Monday, May 4, 2009

Diana berdebar menanti 16 Mei

SALING mengenali hati budi masing-masing sejak lapan tahun lalu, persoalan mengenai kesudahan hubungan cinta antara dua insan seni ini akhirnya terjawab apabila masing-masing mengambil keputusan untuk bernikah pada 16 Mei ini.

Bertahun melalui apa jua cabaran mendatang, keputusan itu sekaligus menutup segala spekulasi serta andaian pelbagai pihak mengenai status masa depan percintaan mereka.

Menghitung hari menanti detik penuh bahagia, ia pastinya saat yang harus disyukuri kerana sekitar tiga tahun lalu, hasrat kedua-duanya untuk melangsungkan pernikahan menemui titik kegagalan atas alasan-alasan tertentu.

Malah, pada tahun yang sama juga, kehidupan mereka 'dihinggap' ujian paling getir apabila Adiana Abd. Rafar atau Diana Rafar dihujani pelbagai tohmahan liar yang mengaitkan hubungannya dengan penyanyi lelaki paling popular, Mawi.

Sungguhpun begitu, Diana, 27, dan pasangannya, Zamarul Hisham, 38, mengambil sikap berdiam diri untuk menjernihkan kekeruhan yang berlaku.

Begitulah asam garam kehidupan dan laluan percintaan yang ditempuhi Diana serta Zamarul yang kini bagaikan enggan untuk menoleh ke belakang lagi.

Soal masa depan bagi mereka akan diberikan fokus sepenuhnya sebaik sah bergelar suami isteri nanti.

"Alhamdulillah. Sampai juga jodoh kami. Syukur kerana dalam tempoh lapan tahun itu, Zamarul adalah satu-satunya kawan saya.

"Dia (Zamarul) tidak pernah beralih hati. Saya memang tidak menyangka Zamarul adalah jodoh saya."

Itu penjelasan Diana ketika ditemui pada sesi fotografi di studio Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sesi fotografi tersebut sepatutnya diadakan bersama Zamarul namun pelakon yang pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin 2008 (ASK2008) itu tidak dapat menghadirinya kerana terlibat dengan penggambaran sebuah drama di Melaka.

Menurut Diana, segala persiapan menuju tarikh 16 Mei ini berjalan lancar dengan majlis pernikahan akan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada pukul 10 pagi.

Jelasnya, di sebelah malamnya pula, majlis persandingan dijadual berlangsung pada pukul 8 malam yang berkonsepkan taman di Seksyen 9, Shah Alam.

"Soal persiapan, saya tidak fikirkan sangat kerana semuanya diserahkan kepada pihak-pihak tertentu. Contohnya, busana pengantin oleh Syahril Nordin, khidmat katering (Kuzie Katering), hiasan bilik pengantin (Pesona Anggun) dan dekorasi (NSC Idea).

"Konsep persandingan dalam taman adalah impian saya. Semuanya dilakukan secara sederhana," ujarnya.

Kata Diana, untuk majlis resepsi di pihak pengantin lelaki, ia akan diadakan pada 23 Mei di rumah keluarga Zamarul di Bangi.

"Konsep di sana lebih kepada tradisional masyarakat Johor,'' katanya.

Soal wang hantaran pula, Diana menjelaskan bahawa ia telah ditetapkan sebanyak RM16,500.

Ditanya mengenai lamaran perkahwinan yang diterimanya daripada Zamarul, Diana berkata, ia berlaku tatkala dirinya dan Zamarul memasuki program motivasi pada 2 Februari lalu.

Jelasnya, ketika membincangkan soal hala tuju masa depan, ia sedikit sebanyak membuka hati Zamarul untuk memikirkan akan perlunya berumah tangga.

"Selepas program motivasi, Zamarul terus melamar dan menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan saya.

"Zamarul sendiri memberitahu ibu saya tentang perkara itu. Seminggu lamanya saya seperti tidak percaya dengan kata-kata Zamarul.

"Keluarga pun bersyukur kerana akhirnya kami mengambil keputusan untuk berkahwin,'' katanya.

Diana berkata, orang pertama yang terlintas difikirannya sebaik dilamar Zamarul adalah arwah bapanya.

"Arwah bapa sudah mengenali Zamarul. Pastinya saya terasa sangat kerana arwah tidak sempat melihat kami bernikah nanti,'' jelasnya penuh sebak.

Kepada soalan tentang makna di sebalik nombor 1, 6 dan 5 iaitu tarikh perkahwinan dan wang hantaran, Diana memberitahu semuanya adalah idea Zamarul.

"Nombor satu kata Zamarul bermaksud ihsan, enam (rukun iman) dan lima (rukun Islam). Kebetulan, tarikh 16/5 jatuh pada hari Sabtu. Ini adalah rezeki kami,'' ujarnya.

Apa istimewanya Zamarul di hati Diana?

Sementara itu, diajak berbicara mengenai keistimewaan Zamarul, Diana sambil tersenyum berkata, dia adalah seorang lelaki yang bersikap sederhana.

Selain bersederhana, Zamarul juga, katanya, tidak suka menunjuk-nunjuk dan pembersih di samping menghormati keluarganya.

"Apa yang paling penting, Zamarul dapat menerima ibu saya. Kalau pergi jalan-jalan pun dia tidak kisah jika saya membawa ibu sekali.

"Ibu memang mengawal pergerakan saya kerana dia amat risaukan akan keselamatan saya.

"Seperkara lagi, Zamarul adalah seorang yang pembersih. Dia agak cerewet soal kebersihan,'' jelasnya.

Saat diaju persoalan akan lokasi berbulan madu, Diana pantas menjawab antara dia dan Zamarul akan mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah sebaik majlis di kedua-dua belah pihak selesai.

Perkembangan karier

Dalam pada itu, Diana tidak lepas daripada ditanyakan tentang perkembangan kariernya baik di bidang perniagaan serta lakonan.

Menjawab akan perkara tersebut, Diana memberitahu, dirinya kini sedang dalam proses untuk membuka sebuah spa yang khusus untuk kanak-kanak di Seksyen 13, Shah Alam, berdekatan dengan D'Lugano Spa yang diusahakannya.

Katanya, spa kanak-kanak itu akan dijalankan bersama rakan kongsi iaitu 3 Brader, yang turut mempunyai sebuah pusat jualan kereta di Seksyen 14, Shah Alam.

"Dalam lakonan pula, saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Adam Cinta Siapa arahan Mamat Khalid.

"Selain Malaysia, drama lapan episod itu akan ditayangkan di Indonesia dan Singapura.

"Menerusi D'Lugano Spa, saya kini sedang dalam proses menghasilkan produk kecantikan sendiri iaitu Ginger Hot Cream Lugano termasuk aromaterapi,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: