Wednesday, May 27, 2009

Meniti hari bahagia ...Juliana Evans


DARIPADA percakapan, riak wajah dan bahasa badan yang ditunjukkan, nyata pengacara, model dan pelakon jelita ini, Juliana Sophie Johari Evans, sedang meniti hari yang penuh bahagia.

Malah, setiap kali diajukan soalan kepada gadis berusia 20 tahun ini atau lebih mesra dengan panggilan Juliana Evans, telefon bimbitnya sentiasa berada di genggaman.

Apatah lagi, pesanan mesejnya sering berbunyi dan dibalas dengan senyuman penuh erti. Melihat keadaan si gadis comel ini, hati kuat mengatakan yang tuan empunya badan sedang hangat bercinta.

Lagipun, pernah sebelum ini terdengar Juliana dikatakan rapat dengan vokalis kumpulan Bunkface, siapa lagi kalau bukan Sam.

Ketika ditemui sewaktu fotografi RAP, terus diajukan sama ada gadis kacukan Inggeris dan Melayu ini sedang hangat bercinta dengan vokalis yang popular dengan lagu Situasi, Juliana tersenyum simpul lalu mengakuinya.

"Saya tidak teragak-agak untuk mengakui perkara itu kerana kami memang bercinta. Lagipun, saya seorang yang suka berterus-terang dan kami memang tidak mahu berahsia.

"Episod cinta yang terjalin antara kami baru saja bermula. Selepas saya putus kasih dengan seorang pemuda ahli perniagaan, dia hadir dalam kehidupan saya dan menggembirakan hati yang lara.

"Cuma, apa yang saya harapkan, cinta yang baru sahaja terbina indah ini akan terus berkekalan," katanya.

Tidak sah atau tidak lengkap tanpa menjengah kisah awal hubungan pasangan kacukan yang comel ini terjalin, lalu diminta Juliana menceritakan detik indah terbabit.

"Semuanya berlaku tanpa dirancang atau disedari. Kebetulan, saya dengan adik Sam terbabit dalam satu penggambaran drama bersiri, Kasut Tumit Tinggi.



"Dari situ kami mula berkenalan. Awalnya, hubungan kami tidak lebih dari kawan. Tetapi, lama-kelamaan, hubungan kami semakin rapat dan masing-masing mendapati ada persamaan yang menyatukan kami.

"Kami berkongsi minat sama, muzik dan dia juga seorang yang sangat memahami dan sentiasa memberi motivasi. Sejujurnya, saya memang selesa bersama dengannya," kata Juliana berterus terang.

Menyentuh mengenai perkahwinan, beritahu Juliana, perkara itu masih jauh lagi, apatah lagi mereka masih muda.

"Sekarang ini, fokus kami untuk melebarkan lagi sayap dalam pentas seni. Tambahan pula, ketika ini saya terikat dengan komitmen sebagai mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Sunway University College yang memerlukan perhatian penuh dari saya.

"Biarlah saya habis belajar dahulu, memajukan karier masing-masing kemudian barulah fikir mengenai kahwin," katanya.

Nama gadis ini makin dikenali selepas membintangi drama bersiri, Kami The Series, kemudian kian rancak melebarkan sayap menerusi Kasut Tumit Tinggi, Ghost dan terbaru Rosli Dobi untuk siaran Astro Ria.

Melihat hasil kerjayanya dalam bidang lakonan, pengacaraan dan model, nyata Juliana lebih menyerlah bergelar pengacara. Malah, Juliana sendiri tidak menafikan yang dia lebih tertarik untuk mengacarakan program sendiri.

"Sejak dari kecil lagi saya minat jadi pengacara. Malah, bakat saya dalam bidang ini diasah ketika berumur 12 tahun dan program pertama yang saya mengacarakan ialah rancangan kanak-kanak, E-Zone.

"Bermula dari situ, terus saya mendapat tawaran untuk mengacarakan program yang berkonsepkan penjanaan minda, Majalah Moral menerusi TVIQ, Bintang Kecil (TV9), Remaja (TV3) dan terbaru Aksi Gelek hasil kerjasama antara Malaysia dengan Singapura.

"Walaupun, minat lebih terjurus ke arah pengacaraan, namun itu tidak bermaksud saya akan ketepikan lakonan dan model. Saya ingin menjadi artis yang cuba dalam semua bidang. Bukan tamak, kerana setiap perkara baru yang saya ceburi, adalah satu pengajaran ilmiah buat saya," katanya.

Selepas kontroversi mengenai penggugurannya dari mengacarakan program Remaja reda, Juliana sebelum ini dikatakan mendapat tawaran untuk mengacarakan Bintang RTM 2009.

Bagaimanapun, yang menjadi pengacara program itu bukan Juliana, sebaliknya Ana Alisha Mohd Marzani.

Mengulas mengenai perkara terbabit, kata Juliana, sebenarnya ia bukanlah satu masalah besar yang perlu digembar-gemburkan.

"Saya tidak dapat memberi komitmen untuk program itu kerana sibuk dengan jadual belajar dan tugasan yang diberikan pensyarah. Lagipun, tumpuan saya terhadap pelajaran dahulu. Disebabkan itu, saya terpaksa menolak tawaran berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: