Thursday, May 14, 2009

Kembara Bob Blumer

BERBICARA dengan anak kelahiran Quebec, Kanada ini memang cukup menyeronokkan. Jika dari raut wajahnya, pasti akan ada yang mengandaikan dia seorang yang sombong dan agak sukar untuk didekati.

Hakikatnya, dia bukannya begitu. Sebaik sahaja dia membuka mulutnya, ada sahaja kisah yang tidak lokek untuk dikongsi bersama.

Dialah Bob Blumer. Figura yang cukup dikenali sebagai hos masakan dalam program kendaliannya, Surreal Gourmet yang hampir sedekad ditayangkan di seluruh dunia.

Keletah dan kecekapannya dalam penyediaan apa jua jenis masakan dan makanan sememangnya cukup mengagumkan.

Semuanya itu dilakukannya dalam sebuah van berwarna perak yang menyerupai sebuah pembakar roti yang menjadi teman setianya sejak rancangan itu ke udara.

Bob juga tidak pernah kekeringan idea kerana dia pasti akan tampil dengan idea-idea baru yang kadang-kala tidak terjangkau oleh akal.

"Minat saya terhadap masakan dan makanan sememangnya tidak pernah padam. Saya akan terus memperjuangkan apa yang telah saya lakukan ini sehingga ke nafas saya yang terakhir.

"Saya percaya setiap manusia ada keinginan dan kegemarannya dalam sesuatu perkara. Begitu juga dengan saya kerana menerusi masakan, ia bagaikan satu terapi untuk saya," katanya dalam satu temu bual bersama media tempatan di ibu negara, baru-baru ini.

Kunjungannya kali ini merupakan yang kedua selepas tahun 2003 dan bertujuan untuk mempromosikan rancangan Best of Bob Blumer yang kini sedang ditayangkan di saluran Discovery Travel & Living (saluran 707, Astro).

Mungkin ramai yang tidak tahu. Kerjayanya sebagai seorang tukang masak adalah tidak dirancang.

Sebaliknya, Bob memulakan kariernya sebagai pengurus penyanyi kelahiran Kanada, Jane Siberry sebelum memutuskan untuk berhenti dan menjadi seperti hari ini.

Kembaranya ke seluruh dunia telah banyak membuka matanya terhadap budaya dan masakan antarabangsa yang ternyata membuatkan dirinya begitu kagum dan teruja.

"Kadang-kala kita sendiri tidak tahu apa yang berlaku di luar sana dan keistimewaan yang dimiliki oleh negara lain.

"Disebabkan itu, saya menyifatkan diri saya sebagai seorang yang bertuah kerana dapat melihat keunikan masakan negara lain serta mempelajari sesuatu yang baru demi pembangunan karier saya," jelasnya yang kini menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Mengakui tidak pernah lelah dan penat menjadi seorang tukang masak, Bob memberitahu setiap hari dia mencabar dirinya untuk memperbaharui skil demi mempelbagaikan lagi resipi masakannya.

Selain Surreal Gourmet, Bob juga mengendalikan sebuah lagi rancangan yang sememangnya lain daripada apa yang dilakukannya sebelum ini.

Glutton For Punishment menyaksikan bagaimana Bob mencabar dirinya dengan melakukan pelbagai tugasan yang cukup mencabar sambil diperhatikan oleh chef profesional di setiap restoran yang dikunjunginya.

Apatah lagi setiap tugasan itu sememangnya berbeza di setiap lokasi yang dikunjunginya baik daripada penyediaan makanan fusion, kontemporari sehinggalah ke makanan segera.

"Bukan mudah sebenarnya untuk melakukan apa yang dilakukan oleh mereka yang cukup profesional. Baru kini saya tahu bagaimana mereka berdepan dengan situasi ini dalam memuaskan hati pelanggan mereka," ujarnya yang menganggap penglibatannya dalam rancangan itu telah membuka lembaran baru dalam hidup dan juga kariernya.

Bob yang turut mempunyai koleksi buku masakannya sendiri juga berjaya mencipta rekod dunia antaranya memasak dan menterbalikkan 559 keping lempeng dalam tempoh satu jam, tahun lalu di Kanada.

Kini dia mempunyai perancangan untuk menyediakan salad ceasar terbesar di dunia dalam masa yang terdekat ini.

Dalam pada itu, Bob turut menyatakan kekagumannya terhadap chef selebriti tempatan, Chef Wan yang disifatkannya sebagai seorang yang kreatif dan bijak.

"Tetapi kalau mahu menggandingkan kami berdua dalam satu rancangan masakan, saya pasti tewas kerana kepetahannya berbicara akan menenggelamkan saya," katanya berseloroh saat diminta pendapatnya tentang Chef Wan.

Sempat menitipkan pesanan kepada mereka yang mahu menjadikan tukang masak sebagai mata pencarian, seseorang itu haruslah berani meluahkan pendapat dan mencuba sesuatu sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan minat masing-masing.

"Jangan nanti separuh jalan baru sedar bahawa apa yang dilakukan itu bukan jiwa mereka dan ketika itu, tiada apa lagi yang mampu dikesalkan," jelasnya penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: