|
| PASANGAN Ahmad Nabil Ahmad, 26, dan Irma Hasmie, 27, bukan saja digelar belangkas kerana di mana ada Nabil di situ ada Irma. Malah kini kemesraan keluarga mereka juga bukan rahsia lagi apabila Nabil dan Irma membawa keluarga masing-masing meraikan sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa. |
Ternyata majlis dianjurkan Restoran Seri Melayu sempena meraikan Hari Ibu pada Mei dan Hari Bapa (Jun), menjadi detik manis dua keluarga mengeratkan silaturahim. Malah, hubungan cinta mereka diterima baik keluarga masing-masing.
Kemesraan dipaparkan Irma kepada keluarga bakal mentua kelihatan begitu tulus dan rapat sekali seolah-olah sudah menjadi satu keluarga. Begitu juga Nabil, belum lagi jadi menantu, sudah pandai mengambil hati bakal ibu mentua.
Bagi Nabil, niat di hati bukan sahaja untuk meraikan ibu bapanya, Rohaizah Abdul Latiff, 58 dan Ahmad Ismail, 58, bahkan mengambil kesempatan itu untuk menyambutnya bersama ibu bapa Irma, Ropitah Abdul Hassan, 53.
Ditanya sama ada pertemuan dua keluarga ini adalah satu perancangan daripadanya, Nabil yang dipilih menjayakan persembahan sempena Hari Ibu dan Hari Bapa bersama Ramlah Ram mengatakan kehadiran keluarganya dan Irma bukan dirancang sebaliknya berlaku secara kebetulan.
"Ketika mendapat tawaran menjayakan sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa di sini, penganjur menyediakan satu meja buat keluarga saya. Memandangkan ke mana saja saya pergi Irma akan ada sekali, waktu itulah saya terfikir kenapa tidak menjemput keluarga Irma turut serta?
"Lagipun, ini satu pendekatan buat keluarga saya untuk bermesra dan mengenali keluarga Irma," katanya.
Bercerita mengenai sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa, kata Nabil, kedatangan Mei setiap tahun cukup dinantinya kerana ia dianggap istimewa dan bermakna.
"Sudah menjadi tradisi keluarga kami meraikan Hari Ibu. Walaupun, Hari Bapa jatuh pada Ahad ketiga Jun, kami gabungkan sekali sambutannya pada Hari Ibu. Semua adik-beradik akan berkumpul bersama. Memang ramai dan meriah dengan pelbagai juadah makanan terhidang di meja.
"Bagaimanapun, jangan salah tafsir. Sebagai anak, sudah menjadi kewajipan saya sentiasa memberi kasih sayang kepada ayah serta ibu dan bukan hanya tertumpu pada 10 Mei sahaja.
"Cuma, perasaan ketika Hari Ibu itu lain sikit dan rasa kasih kepada ibu dan ayah semakin mendalam kalau diraikan pada hari tertentu seperti itu," katanya.
Nabil yang baru saja menang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) mengakui sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa pada dua tahun ini berbeza dengan sebelumnya.
Kata Nabil, rezeki yang diterimanya hari ini membolehkan dia memberi lebih kebahagiaan kepada orang tuanya.
"Jika dulu sambutan Hari Ibu kami buat hanya di rumah dan menjamu selera makanan yang ada tapi sejak menceburi bidang seni, mereka diraikan dalam majlis istimewa seperti hari ini.
"Tahun lalu saya membawa keluarga mengikuti persembahan yang saya jayakan di Hotel Casurina, Ipoh sempena sambutan Hari Ibu," katanya.
Bagi ayah Nabil, tiada apa yang diinginkan selain kebahagiaan serta kejayaan anaknya melakarkan perjalanan sebagai insan seni.
"Apabila anak kita membuat kebaikan atau mencipta kejayaan membanggakan, ia sudah memandai. Malah, saat meluang masa berkualiti bersama keluarga sudah menyeronokkan.
"Saya bersyukur walaupun Nabil sudah menjadi popular dan sibuk dengan kerjaya, itu tidak pernah dijadikan sebagai alasan untuk tidak menziarahi kami. Nabil selalu balik ke rumah dan menjenguk kami dan adiknya bertanya khabar.
"Sebagai bapa, sudah tentu saya gembira melihat pencapaiannya hari ini. Cuma, ada kalanya saya takut dan risau jika Nabil lupa diri selepas mengecapi populariti. Alhamdulillah itu tidak berlaku malah saya lihat Nabil semakin menghormati kami sebagai ayah dan ibunya,' katanya.
Mengenai kekasih hati anaknya, Ahmad berkata, keluarganya menerima baik serta menyenangi kehadiran Irma yang dilihatnya begitu sopan dan tahu menghormati orang tua.
"Nabil sudah beberapa kali membawa Irma ke rumah kami di Mambau, Negeri Sembilan. Dari situ, saya dapat melihat Irma seorang gadis yang baik, peramah dan tidak kekok untuk datang ke kampung.
"Maklumlah, kami duduk di kampung dan rumah tidaklah sehebat rumah di bandar. Bagaimanapun, saya lihat Irma tidak kisah semua itu malah mampu menghadapinya dengan baik. Keluarga kami senang melihat peribadi Irma yang begitu merendah diri serta tidak sombong," katanya.
Sebagaimana dijanjikan Nabil sebelum ini Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 dihadiahkan kepada bapanya manakala ibunya diberikan barang kemas Rafflesia bernilai RM150,000. Ternyata pada hari itu, Ahmad bergaya dengan kereta baru.
Bagaimanapun, kata emak Nabil, barang kemas itu belum sampai ke tangannya kerana majlis penyerahannya akan berlangsung pada 30 Jun ini.
"Barang kemas Rafflesia akan diberikan pada 30 Jun ini, tetapi itu bukan yang saya utamakan. Sebagai ibu, melihat anak mempamerkan persembahan hebat sudah mampu membuat hati saya tersentuh.
"Saya juga berharap Nabil sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak lupa asal usulnya serta pandai membawa diri," katanya.
Sementara itu emak Irma mengakui menyambut baik jemputan Nabil untuk menghadiri majlis itu bukan saja dapat sama-sama meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa malah bertemu serta beramah mesra dengan keluarga Nabil. Bagaimanapun, bapa Irma tidak dapat hadir kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan.
"Terima kasih kepada Nabil kerana sudi ajak keluarga kami untuk turut serta dalam majlis ini. Inilah kali pertama saya bertemu keluarga Nabil.
"Saya seronok bertemu dengan ayah dan ibu Nabil. Mereka peramah dan emak Nabil sendiri kelakar seperti anaknya. Apabila seronok bercerita, tidak sangka pula saya dan ayah Nabil sama-sama terbabit dalam bidang sama, pendidikan," katanya.
Pemilihan Nabil dan Ramlah menjayakan Hari Ibu dan Hari Bapa mendapat sambutan dengan kehadiran ramai tetamu memenuhi dewan. Majlis dimulakan dengan persembahan Kumpulan Penari Canggong Production yang membawakan tarian selamat datang dan joget.
Bagaimanapun, kemunculan Nabil bersama Angah Raja Lawak untuk memeriahkan majlis dengan telatah lucu mereka dilihat agak membosankan apabila gurau senda mereka kurang menyengat serta gagal mencuit hati penonton pada awal persembahan.
Sketsa komedi yang dipersembahkan bersungguh-sungguh kelihatan seperti syok sendiri kerana penonton tidak ketawa, tetapi cuba memahami apa yang disampaikan kedua-dua pelawak popular itu. Nabil sendiri kelihatan gelabah ketika persembahan, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada seorang pelawak terkenal.
Bagaimanapun, 'bisa' gurau senda Nabil dan Angah kian dirasai tatkala kemuncak persembahan apabila penonton yang pada mulanya pasif kelihatan agresif menonton lawak jenaka mereka. Pada akhir persembahan, barulah penonton mampu ketawa terbahak-bahak.
Menyentuh sama ada kurang persediaan, Nabil berkata, dia dan Angah sudah menyediakan satu perancangan lengkap serta terbaik untuk menjayakan sambutan itu. Cuma dirinya berasa sedikit gugup dan gelabah pada awal persembahan.
"Maklumlah, hari ini kali pertama saya buat persembahan di hadapan emak Irma, jadi perasaan gemuruh dan gelabah tidak dapat dikawal.
"Selain emak Irma, ayah dan ibu saya pun ada juga. Saya ketika itu, takut tersilap cakap, nanti apa pula pandangan emak Irma kepada saya.
"Bagaimanapun, selepas beberapa minit, perasaan gelabah dan takut tersasar kata, sudah dapat diatasi. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya dan Angah buat penonton ketawa dengan lawak jenaka kami," katanya.
Bahang dewan semakin terasa apabila kemunculan Ramlah yang mendapat tepukan gemuruh hadirin apabila menyampaikan lagu popularnya.
Mereka begitu gembira apabila Ramlah pergi dari satu meja ke meja untuk mendekati mereka sambil memenuhi permintaan bergambar dengannya. Ternyata peminat Ramlah bukan saja dari kalangan mereka yang membesar pada zaman 80-an, malah juga generasi muda apabila penyanyi ini dihampiri gadis comel yang tahu menyanyikan lagu Diam Diam Jatuh Cinta.
Meskipun hanya 45 minit, nyata Ramlah berjaya menghiburkan hadirin dengan mendendangkan beberapa lagu popularnya, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Diam Diam Jatuh Cinta, Ketentuan dan Maharaja. Bagaimanapun, dia tidak membawa keluarganya untuk diraikan bersama pada hari itu.
Penganjur turut menyediakan dua anugerah untuk ibu bapa bertuah iaitu Anugerah Ibu RSM 2009, Anugerah Bapa RSM 2009 khusus untuk kategori umur paling tua dalam kalangan tetamu yang hadir. Selain itu, kategori ibu dan bapa dengan kehadiran anak paling ramai serta keluarga dengan kehadiran berpakaian sedondon mengikut warna tema iatu hijau dan kuning.
Pemenang Ibu RSM 2009, Umay Isa, 78, menerima hadiah selempang songket bertatahkan kerongsang, cincin tajaan Hafiz Jewel, jam tangan Roscani tajaan Jun Lee Marketing Sdn Bhd, penginapan di The Pulai Desaru Beach Resort, hamper dan bunga. Hadiah disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Seri Melayu, Rosli Rahmat.
Anugerah Bapa RSM 2009 pula dimenangi Mohd Yusuf Yaacob, 82, dan menerima tengkolok songket bertatahkan kerongsang, cincin suasa delima, jam tangan Roscani, penginapan di The Pulai Desaru Beach Resort, hamper dan bunga.
Bagi hadiah khas Ibu/Bapa dengan kehadiran paling ramai dimenangi Jaharah Baset dan Mansor Haron yang hadir bersama 12 anak, menantu dan cucu serta menerima jam tangan Roscani, penginapan di Heritage Station Hotel, Kuala Lumpur, hamper dan bunga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: