|
SEBAGAI kesinambungan kejayaan edisi pertama pada tahun lalu, Jelajah Era kembali pada 2009 untuk bertemu pendengar setia di seluruh Semenanjung Malaysia. Jika Jelajah Era 2008 merantau ke 10 lokasi sempena satu dekad stesen radio Era FM bersiaran, kali ini 11 lokasi ditetapkan sebagai persinggahan, sesuai dengan 11 tahun usianya. |
Stesen radio yang mula beroperasi sejak 1 Ogos 1998 sentiasa menjadi pilihan semua generasi. Begitupun, persaingan yang semakin sengit terhadap radio stesen menyebabkan masing-masing berlumba untuk memberikan yang terbaik.
Pengurus saluran Era, Nazri Noran, berkata jelajah itu sebahagian daripada usaha pihaknya menghargai sokongan pendengar di samping aktiviti mempromosikan stesen radio.
Menurutnya, program yang dinamakan Jelajah 11 Era bersama Perodua bakal membawa penyampai Era dan beberapa artis popular untuk mengadakan persembahan di lokasi pilihan di seluruh negara. Siri berkenaan akan bermula di Dataran Tasik Kluang di Kluang, Johor pada Sabtu ini (9 Mei).
"Berbeza daripada jelajah sebelum ini, program tahun ini memberi peluang kepada pendengar membuat pilihan sendiri mengenai artis mana yang mereka mahu menjayakan persembahan di setiap siri jelajah di tempat mereka. Pendengar hanya perlu membuat permintaan atau undian itu dengan melayari laman web radio Era (www.era.fm).
"Undian bagi satu-satu lokasi boleh dibuat sebelum berlangsungnya konsert di lokasi berikut. Daripada undian, seramai 11 artis band yang terpilih akan ditentukan sempena signifikan kepada angka 11 untuk menghiburkan penonton nanti.
"Di samping menikmati persembahan artis terkemuka tanah air, pendengar juga berpeluang membawa pulang hadiah lumayan iaitu Produa Viva edisi khas yang menjadi rebutan melalui undian akan diadakan pada setiap jelajah.
"Lebih banyak pendengar yang menyertai undian dan mengunjungi lokasi jelajah, lebih besar peluang mereka untuk memenangi hadiah ditawarkan," katanya.
Tambahnya, untuk siri jelajah di Kluang, pendengar dijangka dihiburkan dengan penampilan istimewa pemenang program One In A Million lalu, Tomok di samping pelbagai aktiviti menarik yang disediakan penganjur selain pembabitan selebriti radio Era.
Berikutan sambutan yang menggalakkan daripada pendengar setia radio yang bernaung di bawah AMP Radio Networks itu, pihaknya dijangka menjadikan acara berkenaan sebagai aktiviti tahunan. Malah tidak dinafikan, penganjuran konsert, siri jelajah atau anugerah cukup sinonim dengan stesen radio itu.
Bagi Nazri, selain mempromosi dan lebih dekat dengan pendengar, program itu juga sebagai usaha untuk membantu meningkatkan nama artis tempatan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta penjualan album yang agak merudum sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Menariknya, seorang pemanggil bertuah akan dipilih setiap hari dari Isnin hingga Jumaat untuk duduk di ruang eksklusif (VVIP) yang paling hampir dengan pentas sewaktu konsert berlangsung. Peluang ini terbuka kepada semua pendengar Era yang hanya perlu menelefon studio Era apabila isyarat diberi oleh penyampai radio antara jam 10 pagi hingga 1 petang.
"Pendengar bertuah akan mendapat dua pas untuk menyaksikan konsert Jelajah dari ruang khas itu. Selain menerusi panggilan ke studio, peluang memperoleh pas ini terbuka melalui aktiviti harian Skuad Era Myvi dan sewaktu sesi pandu uji Perodua pada hari acara," katanya.
Selain Johor Bahru, antara lokasi yang membabitkan jelajah berkenaan ialah Shah Alam pada 23 Mei; Pekan, Pahang (30 Mei); Taiping, Perak (13 Jun); Johor Bahru (27 Jun); Sungai Petani, Kedah (4 Julai); Kuala Terengganu, Terengganu (11 Julai); Teluk Intan, Perak (18 Julai); Pulau Pinang (25 Julai) serta Melaka (8 Ogos).
Siri jelajah yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik itu dijangka berakhir di sekitar Lembah Klang pada 15 Ogos di mana lokasinya akan diumumkan pada tarikh ditetapkan kelak. Antara artis yang dijangka terbabit dalam siri ini seperti Mila, Pop Shuvit, Acha Septriasa, Adam AF2, Mawi, Flop Poppy, Amy Mastura, Bunkface, 6ixth Sense dan Stacy.
Tidak ketinggalan kumpulan rock, Jinbara, The Fabulous Cats, Aizat, Maximus, Hujan, Estranged, Alyah, Kamikaze, Ella, Misha Omar, Altimet, Ning Baizura, Liyana Jasmay, Farah Asyikin dan Jaclyn Victor.
Persembahan konsert dijadualkan bermula jam 8.30 malam dan berlangsung selama tiga jam. Walau bagaimanapun, penonton dialu-alukan untuk datang seawal jam 12 tengah hari untuk mengunjungi karnival yang dibawakan khas oleh Perodua selaku penaja jelajah berkenaan. Maklumat dan perkembangan lanjut mengenai jelajah berkenaan, layari laman web www.era.fm.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: