Saturday, May 9, 2009

Kembara hujung minggu


Dari kiri, Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul, Xandria Ooi dan Pengarah Esso Malaysia Berhad, Faridah Ali pada majlis pelancaran Xandria's Weekend Discovery baru-baru ini.


MULAI Khamis lalu, ntv7 menarik perhatian audiens dengan menayangkan rancangan televisyen berbentuk pengembaraan dan gaya hidup.

Ditayangkan pada setiap hari Khamis pukul 7.30 malam, program 13 episod itu dikenali sebagai Xandria's Weekend Discovery (XWD).

Rancangan tersebut dikendalikan oleh seorang personaliti televisyen, penulis serta penyampai radio, Xandria Ooi.

Menurut Xandria, program ini mendalami aktiviti tempatan dan meneroka lokasi makanan terbaik hampir di setiap bandar.

"XWD dicipta khas untuk penggemar makanan yang gemarkan percutian penuh mencabar di hujung minggu,'' katanya pada majlis pelancaran program berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penggambaran yang bermula pada 9 Mac lalu dijangka mengambil masa dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

Bagi Xandria, idea ini tercetus kerana hatinya tertarik dengan kepelbagaian budaya penduduk Malaysia terutamanya melibatkan makanan.

Xandria memutuskan untuk menjelajah di lapan buah negeri sekitar Semenanjung Malaysia seperti Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor bagi memperkenalkan tempat-tempat makanan yang menarik.

"Cukup berbeza dengan program kembara dan makanan yang sedia ada, saya memilih untuk berkongsi rahsia di sebalik hidangan itu yang belum pernah dicungkil oleh sesiapa sebelum ini.

"Program ini juga boleh dijadikan panduan kepada orang ramai untuk bersiar-siar mengisi masa hujung minggu bersama keluarga tanpa perlu berbelanja lebih.

"Saya berharap melalui XWD yang menjadikan himpunan makanan pelbagai kaum sebagai elemen utama mampu tampil dengan lebih segar dan unik serta menarik minat orang ramai untuk mencubanya,'' tambahnya lagi.

Di Petaling Street, Kuala Lumpur misalnya, Xandria menampilkan pengusaha kacang soya, Pak Cik Ng yang berkongsi pengalaman membuat susu soya dan tai foo faa sejak 31 tahun lalu.

Malah, Xandria juga ke kilang pemprosesan bagi mencungkil rahsia di sebalik ramuan kacang soya yang cukup terkenal di negara ini.

Bagi Xandria pengalaman sebagai wartawan dalam bidang penulisan banyak dijadikan panduan sepanjang mengendalikan program XWD.

"Sebelum ini, sebagai wartawan, saya banyak bercerita mengenai pengalaman dalam bentuk penulisan supaya pembaca dapat memahami satu-satu situasi dengan jelas.

"Begitu juga dalam XWD. Apa yang saya perhatikan dan pengalaman semasa mengembara, saya sampaikan melalui penceritaan dalam program ini.

"Saya berharap penonton seolah-olah dapat merasai sendiri pengalaman yang saya paparkan apabila menonton XWD ini,'' katanya.

Sementara itu, XWD yang mendapat kerjasama daripada Esso Mobil, rancangan ini juga turut menyorot kemudahan utama kad Smiles Driver Rewards.

Oleh itu kepada pencinta makanan serta mereka yang tercari-cari idea percutian yang singkat, mudah di samping bajet yang berpatutan, jangan lupa menonton XWD sebagai salah satu panduan percutian terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: