Tuesday, May 19, 2009

Komen sekat kreativiti?


'INGINKAN kelainan', ungkapan yang cukup 'klise' kerana kerap digunakan panel juri dalam penjurian atau kritikan yang dilakukan mereka menerusi kebanyakan program realiti.

Namun, apabila peserta yang bertanding cuba mengetnengahkan sudut persembahan yang menampilkan kelainan, ada pula segelintir juri sewenang-wenangnya menghentam seolah-olah mereka sendiri tidak faham apakah itu maksud 'kelainan'.

Jika juri sendiri, tidak dapat memahami dan gagal memahami kelainan yang disampaikan, di manakah letaknya tahap pemikiran seorang juri yang sepatutnya memainkan peranan menggalakkan bakat baru bebas melakukan percubaan baru?

Andai cara konservatif masih diteruskan, percayalah arena seni suara akan terus ketinggalan dan mundur kerana individu cerdik pandai seperti juri sendiri menyekat perlaksanaan kreativiti itu. Maka, tidak hairanlah mengapa penggemar muzik beralih arah kepada muzik yang diperjuangkan artis dan band indie.

Senario ini antara drama menarik yang dapat disaksikan dalam konsert pertama Kumpulan B, program Mentor yang berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam, malam kelmarin.

Persembahan Thye juga protege kepada penyanyi bersuara hebat, Adibah Nor, mendapat kritikan hebat dua juri Fauzi Marzuki dan Edry Abdul Halim sewaktu menyampaikan lagu 'Melodrama', sebuah lagu klasikal yang digubah kepada 'arrangment' lebih moden.

Kedua-dua juri mendakwa mereka tidak faham apa sebenarnya yang ingin ditonjolkan Thye dan arah tuju muzik pilihannya. Selain menasihatkan supaya memilih lagu yang lebih mesra pendengar.

Komen pedas itu, sama sekali tidak dipersetujui Adibah Nor sebagai mentor selain berasakan cara kedua-dua juri itu memberi kritikan agak melulu.

"Saya pernah mengalami situasi ini ketika mahu buat album dulu apabila produser bertanya apa 'direction' muzik. Saya kata kepada mereka boleh tak kita gabungkan semua konsep dalam satu album.

"Saya hormati Edry dan Fauzi Marzuki sebagai juri. Bagaimanapun saya agak kecewa dengan komen yang diberikan kepada Thye bukan kerana dia protege saya. Sudahlah industri seni kita ini tidak layak dipanggil industri dan ketika ada peserta yang ingin berkreativiti kita sekat pula percubaan mereka.



"Pada saya kita harus mencuba terlebih dulu kemudian barulah tahu konsep dan genre muzik yang paling sesuai dengan kita. Saya percaya semua mentor yang terbabit baik Awie, Mas Idayu, Lah, Ajai dan Jaclyn berusaha membantu protege masing-masing melakukan satu persembahan yang mempunyai kelainan.



"Menerusi program seperti Mentor inilah mereka perlu menguji diri dengan membawakan pelbagai jenis lagu kemudian apabila sudah bersedia merakamkan album nanti barulah mereka tentukan konsep yang diinginkan dan bersesuaian dengan vokal kecenderungan muzik mereka," katanya.

Awie yang sependapat dengan Adibah berkata, walaupun sebelum ini dia pernah memaklumkan mahu melahirkan 'Ella nombor 2', tetapi dalam persembahan dia mahu membentuk protegenya, Keena sebagai penyanyi serba-boleh.

"Juri seharusnya lebih berlapik ketika memberikan komen kerana kritikan mereka itu boleh memberi input dan mendidik bukan saja kepada protege, tetapi juga penonton yang tidak arif mengenai soal muzik.

"Walaupun impian saya untuk menjadikan Keena seperti diva rock Ella, tetapi dia juga perlu menguasai pelbagai jenis muzik kerana tidak semua undangan majlis, penonton mahukan lagu rock. Ada yang mahukan lagu tradisional, balada, lagu Cina, Inggeris dan bermacam lagi.

"Justeru, kami sebagai mentor harus membantu mereka mempelbagaikan nyanyian supaya ilmu yang dicurahkan dapat digunakan di luar sesudah tamat program ini," katanya.

Sementara itu, Fauzi Marzuki ketika mengulas mengenai hal ini menafikan dakwaan kononnya dia tidak menyukai lagu yang dipilih Thye.

"Saya tidak cakap saya tidak suka, tetapi lagu itu tidak bersesuaian dengan vokalnya. Sepatutnya pada peringkat ini Thye kena bijak memilih lagu supaya dapat menarik perhatian penonton dan juri. Selepas beberapa persembahan barulah sedikit demi sedikit perubahan dilakukan," katanya.

Keena membuka tirai persembahan dengan menyampaikan lagu Bintang Kehidupan dengan gabungan muzik rock dan shuffle sebelum diteruskan oleh Thye yang berduet dengan mentornya Adibah Noor dengan lagu mereka, Lagu Gembira.

Black pula muncul seterusnya dengan lagu Manira manakala Keena dan Awie memilih Seiring dan Sejalan yang dipopularkan mendiang Broery Marantika dan biduanita, Sharifah Aini.

Sementara itu, Thye muncul dengan lagu Melodrama diikuti Black yang menyampaikan lagu 'Selangit' bersama mentornya, Mas Idayu.

Hasil daripada persembahan yang menghiburkan daripada Black membenarkannya mendahului peserta lain dengan markah 72.1 hasil undian juri awam dan profesional. Manakala Keena, memperoleh 48.9 diikuti Thye dengan 45 markah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: