KONTROVERSI mengiringi kemenangan The White Ribbon (TWR) yang mengungguli Palme d'Or (filem terbaik) di Festival Filem Cannes ke-62 (FFC62) yang berlangsung di selatan Perancis, Ahad (24 Mei) lalu. |
Pemilihan filem yang menampilkan kisah fahaman politik berhaluan kiri yang berlaku di bandar kecil di Jerman pada Perang Dunia Kedua, memenangi anugerah utama dikatakan tidak adil kerana wujud unsur berat sebelah dalam penjurian.
Kebanyakan mereka yang hadir menyaksikan majlis anugerah yang turut dihadiri penggiat filem seluruh dunia itu berasa ada unsur pilih kasih dalam keputusan dibuat.
Apatah lagi Ketua Juri, Isabelle Huppert kenalan rapat kepada Pengarah The White Ribbon, Michael Haneke. Bukan itu saja, Isabella sebelum ini turut membintangi dua filem diarahkan Michael.
Bagaimanapun, kontroversi ditimbulkan tidak berpanjangan apabila ketika tampil ke pentas bagi menerima anugerah terbabit, Michael menjelaskan kemenangan itu sesuatu yang amat diimpikan sepanjang hidupnya bergelar pengarah.
"Kemenangan ini saya anggap sejarah paling manis pernah berlaku dalam hidup, apatah lagi ia diiktiraf juri dari serata dunia. Ia sekali gus menebus kekecewaan saya empat tahun lalu," katanya.
Pengarah berasal dari Austria itu turut diramal memenangi anugerah sama pada 2005 sewaktu mempertandingkan filem penuh misteri, Hidden. Bagaimanapun, dia tewas walaupun waktu itu ramai beranggapan karya dihasilkan bagus.
Penggiat filem dari Britain turut mencatat kejayaan di FFC62 apabila pengarah Fish Tank, Andrea Arnold memenangi Anugerah Juri berkongsi dengan pengarah dari Korea, Park Chan-wook menerusi Thirst.
Pembabitan kedua-dua pengarah ini dalam Festival Filem Cannes bukanlah asing kerana mereka pernah memenangi anugerah sama sebelum ini.
Filem arahan Arnold's Red Road yang mengisahkan misteri pembunuhan dirakamkan menerusi kamera CCTV memenangi Anugerah Juri pada 2006, sementara Chan-Wook memenangi anugerah Grand Prix pada 2003 menerusi filem Old Boy.
|
Kemenangan pengarah berasal dari Filipina, Brillante Mendoza dalam kategori Pengarah Terbaik turut menimbulkan perasaan tidak puas hati calon lain. Mereka mempertikaikan kemenangannya yang mempertandingkan filem mengisahkan mengenai pembunuh upahan, Kinatay.
|
Membanggakan apabila penggiat filem dari Australia, Warwick Thornton buat pertama kali memenangi anugerah utama Camera d'Or di FFC62 menerusi filem yang mengisahkan cinta tragis dialami penduduk pribumi, Samson and Delilah.
Sewaktu memberikan ucapan menerima anugerah, sambil menangis Warwick berkata kejayaan itu mahu dikongsi bersama semua penduduk pribumi Australia yang selama ini banyak memberikannya sumber inspirasi.
Pelakon Perancis, Charlotte Gainsbourg memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik atas persembahannya cukup memberangsangkan dalam filem arahan Lars Von Trier, Antichrist. Sementara pelakon kelahiran Jerman, Christoph Waltz memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.
Kemenangannya itu dianggap satu kejutan memandangkan filem yang dibintangi Christoph, Inglourious Basterds arahan Quin Tarantino dianggap bukanlah filem yang bagus.
Ramai bersetuju persembahannya menenggelamkan pelakon popular yang turut membintangi Inglourious Basterds iaitu Brad Pitt dan Mike Myers, namun jika dinilai dari sudut mutu Inglourious Basterds dianggap sebuah filem mengecewakan dari pengarah terkenal itu serta tidak layak memenangi anugerah utama.
Pemenang sebelum ini seperti Ken Loach yang turut menjadi ramalan ramai untuk memenangi anugerah utama pulang dengan tangan kosong. Begitu juga dengan pengarah popular kelahiran China, Ang Lee dan pemenang anugerah Oscar menerusi filem The Piano, Jane Campion yang mempertandingkan filem Bright Star juga gagal memenangi sebarang anugerah.
Bagaimanapun filem cinta tiga segi dari China, Spring Fever yang menimbulkan kontroversi arahan Lou Ye tidak mengecewakan apabila membawa pulang anugerah Lakon Layar Terbaik.
Sehari sebelum majlis berlangsung beberapa anugerah khas turut disampaikan. Antara penerimanya termasuk filem dari Norway Dogtooth dan Adjective.
Turut menerima anugerah khas juri filem No One Knows About Persian Cats dan Father of My Children.
Pengarah veteran Perancis, Alain Resnais yang membawa nafas baru dalam dunia perfileman dunia diberikan Anugerah Pencapaian Seumur Hidup. Membanggakan dalam usia mencecah 86 tahun dia masih mampu mengarah dan baru saja selesai menghasilkan filem, Wild Grass.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: