Friday, May 8, 2009

Kunjungan terima kasih


SELEPAS menjelajah ke Kampung Rawa, Lenggeng; Kampung Padang Lebar, Batu Kikir, Kuala Pilah; Kampung Pachitan Chuah, Port Dickson dan Kampung Kuala Linggi, Kuala Linggi, Masjid Tanah, Melaka bulan lalu, Kembara TV3 diteruskan pula ke lokasi kedua sempena Karnival Jomheboh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak pada 26 dan 27 April lalu.

Kali ini Teluk Intan dan Sitiawan menjadi tempat persinggahan. Kembara TV3 yang mula diperkenalkan Februari lalu, ini turut dilakukan bersempena sambutan Karnival Jomheboh.

Antara lain tujuannya untuk mendekatkan stesen yang memperoleh 'rating' paling tinggi itu dengan masyarakat luar bandar yang juga berupa penonton terbesar mereka.

Ini kerana TV3 menyedari sokongan diberikan penonton setia dan sebagai tanda terima kasih, diadakan jelajah mendekati mereka yang berada di luar bandar yang jarang berpeluang menerima kunjungan artis dan selebriti TV3.

Pelbagai acara menarik diatur TV3 dengan kerjasama Hotlink selaku penaja rasmi seperti peraduan mewarna, sukaneka, perlawanan bola sepak dan bola jaring dengan penduduk setempat. Turut diadakan persembahan daripada kumpulan popular, Sofaz.

Selain membabitkan personaliti TV3 seperti Maria Tunku Sabri, Ally Iskandar, Wahid, Aidid Marcello dan Fizza, ia turut dijayakan pelakon drama yang sedang disiarkan di stesen televisyen itu antaranya Que Haidar, Keifli, Fazreen, Almy Nadia, Raja Farah, Sherry Ibrahim dan Intan Ladyana.

Rakan artis yang sama-sama menjayakan aktiviti diadakan turut berasa seronok kerana berpeluang beramah mesra dengan peminat setia mereka.

Bagi Que Haidar yang membintangi drama bersiri Cinta Untuk Ain, peluang mengikuti rombongan Kembara TV3 membolehkan dia mendekati peminat dan mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan sehingga membolehkan dia memenangi anugerah Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 yang berlangsung baru-baru ini.

"Jika hendak mengharapkan saya sendiri untuk jelajah seluruh negara bagi mengucapkan terima kasih kepada peminat, ia di luar kemampuan. Jadi apabila berpeluang menyertai Kembara TV3 ini saya gunakannya untuk berbuat demikian," katanya.

Bagi Que sendiri inilah masanya untuk peminat terutama yang berada di kawasan luar bandar dan pekan kecil untuk mengenali artis kesayangan mereka dengan lebih dekat.



"Saya sentiasa menyokong usaha murni dilakukan TV3 ini dan untuk lokasi lain jika ada kelapangan saya tidak keberatan menyertainya," katanya.



Sementara itu, pengacara Melodi, Wahid walaupun berasa penat kerana bekerja keras sepanjang Kembara TV3 dan Karnival Jomheboh diadakan, dia tetap gembira kerana dapat menghabiskan masa seharian bersama peminat yang mahu mengenali personaliti dan artis tempatan dengan lebih dekat.

"Kalau hendak diikutkan, mereka yang duduk di pekan kecil dan kawasan luar bandar jarang berpeluang bertemu artis atau personaliti kesayangan mereka. Apa yang dilakukan TV3 ini sangat bagus dan pada saya ia seharusnya diteruskan sampai bila-bila," katanya.

Melihat gelagat personaliti dan artis terbabit membuatkan peminat terhibur terutama apabila Maria dan Wahid yang bertindak sebagai pengacara sepanjang acara berlangsung, bergurau senda dan berlawak.

Acara sukan turut dilakukan dalam suasana santai dan seboleh mungkin selebriti terbabit cuba memberikan kemenangan kepada penduduk setempat yang menyertai aktiviti diadakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin sewaktu ditemui berkata, pihaknya sangat terharu dengan sambutan diberikan penduduk setempat di setiap lokasi yang mereka lawati.

"Sebelum ini kita memang menjelajah ke kampung. Seronoknya apabila kebanyakan penduduk kampung ini berbesar hati menyambut kami. Seperti membuat kenduri-kendara dan ia sangat meriah.

"Bagaimanapun, dengan adanya Hotlink selaku penaja, lokasi penjelajahan Kembara TV3 diubah dengan kunjungan ke kawasan pekan atau bandar," katanya.

Usaha terbaru dilakukan TV3 ini jelas Amrin, selain untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan penonton terhadap stesen televisyen itu ia juga berupa hadiah buat mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: