Friday, May 1, 2009

Minum petang bersama ibu


SAMBUT Hari Ibu dengan menikmati sajian bufet minum petang di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor pada 10 Mei ini.



CHEF AZNAN HAMZAH (berdiri dari kanan) bersama anak buahnya akan menyediakan sajian enak sempena Hari Ibu nanti.



NIKMATI kek istimewa bersama ibu tersayang.



ROTI PITA SHAWARMA


HARI Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun adalah hari yang begitu bermakna bagi setiap insan yang bergelar ibu. Pada hari itu, lazimnya mereka diraikan oleh keluarga dan anak-anak tersayang. Pada hari tersebut, anak-anak akan melakukan pelbagai cara untuk meraikan ibu sekali gus membalas jasa dan pengorbanannya.

Sama ada membawa ibu makan di luar rumah, memberikan kad, melayangkan kucupan atau mengirimkan ucapan ringkas, kesemua itu pasti akan menggembirakan hati seorang ibu.

Sempena sambutan Hari Ibu pelbagai promosi ditawarkan oleh kelab-kelab, restoran dan premis perniagaan. Masing-masing berlumba-lumba mempromosikan majlis atau sajian khas untuk sambutan tersebut.

Menyentuh tentang sajian, kebanyakan menu Hari Ibu kini lebih bersifat global kerana mereka yang menyambutnya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum.

Kelab Darul Ehsan (KDE) tidak terkecuali meraikan Hari Ibu dengan menawarkan sajian bufet minum petang yang enak. Sambil menikmati hidangan istimewa, para ibu juga akan dihiburkan dengan persembahan artis popular, Ifa Raziah.

Menurut Chef Aznan Hamzah, 35, antara hidangan istimewa yang bakal disediakan pada sambutan Hari Ibu itu adalah nasi goreng yong chow, ayam madu, popiah, sate ayam dan daging serta roti canai dengan kari ayam.

Selain itu katanya, KDE juga menyediakan masakan segar seperti fettucine dengan sos tomato, tofu Jepun, mi kari nyonya dan soto ayam.

"Ibu-ibu dan para pengunjung juga boleh merasai aneka pilihan pembuka selera seperti sup cendawan, salad, kuih Melayu, pelbagai jenis kek, cendol, ais kacang dan sebagainya.

"Sambil menikmati hidangan istimewa, ibu-ibu juga berpeluang mendapat cenderamata berupa baucer dari pusat kecantikan, spa dan produk-produk kesihatan," katanya kepada Kosmo!.

Tidak lengkap sekiranya majlis yang dianjurkan tiada sebarang aktiviti. Justeru, pihak KDE akan mengadakan pertandingan seperti pakaian tercantik bagi kaum ibu, membuat roti canai dan suami menyolek isteri.

Sementara itu, KDE bukan sahaja menyediakan bufet minum petang bagi sambutan Hari Ibu sahaja. Malah, pada setiap hari Ahad, Restoran Duyong turut menyediakan bufet khusus untuk pengunjung yang datang bersama keluarga atau kawan-kawan.

Antara menu yang akan disediakan pada majlis bufet tersebut adalah ayam BBQ, puding mangga, bubur pulut hitam, gado-gado, rendang ayam, yong tau foo, pulut kuning, lontong dan sebagainya.

Bayaran yang dikenakan adalah RM29 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak. Ia bermula dari pukul 2 petang hingga 6 petang setiap hari Ahad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: