Saturday, May 9, 2009

Zon Abie: Bagai Sumpah si sumpah-sumpah


ASSALAMUALAIKUM! Sudah lama isu ini saya cuba bangkitkan di sini, mencari kesesuaian dan kekuatan dengan harapan ia tidak disalah tafsir. Telah lama terkumpul di kepala, pun begitu seperti kata rakan-rakan serta hati sendiri memujuk, kita tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

Mungkin apa yang cuba saya tuliskan ini, tidak memberi makna kepada mereka yang tidak mahu ambil pusing. Namun tidak bagi saya, apabila melihat kepentingannya amat besar dalam kehidupan kita selagi bergelar makhluk ciptaan Tuhan.

Kita sebagai hamba-Nya digalak sangat menyebut nama Allah dalam apa juga keadaan. Selain berzikir, dalam percakapan seharian pun, alangkah indah nama-Nya berserta dengan kita. Insya-Allah dan Alhamdulillah, perkataan yang paling mudah untuk kita ucapkan dan paling senang untuk kita mendapat pahala-Nya.

Bukan niat saya untuk berkhutbah, malah saya bukan orang selayaknya untuk itu. Cuma dalam tulisan hari ini, sebolehnya saya cuba kaitkan dengan pengalaman saya berdepan dengan rakan selebriti dan orang popular. Betulkan saya kalau ada yang tersilap.

Pernah kita dengar kisah artis yang tidak mengaku kahwin sehingga sanggup bersumpah dan menjunjung kitab suci al-Quran. Tidak salah kalau artis berkenaan mahu berbuat begitu demi sebuah penafian. Mungkin mereka ada sebab tertentu mengapa ia perlu dilakukan untuk meyakinkan media yang menjadi mata masyarakat.

Sayangnya, dengan kuasa Allah, cerita sebenar terbongkar. Apa lagi yang kita boleh katakan?

Tidak terkecuali juga dengan beberapa artis yang bibirnya sentiasa basah dengan sebutan kalimah suci Tuhan. Walaupun ketika berbual itu, ada kata-katanya yang 'terpesong' daripada apa yang saya dengar sebelum ini.

Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu skeptikal kerana berdepan dengan sumber utama dalam sesi temu bual adalah lebih afdal berbanding cerita melalui sampaian orang lain.

Beberapa kali situasi yang lebih kurang sama saya harungi. Ayat-ayat 'cintanya' juga lebih kurang begitu walaupun makin kuat saya didatangkan cerita yang sebaliknya mengenai segelintir warga seni ini. Semuanya demi sebuah penafian dan ingin memberitahu dunia yang dia manusia teraniaya.

Setidak-tidaknya masyarakat akan prihatin dan melemparkan kasihan. Palsu dan hipokrit? Ah... itu perkataan biasa dalam dunia hiburan setempat. Tiada yang pelik.



Malah tidak juga pelik apabila ada golongan yang ditanya sama ada di antara mereka ada cinta yang sedang berbunga (antara soalan kegemaran wartawan hiburan), tetapi terus mereka menafikan. Penafian itu sebagai perisai dengan harapan cinta mereka tidak dipersoalkan lebih lanjut.



Walaupun juga wartawan hiburan tanah air yang semakin cekap menghidu kisah dalam kain artis, sudah faham benar dengan perangai ular yang bijak menyusur dan membelit. Namun mereka tetap menafikan.

Seperti yang saya jelaskan tadi, mereka ada alasan tersendiri mengapa perlu disembunyikan apa yang mereka fikir harus dirahsiakan daripada pengetahuan media dan masyarakat. Mereka lebih selesa hidup dalam kepura-puraan dan kepalsuan.

Bagaimanapun, tidak lama, Allah yang melihat segalanya membuka pekung sebenar. Benda yang tidak baik, selalunya begitu. Pencipta kita biasanya tidak menunggu lama untuk berbuat begitu.

Cuma saya sangat kesal, golongan begini terlalu berani bersumpah atas nama Allah demi penafian palsu.

Sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah ke-63 (al-Munafiqun) ayat ke-2: "Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) daripada menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka kerjakan."

Sepintas memandang ayat ini, cukup membuatkan saya gerun betapa manusia sanggup mereka-reka cerita dengan bersumpah dengan nama Allah.

Tidak terniat untuk menghukum sesiapa, tetapi anggaplah pengalaman saya ini sebagai panduan kita bersama. Saya sendiri seperti bumi yang tidak pernah terlepas daripada ditimpa hujan, kesilapan sentiasa mengiringi walaupun sebaik mungkin cuba mengelaknya.

Dunia hiburan yang sering dikaitkan dengan elemen negatif ini tidak sesekali saya jadikan sebagai hadangan untuk berkongsi maklumat dengan semua. Pernah saya dinasihati seorang ustaz dari Pasir Gudang, Johor agar lebih banyak melihat intan permata dalam lumpur yang berselut dan bersalut noda. Wassalam!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: