NAMA pelakon jelita ini sememangnya tidak asing lagi di Hollywood kerana dia memiliki segala-galanya untuk bergelar seorang aktres.
Cantik dan berbakat ternyata merupakan tiket emas bagi Debra Lynn Messing atau lebih dikenali sebagai sebagai Debra Messing untuk mencipta nama sebagai seorang aktres yang cukup disegani.
Namun langkah Debra di persada seni Hollywood bukanlah semudah yang disangka. Untuk mencapai tahap seperti mana yang dimilikinya hari ini memerlukan kesungguhan dan kerja keras.
Cukup meminati dunia seni sedari kecil, Debra tidak pernah menoleh ke belakang untuk mencapai cita-citanya sebagai seorang pelakon biarpun dia pernah dihambat dengan kata-kata kurang enak oleh mereka yang tidak mempercayai bakatnya.
Biarpun sejak zaman persekolahan sudah melibatkan diri dalam pementasan teater seperti Annie dan Fiddler On The Roof yang mendapat perhatian dan pujian, namun itu bukan alasan untuk Debra berasa senang.
Istilah puas hati tidak pernah tercatat dalam kamus hidupnya dan rentetan daripada kejayaan itu, dia cuba untuk membangunkan dirinya dengan menyertai kelas lakonan, nyanyian serta tarian.
Apatah lagi berkat doa dan sokongan daripada kedua ibu bapanya, Brian dan Sandra yang mempercayai bakatnya membuatkan Debra memutuskan untuk meneruskan impian dan cita-cita menjadi pelakon.
Tahun 1993 menyaksikan Debra buat pertama kalinya berlakon di pentas Broadway menerusi naskhah Angels In America: Perestroika karya Tony Kushner.
Memberikan lakonan yang cukup mantap, tanpa disedari Debra rupanya ada pihak yang sudah mengintai dan mengagumi bakat lakonannya. Bersandar dari kejayaan itu, Debra diberi peluang membintangi beberapa episod dalam siri televisyen terkenal, NYPD Blue pada tahun 1994 dan 1995.
Debra terus diberi kepercayaan dan keyakinan menerusi setiap watak yang diberikan kepadanya membuatkan penerbit filem A Walk In The Clouds tidak teragak-agak memberikan watak Betty Sutton dalam filem pertamanya itu. Turut berlakon dalam filem itu aktor kacak, Keanu Reeves.
Walaupun hanya watak pembantu, lakonan Debra tidak mengecewakan. Bermula dari itu, stesen televisyen Fox mahukannya untuk membintangi sebuah siri komedi baru berjudul Ned & Stacey.
Siri komedi yang hanya mampu bertahan selama dua tahun sejak ditayangkan pada tahun 1995 itu, menyaksikan Debra bergandingan dengan bekas calon Oscar, Thomas Haden Church sebagai pasangan suami isteri.
Mendapat kritikan yang pelbagai langsung tidak mematikan minat Debra untuk terus menyambung legasi seninya sebagai seorang pelakon serba-boleh.
Malah Debra sempat membintangi dua episod dalam siri komedi popular, Seinfeld yang terus melonjakkan namanya.
Tidak mahu dicop sebagai aktres yang stereotaip, anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat ini sanggup menolak tawaran untuk membintangi sebuah lagi siri komedi semata-mata mahu memfokuskan kepada teater Collected Stories yang memerlukannya memegang dua watak berlainan.
Saat dia membintangi sebuah siri sains fiksyen, Prey pada tahun 1998, ketika itulah agennya memberikan skrip episod pengenalan Will & Grace yang bagaikan ada tarikan magnet untuk dirinya menghadiri sesi uji bakat.
Siapa sangka rezeki berpihak kepadanya untuk memegang watak utama sebagai Grace Adler. Dengan pemilihannya itu, Debra menewaskan pelakon seksi, Nicollette Sheridan yang juga merupakan calon pilihan untuk membawakan watak itu.
Bermula detik itu nama Debra terus berada di kemuncak dan impak yang terhasil daripada Will & Grace sememangnya cukup besar serta membawa tuah kepadanya.
Lapan kali tercalon dalam anugerah Golden Globe dan anugerah Emmy yang menjadi miliknya - semuanya daripada penglibatannya dalam siri komedi, Will & Grace. Siri itu sudah pun melabuhkan tirainya pada tahun 2006 setelah bersiaran selama sembilan tahun.
Kecemerlangan Debra dalam bidang lakonan telah melayakkan dirinya tersenarai sebagai 50 Most Beautiful People in the World oleh majalah People pada tahun 2002.
Dalam masa yang sama, wanita berusia 40 tahun ini juga berlakon dalam beberapa buah filem antaranya Along Came Polly, The Wedding Date, Hollywood Ending, The Women dan Nothing Like The Holidays.
Tidak mahu menunggu peluang yang entah bila akan tiba, Debra bijak mencari ruang untuk terus melebarkan sayapnya.
Itulah bermulanya dunia baru Debra apabila dia tertarik dan kagum dengan skrip The Starter Wife yang diadaptasi dari novel karya Gigi Levangie Grazer.
The Starter Wife boleh dianggap sebagai sebuah kisah benar yang berlaku dalam dunia seni Hollywood yang hakikatnya bukanlah begitu indah seperti namanya.
Di sebalik kemilau dan limpahan glamor serta diselimuti kemewahan, siapa sangka perkahwinan yang dibina oleh golongan selebriti, aristokrat dan sosialit sebenarnya bukanlah seindah yang digambarkan.
Walaupun bukan semuanya begitu tetapi, itulah realiti yang perlu dihadapi oleh mereka yang bergelar isteri kepada orang-orang penting di Hollywood.
Disebabkan itu Debra mahu menyelami perasaan dan watak Molly Kagan yang berdepan dengan situasi sama seperti mana yang digambarkan dalam novel itu.
Kehidupan Debra bukanlah seperti mana yang digambarkan dalam novel dan siri mini itu. Realitinya, dia hidup dalam serba sederhana bersama suami tercinta, Daniel Zelman dan anak lelaki mereka, Roman Walker Zelman yang dilahirkan pada 7 April 2004.
Ditayangkan pada tahun 2007, The Starter Wife dihasilkan sebagai sebuah siri mini yang mengandungi enam episod dan ia telah menerima sambutan serta kritikan yang cukup positif.
Malah, Debra sendiri dicalonkan untuk anugerah Emmy di atas kehebatan lakonannya dalam siri mini itu selain sembilan pencalonan lain.
Bermula daripada itu pihak penerbit mahukan kisah itu dikembangkan dan lahirlah idea untuk menjadikan The Starter Wife sebagai siri televisyen.
Ia direalisasikan apabila episod khas selama dua jam ditayangkan di Amerika Syarikat pada 10 Oktober tahun lalu.
Kini peminat The Starter Wife di Malaysia berpeluang menonton siri ini dengan kisah dan plot yang lebih menarik secara eksklusif menerusi saluran Hallmark (saluran 702, Astro) yang bermula pada 7 Mei lalu pada pukul 10 malam.
Selain Debra, siri ini turut dibintangi oleh Judy Davis, Hart Bochner, Chris Diamantopoulos, David Alan Basche dan Danielle Nicolet.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: