BABAK-babak menarik kejohanan berbasikal tertua negara, Jelajah Malaysia 2009 yang memulakan saingan peringkat pertamanya dari Kuala Selangor ke Ipoh, Perak pada 19 April lalu, bakal menemui peminat setia sukan tersebut bermula 11 Mei ini di TV1.
Ini merupakan kerjasama kedua gergasi penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan pihak penganjur, Ten Speed Events Sdn. Bhd., setelah bekerjasama dalam kejohanan serupa tahun lalu.
Jelajah Malaysia 2009 merentasi jarak sejauh 1,240 kilometer (km) dalam perlumbaan kali ini.
Selain saingan pertama dari Kuala Selangor, Selangor ke Ipoh, Perak saingan kedua bermula dari Ipoh ke Sungai Petani, Kedah (20 April).
Seterusnya, perlumbaan saingan ketiga diteruskan dari Gerik, Perak ke Tanah Merah, Kelantan pada 21 April, saingan keempat dari Pasir Mas, Kelantan ke Kuala Terengganu, Terengganu (22 April), manakala saingan kelima pula bakal dimulakan dari Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang pada 23 April ini.
Sementara itu, saingan peringkat keenam bakal dimulakan dari Kuantan ke Bera, Pahang pada 24 April, saingan ketujuh bermula dari Tanjung Malim, Perak ke Genting Highlands, Pahang (25 April) dan bakal tamat pada saingan kelapan pada 26 April iaitu perlumbaan kriterium di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Pengarah Penerbitan TV RTM, Rokiah Norma Ramli pada sidang media kejohanan itu baru-baru ini berkata, kerjasama kali kedua dengan Ten Speed Events Sdn. Bhd., turut memberi peluang kepada stesen itu memperkenalkan Jersi RTM seperti yang diperkenalkan tahun lalu.
"RTM sangat berbangga dengan jemputan kerjasama ini. Dalam usaha mempromosikan rangkaian-rangkaian RTM ke arah digital, tawaran yang diterima untuk membuat liputan perlumbaan Jelajah Malaysia dirasakan sebagai satu peluang yang cukup baik.
"Tawaran tersebut bukan sahaja dari segi liputan untuk rakaman acara keseluruhan selama 10 hari yang 100 peratus diberikan kepada RTM malah, seperti tahun lepas kita bekerjasama dalam melahirkan Jersi RTM yang digunakan oleh barisan pelumba negara dalam kejohanan tersebut," katanya.
Rakaman kejohanan tersebut bakal menemui para peminat setia sukan tersebut pada setiap Isnin dan Selasa bermula 11 hingga 26 Mei ini pukul 7 malam di TV1.
Sementara itu, Penerbit Rancangan Unit Sukan TV RTM, Kamal Roslim berkata, bermula tayangan 18 Mei, sorotan penting kejohanan itu dari saingan peringkat pertama bakal disiarkan.
Manakala siaran pada 25 dan 26 Mei, paparan lebih fokus kepada pelumba-pelumba terbaik kebangsaan yang menyerlah dalam kejohanan tersebut.
Pengarah Eksekutif Jelajah Malaysia 2009, Datuk Astaman Abdul Aziz, pada majlis yang sama pula memberitahu, penyertaan pasukan pada perlumbaan kali ini adalah sebanyak 21 pasukan.
Berbeza pada pengumuman yang dibuat pada pertengahan Mac lalu, pada awalnya hanya 20 pasukan yang layak bertanding.
Pasukan tersebut ialah pasukan Bridgestone Anchor yang dibarisi pelumba-pelumba yang tidak asing lagi iaitu Makoto Lijima, Masamichi Yamanoto, Masaru Fukuhara, Sho Aikawa, Shinpei Fukuda dan Yoshiaki Shimada.
Lima pasukan negara yang menggalas cabaran pada perlumbaan tersebut ialah pasukan benua MNCF Continental Team dan Letua Cycling Team, Kelab Terengganu Toshiba-Bike Labz dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Ini merupakan penganjuran kejohanan kali ketiga oleh Ten Speed Events Sdn. Bhd., dan daripada prestasi yang kita lihat dari segi pencapaian dan mutu yang ditunjukkan, ada lonjakan untuk membolehkan kejohanan ini dinaik taraf daripada 2.2 kepada 2.1.
"Setakat ini, apa yang kita hasratkan ialah menjadikan perlumbaan ini sebagai kejohanan 2.2 yang terbaik," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: