Normala kelihatan sewaktu beliau dan suaminya menghadiri Malam Gala Rafflesia di Tropicana Golf & Country Resorts Jumaat lalu. Hadir dengan koleksi peribadi berwarna rona biru terang ditambah seri dengan barang kemas Rafflesia, Normala masih tampak menawan dan menjadi perhatian tetamu yang hadir.
Pelawaan Hip untuk menggandingkannya dengan seorang lagi jelitawan bergelar ibu tunggal kepada dua anak, Rozita Che Wan disambut baik. Sambil menguntum senyuman manis, wanita yang cukup sinonim dengan program Nona dan Buletin Utama itu bersedia memberikan pos menarik. Usiknya di awal pertemuan, sudah lama tidak beraksi di depan kamera, beliau mengakui agak kekok pada mulanya.
Saling memuja, rupa-rupanya mereka sudah bertemu sebelum ini dan ketika itu, Normala menerusi program yang diterbit dan dihoskannya sendiri iaitu Bersama Normala Shamsudin turut menemubual ibu tunggal itu. Masih merendah diri, Normala lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Kak Mala.
![]() |
| NORMALA turut teruja sambil membelek sampul surat yang mengandungi hadiah cabutan nombor bertuah yang dimenangi suaminya, Azmi. |
“Dia sangat cantik dan Kak Mala sukakan karakter sebenarnya yang sangat kelakar. Kak Mala ada menemubualnya untuk isu ibu tunggal yang berkaitan dengan dirinya. Tak dinafikan dia memang antara ibu tunggal yang meletup sekarang ini. Personalitinya pun menarik,” ungkap Normala yang kini lebih selesa dengan penampilan berselendang.
Rozita pula berkata, dia cukup mengagumi Normala yang sangat peramah tanpa memikirkan status yang dipegangnya. Bahkan, kakak kepada pelakon Ayu Raudah itu berbangga dapat digandingkan bersama Normala buat pertama kalinya dalam sebuah sesi fotografi ‘segera’.
Berbalik kepada kisah Normala, 2009 menjadi saksi ibu kepada tiga orang anak ini beralih kembali ke dalam bidang pengacaraan yang cukup dicintainya.
Menurutnya juga dia ingin menyambung warisan bakat yang dicambahkan kepada salah seorang anaknya. Malahan, pada masa mendatang, pelakon filem Idola itu berhasrat mahu menurunkan bakatnya kepada sesiapa yang berminat untuk mendalami bidang pengacaraan.
![]() |
Program Bersama Normala Samsudin selama 26 episod itu sudah mula bersiaran 17 Mei lalu di TV1. Disiarkan setiap Ahad jam 3 petang, program kupasan perihal wanita itu menjadi pertaruhan sulung sebagai bukti comeback yang dimaksudkannya tadi. Selain menjadi hos, Normala turut bertindak sebagai penerbit.
“Menjadi penerbit dan pengacara pada masa yang sama bukanlah perkara yang mudah. Namun Kak Mala bersyukur mempunyai tenaga sokongan termasuk pasukan penerbitan yang baik. Kombinasi semuanya melancarkan apa yang kita rancangkan.
“Apa yang Kak Mala lakukan ini sudah dirancang sejak tiga tahun lalu, namun hanya pada tahun ini, ia dapat direalisasikan. Ketika itu, tidak manis untuk Kak Mala membabitkan diri di saat suami memikul tugas dalam kementerian.
“Program ini hadir bukan semata-mata mahu mencari keuntungan, sebaliknya atas dasar memeriahkan industri. Satu lagi, Kak Mala jenis yang suka berfikir untuk berkarya dan ia dilampiaskan dengan minat bagi kembali bersiaran,” katanya sambil memberitahu jika ada rezeki beliau ingin mengacara program lain pula. Pernah melalui fasa membahagiakan mengecapi populariti, kata Normala, apa yang dilakukan kini bukan untuk mengejar elemen itu. Malahan, apa yang dilaksanakan sekarang bukan kerana kerinduan yang mencengkam jiwa untuk kembali mengacara.
“Secara jujurnya, zaman popular Kak Mala sudah berlalu. Cukuplah setakat itu dan ini adalah permulaan untuk Kak Mala melakukan kembali apa yang pernah dilakukan sebelum ini. Kak Mala juga mahu memanjangkan legasi itu kepada anak dan mereka yang berminat untuk bergelar pengacara.
“Salah seorang anak perempuan Kak Mala sudah menunjukkan potensi untuk mengikut jejak. Bukan soal rindu yang membuatkan Kak Mala kembali. Dunia pengacaraan dan penulisan masih di hati Kak Mala biarpun tidak berada di depan kamera.
“ Kak Mala masih menulis memoir dan manuskrip perjalanan dan pengalaman hidup yang dilalui di rumah. Besar kemungkinan, ia bakal diterbitkan dalam bentuk buku biografi. Ada juga idea yang diluahkan, Kak Mala terjemahkan ke dalam skrip beberapa drama yang tak dapat didedahkan atas permintaan pihak tertentu,” katanya yang setia menerima sokongan dan dorongan suami tercinta.
Info Datin Seri Normala Samsudin
Info Malam Gala Rafflesia@Tropicana Golf & Country Resort



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: