Friday, May 8, 2009

Cinta Irwan masih utuh


SETIAP pasangan bercinta pasti menginginkan hubungan yang dibina berakhir dengan kebahagiaan. Namun, apakan daya, manusia hanya mampu merancang Tuhan menentukan. Begitulah juga yang berlaku kepada artis remaja Indonesia, Irwansyah dan Acha Septriasa.

Bagi Acha, perpisahan itu dilakukan demi masa depannya melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam jurusan komunikasi massa di Universiti LimKokWing, di Cyberjaya, tahun lalu.

Memendam rindu dan kesepian lantaran jarak yang memisahkan mereka menimbulkan masalah hingga Acha mengambil keputusan memutuskan hubungan itu. Mereka berpisah secara rasmi 4 Disember tahun lalu.

Irwansyah mengakui saat Acha meluahkan hasrat untuk berpisah, dia mula resah, bimbang dan tergugat dengan hubungan mereka. Dia mengharapkan kekasih hati tidak pergi, tetapi apakan dayanya untuk menghalang kerana itu kemahuan Acha serta orang tuanya. Apatah lagi, dia ke sana untuk menimba ilmu.

"Sebelum Acha berangkat ke Malaysia, saya sempat cipta lagu buatnya. Salah satu berjudul Lagu Untukmu yang dimuatkan dalam album Soliter.

"Lirik lagu itu menyelitkan pesanan saya kepadanya, jangan pernah selingkuh, ingat saya di Jakarta yang selalu setia menantinya. Sewaktu lagu itu diperdengarkan kepadanya, jelas dia nampak terharu. Namun, nasihat saya diabaikan dan ternyata dia mudah melupakan dan mencari pengganti lain, " katanya.

Menyedari Acha adalah wanita yang pernah dicintainya bahkan sampai sekarang perasaan sayang itu masih menebal, Irwan tidak rela hubungan mereka berakhir dengan permusuhan. Bahkan, dia terharu dan cukup senang dengan kehadiran Acha di majlis ulang tahunnya yang ke-24 pada 6 Mac lalu.

Kata Irwan, adalah sesuatu yang mustahil mengharapkan Acha kembali semula ke pangkuannya kerana dia kini sudah ada pengganti. Jejaka pilihan Acha bukan dari kalangan selebriti sebaliknya orang biasa meskipun sebelum ini Acha hangat digosipkan dengan Pasha Ungu dan dikatakan menjadi punca perceraian Pasha.

"Saya lebih selesa sendirian apatah lagi status solo ini memberi peluang kepada saya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap karier. Dulu, sewaktu berpacaran ada masa-masa tertentu saya luangkan bersama Acha," katanya.

Berhubung gosip percintaannya dengan artis remaja Cinta Laura, 16, yang menjadi pasangannya dalam sinetron Upik Abu & Laura, Irwan dengan pantas memaklumkan hubungan mereka tidak lebih dari abang dan adik.



"Laura itu kan anak kecil. Kalau dia 'bad mood' dia mahu saya ada di sampingnya untuk meluahkan perasaan marahnya. Mungkin sebab itu orang melihat kami seperti ada hubungan meskipun sebenarnya kami hanya rakan sesama artis.



"Barangkali, isu sebegini sengaja dicetuskan media untuk melariskan berita mereka," katanya.

Mengenai album solo pertamanya, Soliter yang dipasarkan hampir setahun lalu, Irwan mengakui agak lewat mempromosikannya kerana terikat dengan penggambaran sinetron, konsert jelajah, promosi album selain komitmen ketika pilihan raya Indonesia untuk Partai Indonesia Sejahtera (PIS), Mac lalu.

Katanya, album berkonsep organik pop yang diterbitkan Melly Goeslow bersama suami, Anto Heod begitu bererti kepadanya dan menganggap setiap lagu yang dimuatkan bagaikan karma lantaran setiap kisah diceritakan benar-benar berlaku.

"Ia dirakamkan sebelum saya berpisah dengan Acha. Apa yang sedang mengganggu saya, setiap lagu yang dimuatkan bagaikan terkena tepat ke muka saya. Misalnya, lagu ciptaan Dewiq, Tinggalkan Aku tanpa disangka saya benar-benar ditinggalkan," katanya.

Selepas kejayaan single pertamanya, Ku Tunggu Jandamu ciptaan Melly, kini Irwan mempertaruhkan single kedua, Camelia ciptaan Dodhy daripada Kangen Band.

Katanya, dia memilih ciptaan Kangen Band kerana mahukan sentuhan variasi dan muzik mereka kedengaran berbeza daripada kumpulan lainnya.

"Saya juga lebih selesa membuat persembahan bersama band kerana ia lebih memberi kepuasan dan konsep seperti ini akan diteruskan dalam persembahan juga pembikinan album seterusnya

"Dalam keluarga, saya ada adik, Hafiz Fathur, 21, yang meminati muzik dan mempunyai kumpulan sendiri dinamakan Lexa," katanya.

Bercerita mengenai langkahnya bertanding merebut kerusi wakil rakyat di daerah Solo, Indonesia mewakili Partai Indonesia Sejahtera (PIS) dalam Pilihanraya Indonesia Mac lalu, Irwan mengakui sanggup melaburkan jumlah wang yang besar, 50 juta rupiah hasil simpanan sendiri untuk berkempen.

"Dalam masa dua hari, saya menang 50,000 undian. Namun, entah bagaimana undian saya semakin mengecil. Enggan menuduh, tetapi seolah-olah berlaku gejala rasuah.

"Meskipun tewas, ia tidak pernah membuatkan saya serik menceburi bidang politik. Saya sasarkan lima tahun lagi untuk benar-benar mahir dalam bidang ini. Perjuangan saya untuk mengangkat dan memartabatkan imej anak muda sebagai golongan penting dan dibanggakan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: